Sentosalah Cikgu di Bucu Usia

— oleh Azmi Yusoff —

Cikgu
guru berjasa sosok insan idola
kecapilah sentosa di bucu usia
berdekad menyemai benih jasa
tiba masanya teruja menuai laba
taburan muridmu cambah merata
menabur budi memakmurkan nusa.

Cikgu
libasan rotanmu di urat belikatku
pedih tergarit mengguris kenangan
ganjaran nakal masa menta remaja
bilur cambuknya membikarkan bekas
tanda sayangmu guru tidak terbatas.

Cikgu
kujejakimu alurmu bergelar guru
jika kaulilin meliuk dan melintuk
aku menjadi lampu limpah cerah
menatakan sinar ke setiap ceruk
mengoborkan nyala di ujana ilmu.

Cikgu
detik persaraan muncul di kelir waktu
berbahagialah cikgu di alam baharu
kerjayamu tidak diimbal harta benda
namun amalmu melimpah berganda
menjana berlaksa uncangan pahala
bakal dikutip nanti di seberang sana.

AZMI YUSOFF
Machang.

 


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan