Mantapkan Penguasaan Bahasa Melayu:Program Bual Bicara Ilmu TITB7 Terus Manfaatkan Guru & Murid


Setelah enam siri mencipta sejarah tersendiri, program bual bicara Titisan Ilmu Taburan Budi(TITB) menerbangkan sayapnya ke Miri, Bumi Kenyalang yang kaya dengan nilai tradisi dan keindahan alam semula jadi. Kali ini, semboyan program TITB berbunyi dengan kehadiran lebih 50 orang peserta dan tiga orang penceramah terkemuka di Malaysia, termasuklah Sasterawan Negara ke-13, Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Penceramah diterbangkan khas ke Universiti Curtin, kampus Miri, Sarawak yang tersergam indah sekali gus menjadikan Miri bakal menjadi bandar pendidikan antarabangsa suatu hari nanti.

Dalam lawatan ke kampus yang berteknologi dan berkemudahan kelas internasional itu, pegawai bertugas memperkenalkan auditorium kepada penceramah dan penganjur TITB yang berhasrat menjadikan lokasi itu sebagai lokasi program pada masa depan. Sejurus selepas itu, penganjur program terus menuju ke Pustaka Miri yang menjadi mercu tanda keilmuan di bandar damai itu. Perpustakaan Miri, Sarawak yang tersergam indah ini telah dibuka kepada orang awam sejak 2002 lagi.

Sulaman mesra

Ketibaan penganjur disambut baik oleh petugas perpustakaan dan urus setia yang berusaha untuk menjadikan program ini suatu kejayaan. Penganjur Program TITB, Asyiqeen Amin bersyukur kerana kelancaran program kali ini diserikan dan dimeriahkan oleh penaja tempatan yang belum pernah dikenalinya. Malah, sulaman mesra dan jalinan kerjasama yang lancar daripada penaja utama,Majalah Pendidik terbitan Wardah Communication Sdn. Bhd. menjadikan program bertambah menarik.

Selain itu, majlis juga diserikan oleh penajaan buku daripada penerbit buku terkemuka di Malaysia,Nusamas, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kedai buku KKBook Centre di Miri. Majlis turut diperindah kenangannya oleh penaja hadiah daripada Habibi Cake Shop dan Kek Lapis Sarawak Siti Payung,baucar dan tiket masuk daripada Samariang, Upside Down House di Kuching, Bintulu Development Authority, dan Jong’s Crocodile Farm.Manakala Jabatan Hutan Sarawak pula bermurah hati menaja wang peruntukan untuk menjayakan majlis keilmuan ini.

Peserta TITB7 mengambil peluang bergambar bersama-sama penceramah dan perasmi majlis di Miri, Sarawak.

Kemeriahan dan kemesraan orang Miri makin lama makin terasa apabila kedai bunga Wan Soon Florist Enterprise, Big Leaf Florist dan Honey Bee Florist bermurah hati menaja jambangan bunga untuk peserta undangan, penceramah, dan perasmi majlis. Pada masa yang sama,penceramah yang dibawa ke Miri juga ditaja tempat penginapan di Pacific Orient Hotel dan Merdeka Suite Hotel. Terima kasih buat Pengusaha Projek Buku Kanak-kanak dari Terengganu, Asri Ayob yang menaja kos penghantaran Kamus Dewan sumbangan DBP.

Barisan penceramah program bual bicara Titisan Ilmu Taburan Budi (TITB) dari kanan Cikgu Tan CL,Dato’ Dr. Zurinah Hassan dan Khairuddin Ayip.

Sasterawan Negara mengindahkan majlis

Seawal 7.30 pagi lagi, para peserta sudah mendaftarkan diri dan diberi beg bingkisan yang berisi Majalah Pendidik, buku-buku tajaan, dan risalah atur cara yang berkaitan dengan TITB7. Selepas memasuki dewan, pengacara majlis merangkap penceramah kedua, Cikgu Tan CL memulakan majlis.

Kedatangan undangan khas Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Zurinah yang juga perasmi majlis menerima tepukan bergemuruh daripada peserta yang hadir. Selepas merasmikan majlis, Dr. Zurinah menyampaikan puisi dan diikuti ceramah beliau yang bertajuk Pembestarian Puisi Melayu dalam Seni Didik Hibur.

Selain memperkenalkan pantun,beliau juga menyampaikan ilmu nazam dan mendendangkan lagu nazam dengan baiknya secara langsung. Peserta terpaku mendengar nyanyian beliau. Beliau dalam seminarnya berharap agar guru-guru menyampaikan ilmu bahasa dengan seni bahasa yang indah agar Pengajaran dan Pemudahcaraan(PdPc) menjadi lebih hidup.

Turut hadir memeriahkan program adalah Zainal Abidin Suhaili, penerima anugerah Penyair Gap ena 2018.Sekitar jam 9.50 pagi, penyair tersohor Miri itu pula dijemput ke pentas untuk mendeklamasikan sajaknya.

Selepas sesi seminar pertama,peserta menuju ke ruang legar di luar auditorium untuk menikmati minum pagi. Peserta juga berpeluang melihat pameran buku dan membeli buku yang dijual oleh wakil jualan dari DBP dan Nusamas yang membuka reruai jualan di sana.

Ashikin menyampaikan jambangan bunga kepada Sasterawan Negara Ke-13, Dato’ Dr. Zurinah Hassan.

Perkongsian hebat dari Cikgu Tan CL

Majlis diteruskan dengan ceramah kedua dari Cikgu Tan CL yang bertajuk Pemantapan Tatabahasa dan Pemapanan Bahasa Melayu dalam PdPc. Seminar beliau disampaikan dengan nada semangat bahasa dan perjuangan pemantapan bahasa dan pemapanan ilmu pengetahuan tentang tatabahasa yang tinggi.

Beliau beranggapan bahawa kapal sukses yang ingin dinaiki tidak dapat memasuki dermaga kehidupan kita dek kekangan dan rintangan persekitaran, kita harus merenangi gelora dan melawan ombak cabaran demi  menaiki kapal kejayaan tersebut agar pelayaran itu sampai jua didestinasi kegemilangan.

Maka, guru subjek Bahasa Melayu mestilah hidup seperti akar, ikhlas memberikan apa-apa sahaja untuk disalurkan kepada kesuburan pokok meskipun si pokok ada juga yang tidak pernah melihat akarnya. Kadangkala,anak-anak murid memerlukan motivasi dan kata-kata perangsang. Dengan pupukan dan semaian kata dorongan itu, mereka akan mula mendengar kata dan bicara gurunya.

Cikgu Tan berharap agar tip dan rumus yang ditunjangi Tatabahasa Dewan dan rujukan ejaan utama bersumberkan Kamus Dewan akan menjadi pegangan kalian. Biarlah orang lain beranggapan bahawa “serondeng”dan “nasi himpit” yang kita tulis dan eja itu pelik, tetapi kita dapat membuktikan bahawa kita menggunakan bahasa Melayu dan menulis dengan betul dan tepat dengan semangat cinta akan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi kita menurut Perlembagaan Malaysia yang mesti kita hormati. Selepas beliau menamatkan penyampaian seminar itu, para hadirin memberikan tepukan semangat dan sokongan padu kepada beliau.

Penyampaian yang santai

Kemudian, Khairuddin Ayip pula meneruskan ceramah beliau yang bertajuk Teknik Penulisan Karangan yang Berimpak Gred A pada pukul 12.00 tengah hari. Beliau pandai mengubah mood peserta daripada serius dalam sesi kedua, yakni sesi Cikgu Tan CL kepada suasana lebih santai.Pertukaran suasana ini menjadi dengan selingan kecindan dan gurauan yang disulami ilmu penulisan yang mantap.Ilmu penulisan yang disampaikan oleh beliau mendapat perhatian menyeluruh daripada para peserta di dalam auditorium.

Gaya penyampaian beliau bak sateria bahasa itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh para peserta yang tidak berganjak dari tempat duduk. Beliau juga sempat menyampaikan beberapa tip untuk menulis karangan yang baik disamping disiplin penulisan yang harus dipegang oleh seorang penulis buku.Perkongsian ilmu selama satu jam setengah itu dirasakan berakhir dalam sekelip mata sahaja memandangkan peserta berasa seperti tidak puas menimba ilmu pengetahuan pada hari tersebut.

Beberapa orang peserta merakam gambar kenangan sejurus tamat majlis.

Reaksi positif peserta

Sejurus selepas itu, penganjur majlis, Asyiqeen Amin pulamenggalas tugas rasmi untuk sesi penutupan dan penyampaian hadiah. Sijil dan penghargaan disampaikan kepada penceramah yang telah menyampaikan ilmu kepada peserta. Dengan kehadiran peserta dan penceramah dari lebih daripada tiga buah negeri yang berbeza, program TITB7 layak diiktiraf sebagai program berperingkat kebangsaan.

Majlis yang berjalan dengan lancarnya ini mendapat reaksi yang positif daripada peserta. Rata-rata meluahkan kegembiraan dan kepuasan atas pengorbanan masa mereka dalam cuti sekolah.

Malah, Asyiqeen Amin sendiri terharu dan menganggap peserta TITB7 adalah antara yang terbaik.setakat ini. Beliau juga memuji kerjasama dan jalinan daripada guru-guru dan pegawai School Improvement Specialist Coaches(SISC+), Pejabat Pendidikan Daerah(PPD) Miri, Tuan Zamri yang banyak memberikan sokongan dan bantuan untuk merealisasikan TITB7 di Miri sebagai majlis perkongsian ilmu yang amat bernilai.

Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang hadir pada hari itu.Beliau beranggapan bahawa penganjuran secara bebas begini memberikan impak yang lebih besar kepada peserta kerana keseriusan mereka menimba ilmu dan kesungguhan mereka mencari pengetahuan untuk memantapkan PdPc masing-masing. Tuntasnya,TITB7 telah berjalan dengan lancarnya dan kenangan indah terukir di Miri, Sarawak.