Kaedah Penyampaian Maklumat Warkah Sultan al-Jaafar Muazam Syah dari Perak kepada O.Cavenagh


Suatu ketika dahulu, warkah merupakan medium komunikasi utama khususnya antara masyarakat Melayu lama dengan Sultan, pembesar, dan para pengawai Inggeris serta Belanda.Antara aspek yang mengisi sesepucuk warkah ialah politik, sosioekonomi, perdagangan,persahabatan mahupun permohonan bantuan atau pertolongan.

Pengisian aspek-aspek ini kebiasaannya terdapat dalam bahagian isi/kandungan warkah. Selain itu, warkah Melayu lama turut dibina berdasarkan komponen kepala, puji-pujian,pra penutup, dan penutup warkah.

Maklumat atau kandungan dalam warkah Melayu lama disampaikan menerusi dua kaedah, iaitu secara langsung atau tidak langsung. Dalam kaedah langsung kandungan warkah dipersembahkan melalui pernyataan terus. Manakala bagi kaedah tidak langsung pula informasi disalurkan secara berselindung atau berkias ibarat di sebalik kata-kata atau ungkapan yang digunakan.

Berdasarkan warkah kiriman Sultan al-Jaafar Muazam Syah atau Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah yang merupakan Sultan Perak yang ke-23, penyampaian kandungannya turut tergolong dalam dua kaedah tersebut.

Salah satu cara penyampaian dalam warkah tersebut ialah menerusi pernyataan kata-kata atau ungkapan yang terdapat pada komponen puji-pujian. Sultan al-Jaafar Muazam Syah memperkenalkan diri dan menyerlahkan kehebatan antara dirinya dengan penerima warkah, iaitu O. Cavenagh.

Kaedah pernyataan ini memberikan maklumat dan info yang jelas serta menaikkan imej kedua-duanya. Pernyataan ini dapat dibuktikan dalam contoh berikut:

…daripada beta Sultan Al-Jaafar Muazam Syah Negeri Perak Darul Ridzuan

……sahabat beta Tuan Kornil Orfeur Cavenagh yang mempunyai perintah di dalam tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang Singkapura Melaka yang sangat akil bijaksana gah masyhur kepada segala negeri barat dan timur karib dan baid.

Warkah Sultan al-Jaafar Muazam Syah dari Perak kepada O.Cavenagh,12 Safar 1276 (10 September-1859)

Cap: al-Wathiq bi-'llah al-Sultan al-Jaafar Muazam Syah ibn al-marhum Ahmad Syah ibn al-Cap: al-Wathiq bi-'llah al-Sultan al-Jaafar Muazam Syah ibn al-marhum Ahmad Syah ibn al-Sultan Mansur Syah Yang Dipertuan negeri Perak Darul Ridzuan 1275 [AD 1856]

Allah nur al-samawat wa-al-ard wa-ja’al al-zulumat wa-al-nur bi-amr Allah ta'ala liman(lahu) al-mulk al-Wahid al Qahhar, iaitu daripada beta Sultan Al-Jaafar Muazam Syah negeri Perak Darul Ridzuan, maka barang diwasilkan Tuhan hannan al-mannan kiranya ke hadapan sahabat beta Tuan Kornil Orfeur Cavenagh yang mempunyai perintah di dalam tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang Singkapura Melaka yang sangat akil bijaksana gah masyhur kepada segala negeri barat dan timur karib dan baid.Wabadahu daripada itu maka adalah beta dengar di dalam surat Tuan behormat E.A.Blundell mengatakan sahabat betalah akan jadi gantinya memegang perintah kepada daerah yang tiga buah negeri. Maka sangatlah beta menanggung kesukaan oleh mendengar sahabat menjadi Gunur yang tiga buah negeri supaya boleh beta memanjangkan jalan sahabat bersahabat serta tempat mengadukan hal yang bersalahan supaya dapat pertolongan jalan yang kebenaran, demikianlah beta nyatakan, supaya berpanjang-panjanganlah jalan kasih berkasihan suruh-menyuruh pergi mari senantiasa hari adanya.Termaktub surat kepada 12 hari bulan Safar kepada hari Ahad jam pukul 7 sanat 1276.

Verso:Daripada Sultan Al-Jaafar Al-Muazam Syah negeri Perak kepada Tuan Gabenur Singapura Pulau Pinang Melaka 1276. Pasal sudah dapat khabar Gaburnur Blundell pulang ke Eropa,datang lain kaptin pada 1860.

Dalam ungkapan (i), Sultanal-Jaafar memperkenalkan dirinya sebagai sultan yang memerintah negeri Perak pada masa itu.Pernyataan (ii) menjelaskan tentang penguasaan penerima warkah iaitu O. Cavenagh yang memerintah negeri-negeri selat iaitu Pulau Pinang, Singapura, dan Melaka.

Selain itu, pengirim warkah juga memuji kehebatan O. Cavenagh yang bijaksana dan masyhur.Pujian yang sebegini merupakan bukti tentang kemasyhuran penerima warkah yang tiada bandingannya sehingga ke negara-negara Barat mahupun timur.

Pernyataan terus bagi contoh(ii) di atas turut memperlihatkan sifat kehandalan dan penggunaan konsep ruang bagi menjelaskan lagi keperibadian penerima warkah.O. Cavenagh diberikan sifat sangat bijaksana dan masyhur untuk menunjukkan bahawa beliau mempunyai sifat-sifat tertentu yang tidak ada bandingannya

Kebijaksanaan dan kemasyhuran beliau itu digambarkan dalam skop ruang yang tidak terbatas atau tiada had, iaitu hingga ke negara-negara di barat dan timur.

Pernyataan terus yang memaparkan sifat dan konsep ruang yang tiada hadnya itu bertujuan membuktikan kehandalan serta pengaruh penerima warkah yang tidak terbatas. Ringkasnya, pernyataan terus ini merupakan salah satu cara untuk Sultan al-Jaafar memuji-muji dan mengagung-agungkan O. Cavenagh.

Seterusnya, kaedah ulasan juga ditemukan dalam warkah antara Sultan a-Jaafar dan O.Cavenagh ini. Antara lain kaedah ini bertujuan untuk menjelaskan dengan lebih lanjut tentang sesuatu kandungan warkah.Menerusi warkah ini, ungkapan berikut menghuraikan dengan jelas tentang sesuatu perkara yang telah dikenal pasti

.…sahabat betalah akan jadi gantinya memegang perintah kepada daerah yang tiga buah negeri. Maka sangatlah beta menanggung kesukaan oleh mendengar sahabat menjadi Gubnur yang tiga buah negeri supaya boleh beta memanjangkan jalan sahabat-bersahabat serta tempat mengadukan hal yang bersalahan supaya dapat pertolongan jalan yang kebenaran…

Sultan Perak melahirkan rasa kegembiraannya atas perlantikan O. Cavenagh sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat yang baharu. Dengan itu juga beliau berhasrat untuk mengeratkan tali persahabatan antara kedua-duanya dan menjadikan O. Cavenagh sebagai tempat untuk mengadu masalah serta mendapatkan pertolongan. Ulasan lanjut ini terdapat dalam isi kandungan warkah dan merupakan antara perkara penting.

Akhir sekali, dalam warkah ini kaedah doa turut digunakan oleh pengirim. Sungguhpun tiada penggunaan frasa atau ungkapan tertentu dalam bahasa Arab atau ayat-ayat daripada al-Quran,namun ungkapan pada penutup warkah menjelaskan tentang doadan harapan daripada pengirim warkah

.…supaya berpanjang-panjanganlah jalan kasih berkasihan suruh-menyuruh pergi mari senantiasa hari adanya.

Sultan al-Jaafar mendoakan semoga antara baginda dan O. Cavenagh terjalin rasa kasih mengasihi walau ke mana mereka berada. Tindakan baginda ini merupakan salah satu sifat dan amalan mulia raja-raja Melayu lama yang saling mendoakan penerima warkah tanpa mengira agama dan ajaran yang dianuti.

Ternyata kaedah pernyataan,ulasan, dan doa telah digunakan dalam penulisan warkah daripada Sultan al-Jaafar Muazam Syah kepada O. Cavenagh. Baginda menggunakan kaedah ini sebagai cara untuk mempromosi dirinya dan mengagung serta memuji-muji penerima warkah. Juga tujuan kaedah ini sebagai menghuraikan lebih lanjut sesuatu pernyataan dan mendokan keutuhan persahabatan antara kedua-duanya.

Walaupun warkah ini sederhana panjang dan agak ringkas tetapi terkandung beberapa isi penting yang perlu disampaikan kepada penerima. Pengolahan unsur pernyataan, ulasan dan doa kurang ditekankan dalam penulisan surat rasmi masa kini, yang lebih mengutamakan fakta yang ringkas dan padat.

Sungguhpun terdapat perbezaan dalam penulisan dan penyampaian isi antara surat rasmi masa kini dengan warkah Melayu lama, namun antara kedua-duanya sama penting dan mewarnai medium komunikasi dalam dan luar negara hingga kini.