Al-Quran kekal ‘Luar Biasa’


Siapa yang tak kenal al-Quran? Kalaulah ditanyakan kepada sesiapa sahaja tentang al-Quran,sudah pasti jawapannya mereka mengenali al-Quran. Namun, persoalannya, sejauh mana kita sebagai umat Islam mengenal al-Quran ini? Apakah kedudukan al-Quran dalam agama Islam?Adakah ia sekadar kitab bacaan sahaja? Atau ia sekadar dibaca untuk melariskan perniagaan,menyembuh penyakit misteri atau bacaan ringan waktu lapang? Benarkah mengenal al-Quran sekadar itu sahaja?

Oleh itu kita perlu memahami dengan lebih mendalam mengenai kedudukan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, dan apakah tuntutan sebenar yang perlu diberikan kepada al-Quran dan bagaimana cara menyikapi al-Quran pada zaman ini?

Kedudukan Al-Quran Sebagai Mukjizat Abadi

Al-Quran merupakan mukjizat terbesar yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai bukti kenabian dan kerasulannya, ia juga bukti bahawa al-Quran yang dibawa Nabi SAW adalah wahyu daripada Allah dan bukan hasil tulisan Nabi SAW. Tidak seperti mukjizat nabi dan rasul terdahulu, al-Quran mukjizat istimewa kerana ia diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW serta dapat dikongsi bersama umatnya.

Hal ini tidak berlaku kepada mukjizat nabi-nabi sebelum ini.Oleh itu, seharusnya umat Islam memahami bagaimana al-Quran itu berperanan sebagai mukjizat kepada umat Nabi Muhammad SAW yang merentasi peredaran zaman dan mencabar kemajuan dan kemodenan yang ada pada setiap zaman.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat mukjizat bermaksud kejadian luar biasa kurniaan Allah SWT kepada para nabi dan rasul untuk membuktikan kebenaran mereka. Manakala Imam al-Suyuti memberi definisi mukjizat sebagai suatu perkara luar biasa yang menyalahi adat kebiasaan manusia,disertai dengan unsur cabaran kepada seluruh manusia dan jin agar mendatangkan seumpamanya.Namun, tiada yang mampu menyahut cabaran ini lantaran kelemahan dan ketidakmampuan menandinginya.Daripada definisi ini,terdapat empat ciri utama mukjizat:

• Luar biasa;

• Menyalahi adat kebiasaan manusia;

• Mencabar; dan

• Melemahkan (tidak mampu ditandingi).

Kesemua mukjizat para nabi memiliki empat ciri ini. Malah lazimnya mukjizat datang dengan sesuatu yang diketahui dan dibangga-banggakan oleh sesuatu umat. Sebagai contoh:

➔ Mukjizat Nabi Saleh AS berupa unta yang keluar dari celah batu.Kejadian itu suatu perkara mustahil dan inilah yang diminta oleh kaum Nabi Saleh AS untuk membuktikan kenabian Nabi Saleh AS. Mereka sedia maklum mustahil unta besar boleh keluar dari celah batu kerana mereka adalah kaum yang mahir mengenai ciri-ciri batu, pakar dan berkemahiran tinggi memahat gunung dan bukit batu menjadi tempat kediaman tanpa sebarang alat teknologi canggih.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Quraiaitu tempat tinggalnya)?(QSal-Fajr: 9). Walau bagaimanapun mereka ingkar mukjizat tersebut sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “dan Wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda(mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya,(kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya. (QS Hud:64).

➔ Mukjizat Nabi Musa AS menandingi kehebatan sihir di zaman Firaun, di mana mukjizat Nabi Musa adalah tongkat yang bertukar menjadi ular hidup sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Nabi Musa berkata kepada mereka:“Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan. Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: “Demi kekuasaan Firaun, Sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang. Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya,tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).Maka (Kemenangan Nabi Musa menjadikan) Ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud, sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun.” (QS al-Syu’ara: 43-48).

➔ Mukjizat Nabi Isa AS yang berupaya menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan penyakit kusta, mencelikkan mata orang buta mampu menandingi kehebatan ilmu perubatan di zamannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “...Sesungguhnya Aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu Aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian Aku tiup padanya lalu menjadi lahia seekor burung (yang hidup)dengan izin Allah; dan juga Aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan Aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga Aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa Aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman”.(QS Ali Imran: 49)

Namun, semua contoh mukjizat para nabi terdahulu telah terhenti dengan kewafatan mereka melainkan al-Quran. Malah tidak ada satu pun mukjizat yang boleh dikongsi antara nabi dan umatnya melainkan al-Quran. Oleh itu, al-Quranlah satu-satunya mukjizat abadi yang kekal ada sehingga hari ini tanpa sebarang penyelewengan daripada tangan manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya;dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadanya.”(QS al-Kahfi : 27).

Menurut Kamus Dewan edisi keempat mukjizat bermaksud kejadian luarbiasa kurniaan Allah SWT kepada para nabi dan rasul untuk membuktikan kebenaran mereka.

Penurunan al-Quran di peringkat awal mencabar keunggulan bahasa Arab yang ada pada masa itu. Kedatangannya kepada bangsa Arab ketika itu bagaikan “tsunami” bahasa dan sastera yang mencabar dan menenggelamkan khazanah bahasa Arab dan kesusateraan nenek moyang yang menjadi kebanggaan masyarakat Arab jahiliyah ketika itu.

Mengatasi Kehebatan Setiap Zaman

Hari ini, usia kitab suci al-Quran al-Karim sudah hampir menjangkau 1500 tahun. Ironinya, mana-mana kitab karangan manusia yang berusia lebih seratus tahun sudah pasti tidak dapat difahami maksud dan ajarannya, melainkan orang yang berpengalaman dan pakar seperti memahami buku manuskrip lama dan sebagainya. Namun,luar biasanya al-Quran ia masih mudah untuk difahami oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, budaya dan negara. Malah bukan itu sahaja, setiap jiwa yang membaca dan mendengarnya pasti meninggalkan kesan pada diri mereka.

Penurunan al-Quran di peringkat awal mencabar keunggulan bahasa Arab yang ada pada masa itu.Kedatangannya kepada bangsa Arab ketika itu bagaikan “tsunami”bahasa dan sastera yang mencabar dan menenggelamkan khazanah bahasa Arab dan kesusateraan nenek moyang yang menjadi kebanggaan masyarakat Arab jahiliyah ketika itu.

Namun, mereka akur dengan keunggulan al-Quran dengan gaya bahasa yang tinggi, bentuk pengucapan yang indah, susunan kata yang lunak, mengandungi sistem perundangan yang hebat,hukum-hakam yang sesuai pada setiap masa dan tempat, di samping penyampaian perkara ghaib yang tidak mampu dilihat dengan pancaindera. Sehingga hari ini tiada siapa yang mampu menandingi al-Quran daripada aspek-aspek tersebut.

Al-Quran seterusnya mencabar manusia di abad-21 yang dikenali sebagai zaman sains dan teknologi dengan penciptaan pelbagai peralatan yang mampu memendekkan tempoh penghasilan sesuatu. Namun, masih banyak perkara yang belum terbongkar,contohnya:

Penjelasan mengenai pintu-pintu di langit sebagaimana firman AllahSWT yang bermaksud: “Demi langit Yang mempunyai jalan-jalan Yang berbagai bentuk keadaannya”. (QSal-Dzariyat: 7).

Bahasa setiap makhluk di dunia selain manusia seperti Firman-Nya lagi yang bermaksud: “ tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (yang Maha esa dan Maha kuasa) sentiasa bertasbih kepadanya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semula jadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memuji-Nya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan”. (QS an-Nur: 41).Firman-Nya lagi yang bermaksud:“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya,sentiasa mengucap tasbih bagi Allah;dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya;akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (QS al-Isra’: 44).

Segala fenomena yang berlaku pada hari kiamat seperti bumi berkata-kata dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya.Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?. Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: bahawa tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian)”.(QS al-Zalzalah: 2-5),“Apabila langit terbelah; Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan; Dan apabila lautan pecah bercampur baur;Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan” (QS al-Infi thar: 1-4)dan sebagainya.

Malah banyak penemuan sains hari ini telah pun dinyatakan terlebih dahulu dalam al-Quran. Antaranya seperti penemuan mengenai pergerakan orbit di angkasa sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “(dengan ketentuan Yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing”.(QSYasin: 40),

Mengenai janin dalam perut ibunya ditutupi oleh tiga lapisan seperti firman-Nya yang bermaksud:“.. ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat)dari satu kejadian kesatu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita. Yang demikian(kekuasaan-Nya) ialah Allah tuhan kamu; bagi-Nyalah kekuasaan yang mutlak; tiada tuhan melainkan dia; oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan (dari mematuhi perintah-Nya)?”(QS al-Zumar: 6)

Banyak lagi yang terkandung dalam al-Quran. Mukjizat dan cabaran ini sentiasa mencabar perkembangan dan kemajuan manusia sehinggalah tibanya hari kiamat.

Agenda Utama Kehidupan

Sebagai seorang mukmin seharusnya al-Quran menjadi agenda utama dalam kehidupan kerana ia adalah mukjizat terbesar, masih ada sehingga hari ini dan boleh dibaca dan ditadabbur ayatnya saban hari.Alangkah ruginya manusia yang meninggalkan mukjizat terbesar ini dan memilih jalan selain daripada al-Quran. Oleh itu, antara tanggungjawab seorang mukmin terhadap al-Quran adalah seperti berikut:

• beriman dengan segala isikandungannya;

• mendengar dan menghayatinya;

• membacanya sebagai rutin;

• mengamalkan ajarannya;

• menghafaz ayat-ayatnya, dan

• menyampaikan kepada orang lain.

Melaksanakan tanggungjawab tersebut, sudah pasti akan terserlah satu persatu mukjizatnya yang hanya akan dapat dikenal pasti oleh mereka yang memerhati,mentadabbur, mengkaji dan menganalisis ayat suci al-Quran.Dengan penzahiran mukjizat ini,secara tidak langsung ia menjadi medan dakwah yang akan membuka mata golongan yang mengingkari al-Quran agar kembali kepada al-Quran.Masyarakat Islam hari ini perlu mengubah sudut pandangannya terhadap al-Quran. Al-Quran bukan kitab bacaan rutin sahaja,ia adalah mukjizat terbesar yang mencabar setiap golongan yang mengingkarinya dan sebagai penguat keimanan orang beriman dengan terzahirnya mukjizat al-Quran satu persatu di zaman ini.