INISIATIF PAKEJ SKIM PERLINDUNGAN GURU


Wardah Communication Sdn. Bhd., menyediakan skim perlindungan untuk warga pendidikan  melalui skim insurans khusus "Kasih Guru", skim pengurusan jenazah lengkap "Pendidik Mukmin" khidmat pengurusan harta pusaka "Pendidik Amanah"   dengan QBE Insurance (Malaysia) Bhd., MyKhairat Management Services Sdn. Bhd., MyAngkasa Amanah Berhad.

Satu perjanjian usahasama bagi menyediakan perlindungan menyeluruh kepada semua guru di seluruh negara melalui tiga skim khusus ditandatangani pada 23 Mac 2017 antara Wardah Communication Sdn Bhd, penerbit Majalah Pendidik dengan tiga syarikat rakan strategik iaitu QBE Insurance (Malaysia) Berhad, MyKhairat Management Services Sdn Bhd serta MyAngkasa Amanah Berhad.

Menyedari hakikat tugas guru kian mencabar dan berdepan pelbagai risiko serta ancaman tertentu, Majalah Pendidik yang diedar sebanyak 80,000 naskhah setiap bulan dan menjadi bahan bacaan utama 421,828 guru serta lebih lima juta murid sekolah di seluruh negara berpendapat langkah proaktif melaksanakan inisiatif ini wajar diambil sementara menanti sambil berharap rang undang-undang bagi mewujudkan Akta Perlindungan Guru digubal pihak kerajaan.

Sehubungan itu, selepas kajian mendalam dan beberapa siri perbincangan, keputusan dicapai untuk mewujudkan skim perlindungan insurans khusus "Kasih Guru", skim pengurusan jenazah lengkap profesional "Pendidik Mukmin" serta khidmat pengurusan harta pusaka "Pendidik Amanah".

Ketua Pegawai Eksekutif Widad Business Group Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar berkata, menyedari tugas guru kini kian mencabar dan berdepan pelbagai risiko, keperluan memberi perlindungan kepada mereka adalah wajar.

"Seandainya terjadi sebarang insiden berkaitan tugas rasmi guru seperti disaman atau berlaku kematian, kami dapat membantu melalui skim yang diperkenalkan. Kami tidak mahu guru berasa terbeban dengan masalah yang dihadapi hingga mengganggu rutin kerja mereka.

"Hasrat Kumpulan Widad adalah untuk meringankan beban dan memberikan penghargaan atas pengorbanan guru seiring dengan hasrat kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia," kata Mohd Rizal.

Semua produk inovatif dan unik daripada Majalah Pendidik ini menyediakan perlindungan komprehensif terhadap kalangan warga pendidikan seandainya terjadi sebarang insiden yang berkaitan dengan tugas rasmi mereka dalam profesyen keguruan.

"Kasih Guru" menyediakan perlin­dungan terhadap sebarang risiko yang mungkin timbul akibat apa jua kejadian dalam kawasan sekolah yang berkaitan dengan tugas rasmi selaku pendidik profesional. Dengan perlindungan risiko yang ditaja jamin sehingga RM25,000 di bawah pakej Pampasan/Ganti Rugi Profesional (Professional Indemnity), guru-guru tidak perlu lagi risau atau merasa terbeban jika berlaku insiden yang mungkin menyebabkan mereka berdepan tuntutan ganti rugi mahupun diheret ke mahkamah oleh ibu bapa atau pihak tertentu yang lain.

Selain Ganti Rugi Profesional, skim pelindungan "Kasih Guru" turut meliputi kematian dan kehilangan upaya kekal akibat kemalangan, kos perubatan akibat ditimpa musibah seperti kes ragut, rompakan atau kecurian barangan peribadi, malahan elaun perkabungan dan elaun ambulans akibat terbabit dalam kemalangan turut disediakan.

Hasrat menawarkan satu skim perlindungan khusus untuk guru ini menjadi realiti dengan kerjasama QBE Insurance (Malaysia) Berhad, sebuah syarikat penyediaan perlindungan insurans bertaraf dunia yang sudah beroperasi di negara ini sejak tahun 1905. Ia adalah sebahagian daripada rangkaian dalam Divisyen Asia Pasifik di bawah naungan syarikat insurans antarabangsa QBE Group.

Walaupun operasi QBE di negara ini memberi tumpuan kepada pelanggan perniagaan sama ada syarikat korporat mahupun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan penekanan khusus dalam bidang kepakaran tertentu, ia turut menaja jamin pelbagai perlindungan insurans peribadi untuk individu.

 Di samping itu Majalah Pendidik juga menawarkan satu pakej pengurusan jenazah profesional lengkap tanpa tunai khusus buat semua guru dan pelajar di negara ini yang dinamakan skim "Pendidik Mukmin". Skim ini menggabungkan tiga pakej perkhidmatan utama iaitu 10 perkara pengurusan jenazah, pengurusan harta pusaka dan perlindungan takaful untuk guru-guru yang menjadi ahli dan juga waris mereka.

Ini adalah inovasi produk pertama seumpamanya di negara ini malahan di dunia yang menggabungkan tiga aspek perkhidmatan pengurusan jenazah dalam hanya satu produk dan tidak memerlukan transaksi wang tunai khusus buat warga pendidik.

Berbeza dengan pengurusan khairat kematian sedia ada, "Pendidik Mukmin" menguruskan jenazah ahlinya walaupun kematian berlaku di luar kawasan kariah, termasuk di luar negara yang membabitkan urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia.

Hal ini penting kerana seperti yang diketahui umum ramai guru yang ditugaskan berkhidmat di luar kampung halaman masing-masing. Ada guru dari Semenanjung Malaysia yang bertugas di Sabah dan Sarawak dan begitu juga sebaliknya.

Dengan yuran serendah 80 sen sebulan atau RM10 setahun bagi pakej khas untuk murid dan minimum RM10 sebulan untuk guru misalnya, ahli akan mendapat pelbagai faedah lain selain pengurusan lengkap jenazah iaitu termasuklah pengurusan dan pentadbiran harta pusaka si mati dan manfaat bayaran pampasan perlindungan takaful.

Manfaat perlindungan takaful Skim Pendidik Mukmin ini merangkumi kes kematian dan juga kehilangan upaya kekal akibat kemalangan yang bernilai RM10,000, RM30,000 dan RM50,000.

Skim Pendidik Mukmin menawarkan pilihan sebanyak enam pakej iaitu lima untuk warga pendidik dan satu pakej khas untuk murid. Pakej-pakej untuk warga pendidik dinamakan bersempena nama tokoh-tokoh tersohor dalam bidang pendidikan iaitu Pakej Ibn Sina dan Ibn Khaldun untuk perlindungan individu, Pakej Ibn Batuta dan Ibn Qayyim (perlindungan keluarga) serta Pakej Al-Khindi untuk warga emas berumur 59 tahun ke atas yang mungkin terdiri daripada pesara guru. Manakala Skim Khas Pelajar Pendidik Mukmin pula adalah untuk individu yang dinamakan Pakej Abu Nawas.

Sehubungan itu skim "Pendidik Mukmin" ini diyakini mampu membantu meringankan beban guru-guru, pelajar serta keluarga dan waris mereka dalam konteks pengurusan jenazah sebelum dan selepas kematian.

Skim ini sesungguhnya sangat bermanfaat kerana ia tidak berorientasikan keuntungan sebaliknya lebih kepada berhasrat memberikan perkhidmatan pengurusan jenazah dan harta pusaka dengan bijaksana dan berkesan.

Untuk menjayakan skim ini Majalah Pendidik menjalin kerjasama dengan dua buah syarikat tempatan iaitu MyKhairat Management Services Sdn Bhd dan MyAngkasa Amanah Berhad, yang memang sudah diketahui mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam soal pengurusan jenazah serta hal-hal berkaitan harta pusaka.

MyKhairat akan bertanggungjawab dalam keseluruhan soal pengurusan jenazah pada hari kematian seseorang ahli "Pendidik Mukmin", MyAngkasa akan bertindak sebagai pemegang amanah dan pengurus dalam aspek pentadbiran harta pusaka.

Rosegate Insuran Brokers Sdn. Bhd., bertindak sebagai penasihat teknikal bagi pakej perlindungan takaful dan dibantu Etiqa Takaful sebagai pengeluar polisi.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan