Aku Tidak Mampu Meneliti

— oleh Musstaffa Ahmad —

Aku tidak mampu meneliti
di mana garis kesilapan itu
puas kuselak beribu panduan
namun angin terus bersilang
pandangan kulontar ke gunung
ketika kau leka mendaki serpihan
makin sukar memburu ketenangan
akhirnya kecundang
di antara dua persimpangan.

Aku tidak mampu meneliti
di hujung suara sunyi itu
di situ tersangkut potret silam
amat ngilu dirasa
gelap malam semakin rakus
lalu menghempap kalbu
ada suara seakan membisik
ketika noktah di hujung malam
meminta dilempar dendam.

Aku tidak mampu meneliti
suara itu biarpun berkali-kali
setelah terperangkap di balik tabir
angin kerap menghantar sepi
ke daerah itu
suara jeritan kian perlahan
disalut keletihan lalu terdampar
namun suara itu terus memanggil
walau kegelapan terus selubungi.

Musstaffa Ahmad,
Beseri Perlis.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan