Cerpen : Rendang Landak & Sambal Baung


Cikgu Masmanja bersyukur kerana dia telah dipilih oleh Allah terjun dalam profesyen mulia ini. Biar di mana pun dia ditukarkan, dia tetap gembira dan komited  menjalankan tugas sebagai pendidik anak bangsa Malaysia. Kini, sudah hampir lima tahun dia berpindah dari Sekolah Kebangsaan Kota Metropolitan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota Raja.

Dia gembira kerana sudah berjaya melarikan diri dari kesesakan dan hambatan hidup yang amat mencabar di ibukota Malaysia. Sebab itulah apabila dia menerima surat rasmi arahan berpindah ke sekolah yang baru di  dalam kawasan Zon Nilai, dia terus sujud syukur, menzahirkan kesyukurannya pada Allah Yang Maha 99 Sifat Asmaul Husna-Nya. Tambahan pula, Cikgu Masmanja akan sentiasa dapat bersama dengan suami yang juga bertugas di Zon Nilai itu.

Cikgu Masmanja tidak menduga. Puteri-puterinya juga tidak menduga. Sahabat-sahabat setugasannya amat tidak menduga. Hampir semua insan yang mengenali Cikgu Masmanja turut tidak menduga. Tetapi, peristiwa dia kehilangan suami tercinta, sudah tersurat di Loh Mahfuz Ilahi. Sewajibnya dia menerima ketentuan Allah itu dengan kekuatan sabar dan menerima hakikat ada hikmahnya; walaupun tidak dapat disaksikan dan diertikan dalam pengertian yang tersurat.   

Amat jelas kelihatan situasi lambakan air mata sedih dan air mata simpati telah berlaku. Selama empat tahun, Cikgu Masmanja menjalani kehidupan seharian bersama dua puterinya, dalam suasana serba tidak kena. Maklumlah, semasa suami berada di sisi, urusan melunaskan keperluan hidup; dilakukan bersama. Setiap tindakan, akan dibawa berbincang terlebih dahulu. Segala urusan menjadi mudah berkat sokongan kuat dari suami. Pendek kata, ke mana sahaja kaki melangkah dan roda kereta berputar, diri tidak lagi ditemani oleh tiang seri. Pastinya, tiang seri yang selama ini mendukung kuat, bangunan rumah tangga yang telah lama terdiri kukuh; telah tumbang. Belum tentu tiang seri yang hilang ini akan berganti semula.

Cikgu Masmanja menjadi semakin takut hendak menghadapi realiti hidup ini. Dia amat maklum dan dimaklumkan oleh rakan-rakan setugasan, bahawa dia akan sentiasa disirami dengan air muraqobah..kata-kata semangat. Namun, dengan izin Allah dan berkat doa restu dan siraman kata-kata semangat dari rakan seperjuangan dan ahli-ahli keluarga, semakin hari..dia semakin mampu menerima musibah ini dan berdoa semoga dia tidak akan tersasar arah tuju dalam menyempurnakan semua perjuangan hidup yang masih belum selesai.

Sesekali, Puan Masmanja akan melayan kenangan nostalgia bersama arwah suami yang telah pergi dahulu meninggalkan dirinya, demi menyahut seruan Ilahi dan kini bersemadi di alam barzakh. Setiap kali doa ini dilafazkan, titisan air mata akan membasahi pipinya.

Kini, sudah hampir lebih empat tahun, Cikgu Hajah Masmanja menjadi balu. Puteri-puterinya juga sudah tamat belajar dan berjaya mendapat kerja. Dia amat bersyukur kerana dia tidak perlu berhutang untuk membeli rumah dan kereta kerana sebelum suaminya dijemput Ilahi, suaminya sempat membeli sebuah banglo dan sebuah kereta Honda. Jadual hariannya sebagai seorang pendidik anak bangsa, berjalan seperti biasa. Dipenuhi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah dengan menyertai kumpulan senamrobik, kumpulan pengajian dan  membawa puteri-puteri melancong di dalam negara dan juga di luar negara. Sesekali, apabila tiba cuti semester, dia akan balik mengunjungi ibunya  di  kampung di Daerah Segamat.

"Maaf ya puan, ikhlas dari saya.. riak wajah semakin berserilah sekarang. Ada apa-apa ke? Jika ada berita baik mendatang, kongsilah dengan saya. Boleh ajak kawan-kawan seperjuangan menumpang gembira." Usikan Ustazah Athirah ketika mereka sempat berbual-santai di bilik guru.

"Ish, ustazah ni.. mana ada serinya ! Tambah kedut adalah."

"Cikgu Hajah Masmanja, ikhlas saya katakan. Teman-teman seperjuangan kita di sekolah ini dan dalam Zon Nilai ini, sependapat dengan saya. Mereka kata: puan ibarat kuntum bunga yang sedikit layu; kini terserlah berkembang mekar. Emm… maaf tanya Puan Hajah, dah nak dapat tiang seri baru ke? Jika ya, sayalah orang pertama hendak mengucapkan jutaan tahniah. Sahabat-sahabat kita, turut mengirimkan soalan cepu emas ini."

"Eii ustazah yang baru menimang cahaya mata, hamba ini belum mahu fikirkan hendak mencari bantal peluk baru tahu!. Apatah lagi hendak menggantikan tiang seri yang sudah tumbang. Dalam waktu terdekat ini, saya lebih senang hidup solo begini bersama dua orang puteri saya. Emm..tak tahulah untuk waktu yang akan datang ini."

‘Ini ada harapan aku nak sampaikan pesan suamiku..' letusan suara hati Ustazah Athirah.

Tidak lama kemudian, kelihatan Ustazah menarik kerusinya, merapatkan dirinya di sebelah kanan Cikgu Hajah Masmanja. Seketika kemudian, dia membisikkan sesuatu ke telinga Cikgu Hajah Masmanja.

Tiba-tiba Puan Hajah Masmanja tergelak besar. "Ish, janganlah ustazah..Hati saya belum terbukalah."

"Saya mohon izin.Itu pun jika puan sudi beri nombor telefon puan. Jika tak sudi beri, tak apalah..saya tak paksa. Suami saya pesan, jangan paksa. Mesti dapatkan nombor puan dengan rela dan ikhlas."

"Untuk rakan berbual-bual mengisi kekosongan dan kesunyian.. bolehlah. Jika lebih jauh daripada itu, emm…mungkin tidak. Apatah lagi, jika hendak menjadi tiang seri baru rumah tangga kami."

Mereka tergelak besar bersama. Kuatnya gelakan mereka menyebab semua penghuni yang berada di bilik guru ketika itu, tercengang kehairanan. Kedapatan yang sempat menjelirkan lidah. Tidak kurang pula memandang tepat ke arah mereka berdua.

Cikgu Syamsul melondehkan cermin matanya, sedikit ke bawah. Merenung tajam ke arah Puan Masmanja dan Ustazah Athirah.

Cikgu Suzi bertepuk tangan tanpa di suruh berbuat demikian. Juga seperti rakan-rakannya yang lain, gagal memberi erti gelakan besar yang diletupkan oleh dua orang sahabat mereka yang sejak akhir-akhir ini begitu mesra dan rapat. Apakah mungkin Ustazah Athirah ingin mencari ahli kelab yang baru disertainya, iaitu Kelab Madu Manis.  Sudah empat tahun Ustazah Athirah menjadi rakan kongsi pada isteri Doktor Rejab.

Cikgu Hajah Masmanja amat akur bahawa apa sahaja  perkara yang terjadi dalam hidupnya, adalah suratan Ilahi. Kehadiran Haji Zamzam dalam mimpi hidupnya, juga dengan ketentuan Ilahi. Entah mengapa, dia mula memberi perhatian pada bual-bual santai Haji Zamzam, yang dikirimkan melalui pesanan ringkas di dalam WhatsApp. Jika beberapa minggu yang lepas, hanya sesekali sahaja pesanan ringkas daripada Haji Zamzam dibalasnya, tetapi kini dia pula kerinduan jika tidak menerima apa-apa pesanan ringkas. Lantas, dia pula memberanikan diri, mengirimkan pesanan ringkas kepada Haji Zamzam.

"Maaf ya haji, jika saya katakan kita perlu berkenalan dahulu dan saling faham-memahami. Tambah pula, saya masih punyai ibu, adik-beradik dan anak-anak. Mereka perlu dimaklumkan dan mesti mendapat doa restu dari mereka. Kita hendak menegakkan sebuah masjid. Biarlah tapak dan asasnya kuat supaya masjid yang kita hendak dirikan, tidak mudah runtuh."

‘Ya, saya maklum. Tapi, bukankah status  ibu tunggal itu.. dibenarkan membuat keputusan sendiri? Kata putus sudah berada di tangan sendiri?"

Jejari Hajah Masmanja terus menaip jawapan di papan kekunci telefon bimbitnya. "Memang betul itu haji, tapi maksud saya..kita perlu maklumkan dan lebih berkat jika kita maklumkan pada keluarga dan dapatkan doa restu mereka. Pada diri haji pun begitu juga kan?"

Jejari Haji Zamzam juga laju menaip kata-kata di papan telefon bimbitnya, bersembang santai dengan Hajah Masmanja pada pagi itu. Kebetulan, dia sedang berihat setelah urusan sarapan, solat sunat duha dan mengaji al-Quran, telah selesai dilakukan. Seketika tadi, dia menghadap komputer bimbit, menyambung garapan cerpennya yang terhenti malam tadi akibat gangguan demam yang menyerang dia secara tiba-tiba. Kini, garapan cerpen terbarunya, sesekali terhenti kerana mindanya bertugas memahamkan biji butir pesanan ringkas yang dikirimkan oleh Cikgu Masmanja, lulusan Universiti Terbuka Malaysia, yang baru diperkenalkan oleh Dr. Rejab dan isterinya, Ustazah Athirah. Ketika itu, mindanya dan matanya terpaksa memainkan dua peranan.

" Jika gitu dan nak bincang panjang, kita jumpalah untuk minum petang atau makan malam. Ok ke?"

"Oklah haji, saya maklumkan bila waktu yang sesuainya ya. Emm, mungkin dua bulan lagi."

"Daripada dua bulan, baik dua tahun sahaja! Dan…terpulanglah pada yang empunya diri.."

Haji Zam-zam memberi perhatian pada pemanduannya. Dia cuba menggunakan lebuhraya LEKAS untuk balik ke rumah sewanya di Pealing Jaya kerana esok dia akan bertugas seperti biasa.

"Nak singgah solat jamak-kasar di R&R Seremban, waktu Maghrib lambat lagi.

Tak lama nak tunggu waktu solat nanti." Haji Zamzam, berdialog sendiri. "Baik aku cuba  call Hajah Mas. Seketika kemudian, mereka pun berbual di gagang telefon. Di antara biji butir perbualan mereka…

"Masakan ikan talapia salai masak lemak, dah habis haji. Jika tak, boleh beri juga. Sudi ke nak datang ke rumah?" Puan Masmanja tergelak.

" Sudi, jika orang sudi menerima. Emm..kita makan kat bandar sahajalah. Bandar di kawasan perumahan sana. OK kan?"

"OK, haji tunggu saja di MD. Kita makan sambil berbual-santai. Jom, mari kita sama tunaikan solat sebab waktu sudah masuk."

Sambil menjamah makanan yang dipesan, mereka pun berbual. Banyak perkara yang dibualkan dalam salam pengenalan yang pertama. Paling banyak yang dibualkan ialah butir-butir diri dan sejarah keluarga serta sejarah kehidupan. Sesekali Cikgu Hajah Masmanja akan tergelak kuat apabila  lelucon yang dipersembahkan oleh Hj Zamzam berjaya mencuit hatinya. Banyak pasangan mata merenung ke arah mereka.

Selepas perjumpaaan salam pertama yang tidak dirancang itu, mereka mengambil kesempatan bersua lagi beberapa kali. Perjumpaan yang terkemudian lebih banyak membincangkan tentang natijah perkenalan mereka. Haji Zamzam sudah meluahkan hasrat hatinya ingin melamar Hajah Masmanja menjadi isterinya. Tetapi Hajah Masmanja belum memberi keputusan muktamat.

"Nanti, Mas berbincang dengan dua-dua puteri dahulu ya haji. Mereka dua beradik ini yang paling utama. Rasanyalah, jika mereka bersetuju, saya juga tiada halangan menerima lamaran haji…"

Malam itu, Hajah Masmanja berbaring di katil, bilik tidurnya. Malam itu, dia tidak terikat dengan kerja-kerja memeriksa buku murid-muridnya dan persediaan ABM untuk sesi pengajaran dan pembelajaran, esoknya. Kedua-dua puterinya sedang leka berbual santai di ruang tamu rumah, sambil mata   

mereka leka sesekali terarah ke layar televisyen. Kebetulan pula, ketika itu TV sedang menyiarkan telefilem berjudul: Ibuku Mengidam Lagi. Cikgu Hajah Masmanja melepak di katil . Entah bila dia terlena…

"Kak Long, kakak perasaan tak perubahan pada mama kita sekarang ini?" Puteri Mariam memulakan perbualan mereka petang itu. Mereka duduk di meja santai di beranda rumah bunglo peninggalan arwah ayah mereka. Mereka sempat dihidangkan minum petang, kopi panas dan cucur kodok, bercecahkan kari daging landak."

"OK, kakak jawab soalan adik tadi. Kakak terus terang sajalah ya dik. Tak payah guna bahasa berkias-kias dan berbunga-bunga. Zaman sekarang, zaman terus terang.  Macam ni, dalam tilikan dan firasat kakak, mama kita itu sedang bercinta.Adik tahu tak?"

"Macam mana pendapat kakak, jika mama nak kahwin lagi? Mama nak cari pengganti tempat arwah papa. Kakak setuju ke ?"

"Macam mana pendapat adik pula? Emm..pada kakak, kakak setuju aja."

"Kakak bimbang, bila mama dah dapat pak we baru, mama tak sayang kita lagi. Mama leka dengan pak we baru dia saja. Mungkin ke terjadi begitu dik, jika mama kita kahwin lagi? Emm..macam mana pendapat adik pula?"

"Adik pun sependapat dengan kakak.Cuma…"

"Cuma apa dik?"

"Kita boleh benarkan mama cari papa baru dengan satu syarat luar biasa."

"Apa syaratnya dik?" Puteri Maria kelihatan bersungguh ingin mengetahui syarat yang diberikan oleh Puteri Mariam."

Puteri Mariam segera mendekati telinga kakak sulungnya, dan membisikkan sesuatu.

"Hah? Kah..kah..kah..kah...  Biar betul dik. Berat sangat syarat tu tahu tak! Eii, boleh ke mama kita mengandung lagi dik?"

"Masya-Allah, lena rupanya aku tadi. Mimpi pelik pula tu." Puan Hajah Masmanja bergegas ke bilik air, mengambil wuduk dan terus mengerja ibadah qiyamullail. Diikuti dengan  pengajian al-Quran. Selepas itu, dia bergolek lagi di katil sambil mulutnya lancar melafazkan zikir harian. Entah bila terlena semula.

Seorang hamba Allah yang lengkap berjubah putih dan kelihatan amat tawaduk, datang menghampirinya dan berdialog dengan dia. Dia sedikit gabrah kerana selama ini, dia tidak pernah didatangi oleh makhluk Allah yang berupa begitu. Hamba Allah itu memandang tajam ke arahnya dan menghadiahkan dia dengan senyuman.

"Maaf  Puan hajah, boleh hamba berkata sesuatu pada puan?"

"Ya, silakan."

"Puan hajah akan dapat berita gembira dari puteri-puteri puan. Mereka membenarkan puan bernikah lagi, bagi menggantikan tempat suami puan yang telah pergi buat selama-lamanya."

"Syukur alhamdulilah…Terima kasih puteri-puteriku. Sepontan itu juga, wajah Haji Zamzam menjelma di ruang muka Hajah Masmanja, sambil menghadiahkan senyuman perawat duka lara. Senyuman itu segera dibalas."

"Tapi puan, keizinan yang diberikan mereka dengan bersyarat. Syaratnya amat berat sekali. Tapi, insya-Allah dengan izin Allah, hajat mereka boleh ditunaikan. Hanya dengan satu cara sahaja, insya-Allah. puan hajah boleh mengandung lagi. Dengan izin Allah juga, puan bukan sahaja akan mengandung seorang putera.. malah dua orang."

Emm... maksud tuan hamba, kembar dua-dua lelaki ya? Apa caranya tuan hamba?"

"Sila dengar pesanan ini dengan teliti ya. Puan Hajah mesti makan hidangan rendang landak dan sambal ikan baung, selepas sahaja puan diijabkabulkan dengan tuan haji itu ya puan. Mesti makan bersama ya. Lagi bertambah mustajab doa puan dan puteri-puteri puan itu, jika ketika makan itu... puan dan tuan haji itu makan suap-menyuap... lagi laju jadinya nanti."

"Tapi, di mana kami hendak mencari hidangan masakan haiwan eksotik tu wahai tuan hamba? Di mana? Tolonglah beritahu saya!"

"Ha..ha..ha.. Pada Tuan Haji Zamzam itu ada jawapannya. Nanti dia akan menempah hidangan istimewa itu dan membawa puan dan puteri-puteri puan makan bersama."

Hamba Allah yang berjubah putih itu terus melangkah pergi meninggalkan Puan Hajah Masmanja yang telah tersedar dari igauan peliknya seketika tadi.

" Aku boleh mengandung lagi, jika dapat menjamah masakan rendang landak dan  sambal baung? Biar betul! Boleh ke aku mengandung lagi sedangkan usia aku sudah menjangkau ke angka 51? Rendang Landak dan Sambal Baung menjadi penawarnya untuk aku melunaskan hajat Puteri Maria dan Puteri Mariam. Juga hajat Haji Zamzam. Tentu Dr. Rejab dan Ustazah Atirah teramat gembira kerana telah mendapat ahli kelab yang baru."

 Tersedar jam lima pagi, Cikgu Hajah Masmanja tidak berupaya melelapkan matanya. Mindanya cuba menterjemahkan maksud mimpinya itu. Wajah Haji Zam-zam menjelma lagi dengan lirikan senyuman yang berpanjangan.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan