Ceritera 4 - Aduh, sakitnya!!!


Resah… gelisah… geram… Semuanya bagai bersatu pada waktu itu. Wajah sang mentari kelihatan semakin garang. Rasa tidak selesa sudah mula menyelinap ke seluruh tubuh. Aduhai, jam di tangan telah menunjukkan angka 1. Namun kelibat Aziah masih tidak kelihatan. Ternyata penantian itu suatu penyeksaan!.

Di bawah sepohon sena, aku dan Dzaharah duduk di pangkin di tepi Sungai Perak. Kami berbual-bual tentang pesanan Cikgu Gurdip Singh, guru Bahasa Inggeris kami bahawa esok ada ujian Bahasa Inggeris. Aku belum sempat membaca satu perenggan ayat dalam bahasa Inggeris yang diberikannya pagi tadi. Kata beliau, ujian esok ada kaitan dengan perenggan itu. Aku pula tertinggal keratan itu di dalam begku. "Tak apalah... masih ada masa. Malam nanti aku akan baca," pujuk hatiku.

Namun ketenangan yang baru kubina ini tiba-tiba musnah apabila Dzaharah memberitahuku bahawa dia telah pun membaca petikan itu. Penjelasan Dzaharah betul-betul membakar semangatku. Aku berazam untuk membaca petikan itu pada malam nanti. Aku tahu, Dzaharah memang tidak pernah memperoleh markah rendah daripada markahku dalam setiap ujian dan dalam apa-apa juga mata pelajaran. Sejak darjah satu lagi, Dzaharah memang dikenali sebagai pelajar terpandai di kelasku. Hanya sekali aku pernah mengatasi markahnya. Itu pun semasa menduduki ujian tiba-tiba dia muntah kerana demam.

Aziah masih tidak muncul-muncul. Aku dan Dzaharah sudah tidak sabar untuk terjun ke dalam sungai dan mandi sepuas-puasnya. Ujian Bahasa Inggeris esok terpaksa aku lupakan buat seketika. Tengah hari itu aku dan Dzaharah sudah berjanji untuk mandi sungai di Kampung Guar di belakang rumah Siti Hapsah. Tetapi kami terpaksa menunggu Aziah yang mahu ikut serta. Rumah Aziah pula terletak di Seberang Manong. Dia akan naik sampan dari rumahnya.

Jadi sambil menunggu Aziah, aku dan Dzaharah berbual-bual kosong. Sesekali kami mencuri pandang ke arah sungai, mengharapkan Aziah sudah tiba dengan sampannya. Namun Aziah tidak tiba juga. Hari pula semakin petang.

Tiba-tiba seekor tebuan terbang laju menyembamkan wajahnya ke mata kiriku. Aduh!!! Aku menjerit. Aduh!!! Sakitnya!! "Ya, Allah!," jerit Dzaharah sambil mengusap-usap mataku. Saat itu kurasakan mataku bagai terbakar. Pedih!!! Terpana kami seketika.

Tidak terfikir lang­sung tindakan yang perlu dilakukan. Namun dalam serba kekalutan itu, tiba-tiba Dzaharah terfikir untuk meletakkan ais pada mataku. Kami segera bergegas ke kedai air batu untuk membeli ais kepal. Walaupun masih sakit, ais kepal berharga 5 sen itu sempat juga kami kongsi menghirupnya. Sedikit daripada ais kepal itu kuambil lalu kutekupkan ke mata kiri yang amat panas itu.

Hajat kami akan kami teruskan juga. Dzaharah mengayuh basikal. Aku duduk di belakang sambil menekup mataku dengan ais. Bayang Aziah masih tidak kelihatan. Kami sudah nekad. Jika Aziah tidak muncul juga, kami akan tetap mandi sungai. Sebaik-baik sampai di tebing Sungai Guar, kami terus melompat mandi. Akar pokok besar yang berjuntai di tepi sungai itu memang menjadi tempat kami bergayut dan menghumbankan diri ke dalam sungai.  

Kami mandi dan terjun berjam-jam lamanya. Aku tidak hirau lagi akan mataku. Aku juga tidak ingat akan petikan Bahasa Inggeris yang perlu kubaca. Rasa sakit dan ujian yang akan diadakan esok telah hilang daripada fikiranku. Semua itu seolah-olah hanyut dibawa arus Sungai Guar bersama-sama derai tawa kami berdua.

Rupa-rupanya mata kiriku telah tertutup. Bengkak di mataku tak ubah seperti bola pingpong. Aku berhenti mandi. Dzaharah juga amat risau melihat mataku yang menggelembung. Dengan pakaian yang masih basah di badan, kami berbasikal pulang ke rumah. Hari sudah senja. Aku tidur awal pada malam itu dengan menahan kesakitan di mataku. Aku tidak memberitahu ibuku. Adik-beradikku yang lain juga tidak bertanya.

Keesokan harinya aku tidak dapat pergi ke sekolah. Kesakitan dan kekesalanku berpanjangan… sakit kerana disengat tebuan; kesal kerana Aziah tidak muncul; dan kesal kerana tidak menduduki ujian. Rasa sakit dan kesal ini saling bertingkah. Andai dapat kuundurkan waktu, sudah pasti aku tidak mahu menunggu Aziah di bawah pohon sena itu lagi. Benarlah kata orang tua-tua, "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna."


Terkini daripada Normah Mohamad

  1. 30 Sen & Segelas Air Sejuk...
  2. Sehalus Anyaman Kasihmu

Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan