Menggamit Nostalgia Safiya


Malam kembali dingin menyaluti tubuh Cikgu Haikal yang masih liat untuk masuk ke kamar. Buku yang bertaburan di meja tulis tidak larat ditatap lagi. Rangka kerja tugasan guru yang baru siap di dada komputer terus-terusan tidak diusik.

Banyak kerja yang terbengkalai sejak seminggu dua ini. Kehadiran guru baharu bernama Veronica Gomez itu benar-benar telah menyentap momentum kerjayanya.

Haikal Afendi selongkar kembali fail lama dua belas tahun silam yang masih kekal sebagai khazanah kehidupan. Dia keluarkan sehelai demi sehelai surat perkasihan mereka yang tidak kesampaian.

Segelung rindu memaut erat Menggamit Nostalgia tubuh. Mengganti selimut tebal yang selalu menyaluti tubuhnya dan Amira Syafiqah , isteri kesayangan. Tidak sampai hati rasanya dia menghukum sang isteri yang tidak tahu apa-apa tentang kedinginan prestasinya marcapada.

Bait-bait lagu yang Veronica dendangkan kira-kira dua dekad lalu kembali mengisi ruang di laci kecil mindanya. Suara mersiknya yang lunak sudah tentu kini dialihkan dengan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran yang telah dihafal.

Sungguh, Haikal amat bersyukur kehadrat Illahi kerana menumpahkan nur-Nya ke dalam diri insan bernama Veronica Gomez ini. Tidak pernah berfikir dia akan berjaya melakukan transformasi.

Namun api kekesalan tiba-tiba membara, mengapa bukan dia yang memimpin tangan Veronica ke jalan itu. Alangkah bertuahnya diri sekiranya, dia yang berjaya menjadi asbab sinar nur kepada orang yang amat dicintainya suatu waktu dahulu.

Sementalah lagi itulah yang sering diharap dan diimpikan sebelum ijab kabul dapat dilafazkan. Namun segalanya terlalu pantas berlaku. Hingga Haikal tidak menyedari kesilapan lalu akan mengutus dendam terindah yang amat berat untuk ditebus kembali.

Haikal dihurung kesal. Kesal kerana hatinya ibarat pualam yang tidak mahu mengalah dan terus menghukum Veronica ketika mendengar perkhabaran perkahwinannya. Haikal kesalamat kini. Lebih-lebih lagi pabila mengingat kembali bait-bait kata-katanya lewat perpisahan mereka.

‘Hatiku hanyalah satu, dan yang satu itu telah kuberikanpadamu….’ Ah, alangkah setianya kau, Veron!

Suara lunak mutakhir Safiya @Veronica Gomez menujah-nujah jaring gegendang. Bersilih ganti seolah-olah pita kaset yang tidak mahu berhenti. Membuatkan cuping telinganya yang nipis itu panas kemerahan. Terhukum oleh kesilapan sendiri.

Angin malam yang menerobos masuk melalui celah-celah tingkap kamar menghantar isyarat rindu yang amat sarat. Seakan-akan memanggilnya untuk menyelusuri kembali jalanan masa silam penuh romantika dan simfoni soneta remaja.

Haikal menapak ke ambang kamar, berpaling kepada Amira Syafiqah, isteri solehah yang sedang lena dibuai mimpi kasturi. Haikal bersyukur biarpun di awal pertemuan dahulu, dia tidak pernah berhajat untuk menjadikannya tiang seri keluarga.Menjaga anak-anak dan memberi sepenuh kasih sayang padu.Namun itulah takdir.

Dia lihat redup matanya yang menjadi payung kesejahteraan rumah tangga mereka. Semoga kau terus lena dengan tenang,sayang, desis hati Haikal seakan-akan menyalurkan angin penyesalan ke pelipis deria Amira.Jam sudah mencecah keangka 12. Haikal masih menatap helai demi helai catatan lama Veronica yang memendam sejuta pengharapan. Sungguh dia amat tabah menghadapi kehancuran.Malah kehancuran telah membina semula keyakinannya.Seperti madah keramat seorang pemimpin negara,‘Di atas Keruntuhan Kota Melaka, kita bina Putrajaya’.Demikianlah kau, Veronica keluargamu punah persis kota Melaka yang hancur. Namun Safiya, ibarat Putrajaya yang mampu kau bangunkan semula,desis Haikal sendirian. Haikal kagum dengan keperkasaannya,biar dibalut dengan tubuh pipih yang kian lara, namun semangat kersani membara di jiwa.

Dan Cikgu Haikal Affendi,secara total merudum prestasi kerjanya. Dia gagal melaksanakan tugas sebagaimana sediakala.Haikal tewas dengan igauan kelmarin yang nyata memberi impak dalam tugasan harian. Dia kesal sebenarnya. Kesal kerana gagal mencicirkan debunga kasih ke oasis hati Veronica.

Menyebabkan lembah itu jadi kering dan tandus bak sahara luka.Haikal seolah-olah mahu menebus kembali kekalahan masa lalu.Biarpun perpisahan berlaku tanpa dirancang dan mereka sendiri tidak menghalang, namun keadaan premis Safiya kini membuatkan simfoni kasih Haikal kembali mengundang.

Kuntum-kuntum yang layu kembali berkembang. Sedikit demi sedikit lopaknya meranggi mekar dan bugar. Memerahkan warna pagi yang selalunya redup dengan lambaian hijau pohon kelapa sawit sepanjang jalanan ke sekolah.Sekolah di kawasan pinggir bandar yang memang sejuk mata memandang.

Kini panorama monotonous itu membantu metamorfosis menjadi ranggi dan kelopak yang kekal keindahnnya. Namun semuanya hanya berlaku di dalam dirinya.Tidak pasti adakah bunga itu turut menyeri ujana Safiya. Ah,kembali Haikal berhiba dengan eligi sonata!

ii

Malam kian merangkak sunyi. Dini hari itu, Haikal lena bertemankan citra luka kisah silamnya. Cinta yang tercicir diperkebunan duka. Memacakkan rasa ngilu sembilu tajam menuris bilahan hati. Barangkali, malam ini rebas gerimis bakal turun lagi,mengisi laman becah di hati tandusnya.

Haikal tatap persekitaran sekolah yang luas saujana.Pepohon hijau melapisi lanai yang landai penuh ceria. Rimbunan siantan aneka warna membungai panorama, cantik dipandang mata. Bersulam pula puding batik dan bourgenvila berseri menata suasana.

Dering loceng menandakan tamat sesi persekolahan hari ini.Guru-guru sibuk menandatangan ibuku kedatangan. Ada juga yang bergegas ke bilik Penolong Kanan Satu untuk menghantar buku Ringkasan Mengajar. Esok hari cuti hujung minggu.

“Cikgu Haikal, saya telah melupakan segalanya. Segala yang pernah terjadi di antara kita hanyalah secarik kenangan,”lirih suara Safiya tetapi pantas menyambut bicara Haikal yang belum berhujung. Haikal terpempan. Niatnya untuk mengutus sejuta apologia tertunda di situ. Namun dihatinya bersarang sebanyak mungkin bilah-bilah kemaafan untuk disajikan kepada insan dihadapannya kini.

Cikgu Haikal menjemput Cikgu Safiya@Veronica duduk sejenak usai menandatangai buku tugasannya. Memang tidak dapat lari dari rusuh di muara hati sejak kedatangan guru baharu dari negeri di bawah bayu itu. Lukanya parah tiba-tiba tanpa mampu dibebat rasa bersalah.

“Aku... masih terkilan. Mengapa ini semua terjadi, Ver,” Haikal seakan-akan merayu simpati pula pada wanita yang kelihatan tenang sahaja sambil mengambil semula buku Ringkasan Mengajarnya.Tulisan yang cantik,pembalutnya yang kemas,dan segalanya tersusun indah bagai lapis-lapis mawar merah yang segar bugar di taman Inderaloka.

“ Itu semua sudah tinggal kenangan, Cikgu Haikal. Saya terpaksa mematuhi kehendak keluarga untuk dikahwinkan dengan pilihan mereka. Itu bukan salah kita,“ Haikal tahu kata-kata itu bukan keluar dari ikhlas hati Safiya.

Nadanya juga hambar dan menyimpan seribu keraguan.Haikal bisa membaca definisi suara Safiya itu. Kerana dia sedar kesilapan sebenar adalah terpikul di bahunya. Selonggok beban seperti tersandang di bahunya.

“Tapi aku, langsung tidak berusaha untuk memberitahu hal sebenar. Berterus-terang dengan keluargamu mengenai perhubungan kita,” Haikal cuba menarik perhatian Safiya.

Dia mahu menceritakan hal sebenar bagaimana bisa jatuh cinta dengan Amira..Dia mahu memohon apologia kerana gagal meyakinkan Veronica bahawa cintanya juga tulen. Tapi…rongga artikulasinya pengap. Tidak mampu melontar literasi.

“Kehidupan ini menjanjikan segalanya- keindahan dan kebobrokan. Tidak semua kehidupan itu indah, tapi yang indah itu adalah hidup. Pahit getir, sesukar mana pun,hidup mesti diteruskan.Perjalanan tidak akan terhenti selagi nyawa dikandung badan.”

“Tak apalah Haikal. Kau pun sudah mendapat apa yang kau mahu. Aku juga telah memperoleh sesuatu yang berharga. Bagiku keimanan ini yang lebih perlu kujaga kini. Kita tak ada jodoh.”

Safiya nyata menyimpan sendu yang tidak mampu disembunyikan.Mengundang segaris jalur merah di retina mata Haikal. Ternyata ketabahan hatinya menangani permasalahan peribadi amat dikagumi. Selepas berpisah dengan suami yang dinikahi hasil desakan papa, Safiya hilang arah.

Dia ibarat burung patah sayap,terjelepuk longlai. Apa lagi selama ini bekas suaminya selalu mendera fizikal dan emosinya. Hingga terpaksa pula Veronica melarikan diri dan berpisah dengan Gerard.Dia sebatang kara.

Ah, alangkah sadisnya ketika Veronica berjeda selepas mengemukakan ceritera betapa dia terpaksa merana memunggah lara. Dibuang keluarga dan diseksa suami setiap masa. Hingga terpaksa dia memohon suaka di bumi Semenanjung ini untuk menyelamatkan diri. Dan di sinilah bulir-bulir hidayah menjengah.

Kehidupan ini menjanjikan segalanya - keindahan dan kebobrokan. Tidak semua kehidupan itu indah, tapi yang indah itu adalah hidup. Pahit getir,sesukar mana pun, hidup mesti diteruskan. Perjalanan tidak akan terhenti selagi nyawa dikandung badan.

“Kau belum maafkan aku lagi Ver, er.. Safiya.” Perasaan Haikal masih sebal. Safiya hanya utus senyum kelat. Senyuman yang Haikal anggap amat sinis dan menyimpan sindirian yang tajam pula. Ah, betapa dia harus bisa memaafkan setelah hati luluh dek perbuatanku, gumam hatinya berkali-kali.

“Kau tidak bersalah. Kita tidak bersalah,” Lunak suaranya. Haikal tertewas. Itulah kendiri Veronica sejak zaman persekolahan mereka dahulu. Mematikan kekuatan fizik kelelakiannya dan melenturkan spiritual maskulin seorang Haikal.Dia akur ini semua bukan kerja manusia.

iii

Dia sedar di hadapannya kini bukan lagi Veronica yang tidak memahami mengapa sesuatu takdir berlaku. Apa erti qadha dan qadar Tuhan. Apa alam malakut,apa alam jabarut. Di hadapannya adalah seorang Safiya yang sudah sama taraf malah mungkin lebih tinggi makamnya daripada dirinya sendiri.

Oleh itu bicaranya juga kena beralas agama dan Islamik. Kena berdalil akli dan nakli. Bernas al-Quran dan as-Sunnah. Bukan lagi berlandaskan logik akal semata-mata.Atau bukti empirikal dan kajian klinikal sebagai mana ilmu sains yang pernah sama-sama mereka pelajari. ”Aku banyak menyakitimu, Fiya...” Haikal sengaja mengukir sinis.

Kamar kembali kosong dan sepi. Riuh kerani sekolah berceloteh seperti selalunya dan budak pejabat sekolah telah sunyi.Barangkali semua telah lama kembali kerana hari ini waktu kerja lebih singkat daripada biasa.

Dua minggu yang berlalu banyak meninggalkan cerita sepi dan kesan psikologi kepada Haikal.. Cerita lama yang diolah kembali menjadi edisi baru dalam diari hidupnya. Cerita di mana dia yang menjadi pelakon utamanya,tapi lemah segala. Hero yang memiliki serba kekurangan dan tidak mampu menjadi penyelamat keadaan. Haikal tersungkur dihujung munasabah.

Dia selusuri masa silamnya. Dia imbas tragedi dan realiti semasa di universiti. Betapa dia tiba-tiba asyik bersama Amira yang kini menjadi miliknya. Hanya kerana beranggapan Veronica telah melupakannya dan berkahwin dengan Gerard.Sedangkan hempedu yang Veronica telan hanya dia yang merasakan. Akhirnya Haikal bahagia membina istana, sedang Veronica sengsara di lautan neraka.

iv

Hari ini Amira pulang penuh riang. Fifin dan Ikmal memaut mesra tangan uminya di mana segumpal senyum membungai wajah. Masakan tidak, hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan kelapan mereka.

Sebagai suami prihatin akan tarikh-tarikh keramat itu, Haikal pulang agak awal daripada biasa.Dia tempah khas kek istimewa bersama beberapa hidangan kegemaran Amira. Sementara menanti isteri dan anak-anaknya pulang, sempat juga dia menghias ruang itu ala kadar.

Amira pulang ikut waktu pejabat. Dari tempat kerja dia ambil kedua-dua anak mereka di Taska. Dia kerling kereta Ford Laser Haikal yang telah tersandar di parkir. Cepat-cepat dia bimbit tangan kedua-dua tangan anaknya memasuki rumah.

“Selamat ulang tahun perkahwinan kelapan, sayang!”Haikal membuat gemparan selepas mereka memasuki ruang makan.Sebiji kek sederhana besar di atas meja di kelilingi beberapa buah pinggan dan gelas eksotik belian dari Langkawi.

“Oh, terima kasih,bang!” balas Amira nyata teruja dengan situasi tersebut. Satu kucupan mesra menyinggahi dahi licin sang isteri. Mereka memenuhi momen manis dengan bergilir menyuap.Mesra dan indah sekali. Ikmal dan Fifin yang telah boleh makan sendiri itu seakan-akan memahami situasi tanpa membuat hal.

“Ding Dong!”Mereka terhenti seketika. Haikal pandang Amira. Fifin dan Ikmal buat tak kisah. Siapa pula kacau daun ni, getus hatinya. Ketika dia mahu mengangkat punggung,Amira segera mendahului. Isyarat mata membuatkan Haikal memahami.“Assalamualaikum!”Spontan pula Haikal menjawab suara yang seakan-akan lazim didengari, menuras gegendang telinga.Sepantas itu pula dia paling kearah gerbang ruang masuk. Mahu sahaja gelas di tangan terlepas ke meja! Terpacak sekujur tubuh runcing dan seraut wajah yang bukan asing. Apakah!

Amira lihat getar di hati dan seluruh tubuh suaminya. Dan dia tidak merasa apa-apa reaksi pun daripada getaran tersebut. Malah senyum manis terus juga berbaris di permatang bibir. Membiarkan suaminya membilang persoalan demi persoalan.

“Abang..ini kawan Mira, Cikgu Safiya,” Amira seakan-akan bersenda pula dengan suami kesayangan. Masakan dia tidak tahu mereka satu sekolah dan sering berurusan dalam banyak hal kerjaya. Amira pun pernah bersua dengan Cikgu Safiya ketika majlis rasmi sekolah beberapa bulan lalu.

Terlebil-kebil mata Haikal ketika Amira membenarkan Safiya duduk di sebelah kirinya,sedangkan dia sendiri berlabuh di sisi kanan.Membiarkan kedua-dua anak mereka meneruskan menu diruang makan.“Abang, Mira tahu rindu yang bersarang diperdu hati abang. Rindu yang perlu bersahut dengan pengorbanan dan keikhlasan,” Amira bermadah menambah satu lagi persoalan di jiwa Haikal benar-benar hilang aksara untuk menukilkan frasa.

“Ini hadiah ulang tahun perkahwinan kita kali ini, bang.”Haikal kian terbelenggu oleh himpunan soal yang bertandang.Gemparan apakah ini? Safiya tunduk membenarkan momen itu diisi mereka berdua.

“Kami dah berbincang dan seiya sekata. Saya rela dan Safiya tidak bersalah apa-apa. Ini ketentuan yang Allah tetapkan,”khutbah Amira lagi. Allahu akbar,kata-kata itu memenuhi setiap rongga tubuh! Tidak pernah terlintas di mindanya itu yang Amira sampaikan.

Marcapada, memang dia hilang fokus dalam kerjaya dan sesekali hilang kawalan emosi. Kehadiran Safiya nyata memberi impak mendalam kepada kondisi dirinya.Tetiba Amira memberi kejutan serupa ini pula. Ah!

“Ambillah Safiya sebagai pelengkap kerjaya dan hidup abang. Mudah-mudahan dia akan menjadi peneman setia Amira.Haikal pegun. masih tidak dapat menukil sebarang ucapan.