Tercampak di Kota Besar Penuh Kemegahan

— oleh Mohd Adid Ab Rahman —

Rindu berkembang mekar sentiasa di kebun jiwa
ketika diri tercampak di kota besar yang penuh kemegahan
tempat orang berlumba-lumba mencari kemilau status
yang mengenepikan tata susila yang menyejukkan
seperti pesan dan nasihatmu, ibu
dalam marahmu pun tetap ada ketertiban
yang cukup menakjubkan

Ibu
darimu aku banyak belajar tentang kecekalan
dunia sekarang yang penuh pancaroba tidak perlukan orang yang mudah putus asa atau penakut
kerana itulah aku masih betah berada di sini
mencari sekuntum senyum yang hilang
membina nasib yang gemilang
seperti yang selalu terselit dalam doamu

Ibu aku pulang nanti
tunggulah, ibu
pasti kaudapati aku masih berpakaian tradisi
dan tak lupa dengan loghat Melayu yang dicintai
bersama segenggam kemenangan
dari sebuah perjuangan

MOHD ADID AB RAHMAN
Selandar, Melaka

 


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan