Kekeliruan Penggunaan Darjah Penghabisan: ter-, paling, sekali


Dengan berdasarkan dialog di sebelah, jelaslah bahawa penggunaan awalan ter-, perkataan paling, dan perkataan sekali tidak menepati rumus yang betul. Hal ini dikatakan demikian kerana bentuk tersebut sudah membawa maksud darjah penghabisan. Oleh sebab itu, awalan ter-, perkataan paling, dan sekali tidak boleh digunakan dalam satu ayat kerana bentuk tersebut adalah lewah.

Kesalahan penggunaan darjah penghabisan dalam dialog di atas dapat dielakkan sekiranya pengguna memahami cara pembentukannya. Sekarang marilah kita teliti pelbagai bentuk darjah penghabisan dan penggunaannya dalam ayat.

a. paling + kata adjektif

Contoh dalam ayat:

  • Gunung yang paling tinggi di Malaysia ialah Gunung Kinabalu.
  • Ibu telah menghadiahi ayah jam tangan yang paling mahal.
  • Siti Nurhaliza ialah penyanyi yang paling mahsyur di Malaysia.
Perhatian: Binaan paling + kata adjektif tidak boleh diikuti oleh sekali kerana paling dan sekali sudah bermaksud darjah penghabisan.


b. ter- + kata adjektif

Contoh dalam ayat:

  • Burung madu (honey bird) dikenali sebagai burung yang terkecil di dunia.
  • Pelari yang terpantas dalam acara 100 meter itu telah mencipta rekod baharu.
  • Dia berasa sedih kerana memperoleh markah terendah dalam ujian Matematik yang diadakan baru-baru ini.
Perhatian: Binaan ter- + kata adjektif tidak boleh diikuti oleh perkataan sekali kerana ter- dan sekali sudah membawa maksud darjah penghabisan.


c. kata adjektif + sekali

Contoh dalam ayat:

  • Barisan hakim yang mengadili pertan­dingan syair itu telah menobatkan Fatimah Az-Zahra sebagai juara dalam pertandingan itu kerana suaranya merdu sekali.
  • Jiwanya berasa tenang sekali apabila mendengar bacaan al-Quran daripada qari itu.
  • Pada zaman dahulu Badang dikatakan sebagai makhluk yang kuat sekali kerana dapat menumbangkan pokok dengan menggunakan tenaganya sendiri.


d. ter- + sangat/amat + kata adjektif

Contoh dalam ayat:

  • Walaupun baru berusia enam tahun, kanak-kanak itu tersangat cekap ketika menggunakan telefon bimbit itu.
  • Ibu berasa sangat gembira kerana ruang tamu kelihatan teramat bersih setelah dikemas oleh pembantu rumah.
  • Keluarga tersebut tersangat sedih kerana anak mereka maut setelah dilanggar oleh pemandu yang laju itu.

Perhatian:

terlalu/terlampau + kata adjektif

  • Maksud perkataan terlalu/terlampau ialah teramat/tersangat.
  • Binaan terlalu/terlampau + kata adjektif tidak boleh diikuti oleh sekali kerana ter- dan sekali sudah membawa maksud darjah penghabisan.
  • Perkataan terlalu/terlampau tidak boleh diikuti kata penguat amat/sangat kerana bentuk tersebut sudah mendukung maksud paling.

terlalu/terlampau + kata adfjektif ganda

Perkataan terlalu/terlampau tidak boleh diikuti oleh kata adjektif ganda yang menunjukkan darjah kesangatan. Bentuk ini tidak gramatis kerana maksud yang disampaikan akan menjadi lewah.


e. (amat, sungguh, sangat) + kata adjektif + sekali

Contoh dalam ayat:

  • Hubungan kedua-dua orang sahabat itu amat rapat sekali kerana mereka telah berjiran sejak mendiami kawasan perumahan itu.
  • Kami terpaksa menggunakan lampu suluh kerana keadaan di dalam gua itu sungguh gelap sekali.
  • Pemain bola jaring itu sangat lincah sekali sehingga sukar untuk ditewaskan oleh pihak lawan.


Latihan

Ayat yang berikut mengandungi kesalahan penggunaan darjah penghabisan. Kenal pasti kesalahan tersebut dan betulkan.

  1. Jambatan Pulau Pinang ialah jambatan yang paling terpanjang di Asia.
  2. Antara ketiga-tiga orang anak perempuan Encik Kumar, Sarojinilah yang tersangat cerdik sekali.
  3. Keadaan pengemis itu tidak terurus dan rambutnya pula terlalu kusut-masai.
  4. Penulis novel itu dikenali sebagai tokoh yang paling ternama sekali dalam dunia sastera.
  5. Hatinya terlalu amat pedih apabila mengingati kata nista dilemparkan kepadanya.
  6. Pekerja itu memang dikenali sebagai orang yang sampai paling awal sekali di pejabat.
  7. Jahitan tulang belut pada leher baju kurung itu amat sangat halus sekali.
  8. Saya tidak dapat menghabiskan air minuman yang disediakan itu kerana rasanya terlampau sangat manis.
  9. Kelas 5 Dinamik kelihatan sungguh amat ceria sekali setelah dihias dengan pokok bunga.
  10. Makanan yang dimasak oleh ibu memang paling sedap sekali.

Sebagai rumusan, pengguna perlulah berhati-hati ketika membina frasa adjektif darjah penghabisan. Kesilapan dalam penggunaan darjah penghabisan tidak akan dapat diatasi sekiranya pengguna masih gagal untuk membezakan pelbagai bentuk darjah penghabisan dan penggunaannya dalam ayat. Pengguna juga perlu sedar bahawa penggunaan dua atau tiga bentuk darjah penghabisan dalam satu ayat adalah salah dan tidak gramatis.

Menerusi penerangan yang diberikan ini diharapkan pengguna bahasa dapat membina frasa adjektif darjah penghabisan dengan betul sama ada dalam lisan ataupun penulisan. Akhirnya, "Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!".



Lagi dalam kategori ini:

Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan