N.Murugan Bantu Masyarakat Dengan BSMM


Kerjaya sebagai guru bukan penghalang kepada Murugan Nagu Pandithan, 50 aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kerja-kerja amal.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang atau lebih dikenali sebagai Kajang High School (KHS) ini bukan sahaja aktif dalam misi-misi bantuan bencana alam di dalam negara,malah menerusi pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) beliau turut menyumbang bakti kepada masyarakat di seluruh dunia.

Sehingga Ogos lalu, Murugan pernah terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan di Aceh, Indonesia,Pakistan, Vietnam, Nepal, Thailanddan sebagainya. Jadi, tidak hairanlah apabila beliau pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2007 atas sumbangannya kepada dunia Islam.

Rasa cinta dan penglibatannya dalam BSMM, Murugan berkata minatnya terhadap aktiviti kemasyarakatan bermula sejak menuntut di bangku sekolah lagi.

Dengan penglibatan aktif beliau dalam BSMM selepas tamat belajar di universiti pada tahun 2001.Murugan dilantik sebagai Pegawai Teknik Bulan Sabit Merah (BSMM),Jabatan Pendidikan Negeri Selangor(JPS) pada tahun 2002. Tugas seorang Pegawai Teknik adalah sebagai pakar rujuk yang memberi nasihat kepada JPS tentang program BSMM.

Menggalas jawatan penting sebagai Setiausaha Kehormat BSMM negeri Selangor dan Jurulatih Kebangsaan, Murugan menyatakan ia bukan sekadar pangkat tetapi satu tanggungjawab besar yang menuntut pengorbanan dari segi masa dan tenaga.

Aktif Walau Tanpa BSMM Di Sekolah

Sebagai guru di sebuah sekolah yang tidak mempunyai persatuan BSMM sebelum 2007, bukanlah menjadi penghalang buat Murugan untuk tetap aktif dalam BSMM.Biarpun tanpa persatuan tersebut di Kajang High School, beliau tetap aktif melakukan projek-projek diperingkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah di sekitar Selangor.

Tidak lama selepas melaporkan diri di Kajang High School, dunia digemparkan berita bencana tsunami di Aceh, Indonesia.Terpanggil daripada kejadian itu, pada Februari 2005 Murugan mengikuti misi bantuan bencana alam yang telah meragut ratusan ribu nyawa di Aceh.

Di sana, N. Murugan ditugaskan untuk mengurus sebuah gedung penyimpanan makanan yang bertujuan mengumpul semua sumbangan rakyat Malaysia di satu tempat yang selamat.

“Bagi misi bantuan ini, kami telah menubuhkan tiga unit bantuan yang melibatkan unit makanan,unit perubatan (medical) dan unit bantuan (relief). Demi memastikan sumbangan dapat diagihkan kepada semua mangsa tsunami,tanggungjawab ini menuntut saya bekerja selama 18 jam sehari.

“Selaku ketua unit pengedaran makanan, saya harus bertindak mengagihkan sumbangan makanan kepada mangsa tsunami.Pengagihan dilakukan mengikut prinsip sama rata berpandukan senarai nama yang diberikan oleh pihak berkuasa Provinsi Aceh.

“Selepas misi bantuan di Aceh,tahun 2006 berlaku pula gempa bumi di sempadan antara Afghanistan dengan Pakistan. Misi kali ini, selaku ketua pasukan perubatan, saya membawa dua orang doktor dan seorang paramedik. Di sana, kami bertugas di Gunung Mong kawasan kemuncak berlakunya bencana alam.Mengikut catatan, seramai 200 ribu orang dilaporkan telah terkorban,”katanya.

Dalam menjalankan misi kemanusiaan di mana-mana kawasan bencana alam diseluruh dunia, seseorang itu harus mempunyai lesen Regional Disaster Response Team (RDRT).Bagi menduduki ujian untuk mendapatkan lesen ini, pihak BSMM akan mencalonkan sesiapa yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Persatuan Tidak Mendapat Sambutan

Secara rasmi, BSMM Kajang High School ditubuhkan pada tahun 2007. Kisahnya bermula setelah Dr.Muhammad Wira Ibrahim selaku Guru Penolong Kanan (Kokurikulum)ketika itu melihat N. Murugan begitu aktif dalam BSMM. Dari situ, beliau telah mencadangkan supaya BSMM ditubuhkan di sekolah tersebut.

Daripada sebuah sekolah yang sudah terbiasa dengan persatuan-persatuan yang bergerak seiring zaman penjajahan British, N.Murugan menerima cabaran besar untuknya menarik minat murid di Kajang High School menyertai BSMM.

“Di Kajang High School, saya perlu bermula dengan zero. Murid-murid langsung tidak berminat dengan BSMM kerana bagi mereka sebuah persatuan yang baru tidak mungkin akan bergerak aktif seperti persatuan lain. Mereka tidak yakin dan sudah selesa dengan unit lain yang ditubuhkan ketika sekolah ini mula dibuka.

“Sebagai kubu kuat St. John Ambulance dan Pengakap, tidak hairanlah jika pada awal penubuhan BSMM, hanya 10 orang sahaja yang berminat menghantar borang keahlian. Bermula dari situ, saya mula mengatur langkah untuk menarik lebih ramai murid menyertai BSMM,”ujarnya.

Memandangkan N. Murugan adalah Jurulatih BSMM, kedudukan itu memberikan kelebihan kepadanya untuk membentuk sebuah pasukan BSMM di Kajang High School.Kejayaan pertama yang dicatatkan oleh BSMM adalah menerusi Pertandingan Pertolongan Cemas Peringkat Daerah Hulu Langat 2010 dan Anugerah Pasukan Badan Beruniforn Terbaik 2010.

Anjakan Paradigma Cita-cita

Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh BSMM dilihat sebagai satu pencapaian yang hebat oleh BSMM Kebangsaan. Lantaran itu,Kajang High School telah diletakkan sebagai penanda aras BSMM apabila sebarang program antarabangsa seperti lawatan Palang Merah Jepun dan Palang Merah Hong Kong,mereka akan terus dibawa ke sekolah ini.

Selain itu, pada setiap tahun Kajang High School akan menerima kunjungan daripada Palang Merah Korea (PMK), di bawah program pertukaran pelajar antara BSMM dengan PMK. Seramai empat dari 10 orang murid yang terlibat dalam program ini merupakan murid dari Kajang High School.

Cikgu n.Murugan juga bergiat aktif dalam kempen derma darah.

Dalam pada itu, BSMM Kajang High School juga banyak menyertai program BSMM peringkat kebangsaan.Malah, pada hujung minggu jika mendapat jemputan untuk membantu berkongsi ilmu BSMM dari sekolah disekitar daerah Hulu Langat, kebiasaannya pelajar Kajang High School sendiri akan bertindak sebagai fasilitator. Itulah kemenjadian murid yang dapat dilihat menerusi BSMM disekolah ini.

Menurut N. Murugan,melalui program yang telah dijalankan BSMM ini, ia memberi kesan pada hati dan telah membuka mata murid sehingga berlaku anjakan paradigma dalam cita-cita mereka dalam bidang perubatan.Persatuan BSMM bukan setakat badan uniform di sekolah, ia lebih daripada itu apabila berjaya menukar persepsi masyarakat dan mewujudkan cita-cita baharu kepada ahli BSMM.

Menurut N. Murugan, melalui program yang telah dijalankan BSMM ini, ia memberi kesan pada hati dan telah membuka mata murid sehingga berlaku anjakan paradigma dalam cita-cita mereka dalam bidang perubatan.

KHS Perintis Projek Penanaman Bakau

“Semasa dalam misi bantuan dan menyelamat mangsa tsunami Aceh tahun 2004, saya telah bertugas bersama pasukan dari Norway Red Cross (NRC). Mereka hairan mengapa tsunami boleh melanda Aceh sehingga mengorbankan seramai 250 ribu orang, sedangkan Aceh seperti sebuah pulau yang di kelilingi oleh pokok bakau.

“Selama 100 hari di Aceh, saya telah membuat satu tinjauan dan hasil daripada pemantauan tersebut,saya mendapati bahawa hampir kesemua pokok bakau di sana telah ditebang untuk tujuan komersial.

“Maka disebabkan itulah apabila tsunami melanda, Aceh sudah tiada zon penampan. Ya, kematian mungkin berlaku tetapi jumlah tersebut pasti dapat dikurangkan.Terasa daripada sindiran NRC itulah saya mendapat idea untuk membuat program menanam bakau ini,” kata N. Murugan yang meletakkan Kajang High School sebagai perintis Program Menanam Pokok Bakau.

Mengulas lanjut menurut N.Murugan, pokok bakau mempunyai kuasa yang hebat dalam menghasilkan ubat cirit birit charcoal dan juga digunakan untuk tujuan pembangunan. Di Aceh sebuah wilayah yang status ekonominya kurang maju, mereka menggunakan kayu bakau untuk menggantikan asas dalam projek pembinaan.Sifat kayu bakau ialah semakin ia direndam di dalam air, ia akan menjadi semakin kuat.

Kini Program Menanam Pokok Bakau anjuran Kajang High School telah menjadi program peringkat antarabangsa yang memasuki tahun ke-10. Program yang diadakan pada 7 Oktober 2018 melibatkan enam buah negara, dan sehingga awal Ogos lalu Jerman, Kemboja, Vietnam,Sri Lanka telah mengesahkan kehadiran (Thailand dan Indonesia turut dijemput). Program Menanam Pokok Bakau yang pertama bermula pada tahun 2008 dengan aktiviti penanaman berlangsung di Taman Alam Kuala Selangor.

Misi Terkesan Di Hati

Menjadi ahli BSMM selama lebih 37 tahun membuka peluang kepada N. Murugan untuk membantu masyarakat serta menimba pelbagai pengalaman. Mengimbau kembali kenangan ketika bertugas dalam misi-misi bantuan kemanusiaan,beliau berkata misi bantuan di Kemboja dan Nepal telah menjentik rasa insaf di dalam hatinya.

Sepanjang berada dalam misi tersebut, beliau melihat sendiri bagaimana masyarakat di kedua-dua negara itu terpaksa mendiami pondok sebagai tempat berteduh di samping tiada bekalan air dan makanan untuk mengisi perut yang lapar.

Tambah menyedihkan lagi apabila hospital yang ada tidak mempunyai doktor dan ubat-ubatan yang mencukupi. Malah, jika ingin ke klinik pula, mereka perlu menempuhi perjalanan selama lapan jam bagi mendapatkan rawatan. Maka,oleh sebab itulah kualiti kehidupan mereka semakin menurun.

Namun, lain pula pengalaman yang ditempuhinya semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan di Rohingya. “Ketika dalam misi di Rohingya, saya bertugas sebagai Ketua Deligasi untuk membuat rundingan dengan Palang Merah Myanmar. Rundingan ini adalah bagi mewujudkan perhubungan bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa.

“Saya berada di Rohingnya pada waktu kemuncak berlakunya keganasan seperti pembunuhan,kebakaran rumah dan sebagainya. Jika diingatkan kembali, ia satu peristiwa yang cukup menyayat hati dan pastinya masih segar dalam ingatan saya ini,” ujar N. Murugan.

Terbaharu, N.Murugan baru pulang dari Jogjakarta bagi membuat rundingan untuk mengadakan program perkhemahan bersama Palang Merah Indonesia (PMI). Kemudian, pada November 2018 pula, beliau dijemput untuk melawat tapak tempat berlaku peperangan di Jaffna, Sri Lanka bagi Program Pasca Peperangan yang bakal berlangsung pada tahun 2020.

Terima Kasih Semua

N. Murugan melahirkan rasa gembira dan beruntung kerana mempunyai kumpulan kerja (teamwork)yang sangat baik. Pihak pentadbir sekolah, khasnya Pengetua Kajang High School, Zaiazman Mohd Zainuddin sangat memberi sokongan dan dorongan kepada beliau dalam mengurus dan membawa BSMM ketahap yang lebih tinggi.“Saya menerima sokongan yang cukup kuat daripada pengetua dan rakan-rakan guru yang sangat membantu dalam menguruskan BSMM Kajang High School. Jika saya seorang diri menguruskan persatuan, belum tentu lagi ia akan menjadi sehebat hari ini,” kata N.Murugan yang menerima Anugerah Pingat Jasa Kebaktian(PJK) dan Anugerah Guru Kokurikulum Terbaik Kebangsaan.