Rumah Merah Di Atas Bukit:Bahagian 2


“HAH… Azmi minta aku kirim gambar! Mesti dia terus tak mahu berkawan dengan aku bila tengok gambar aku nanti.Aku ini tak cantik,” dengus hatiku. Pada usia remaja seperti itu, rupa paras memang menjadi perkara penting apatah lagi bila berhadapan dengan orang yang berlainan jantina.

Aku cuba berhelah. Aku meminta Azmi mengirimkan gambarnya terlebih dahulu dan kemudian barulah aku akan memberikan gambarku kepadanya. Ternyata Azmi akur dengan cadangan aku itu.Aku gembira dengan persetujuan itu dan terus menunggu warkah bersama gambar daripada Azmi pada minggu berikutnya.

Pada pagi itu seperti biasa aku mula berjalan menuju ke kedai Wan Long. Tiba-tiba Badaruddin tiba sambil membawakan sepucuk surat kepadaku. Aku sudah dapat menduga pengirim dan isi surat itu.Setelah Badaruddin berlalu, aku terus duduk di bawah pohon manggis lantas membuka warkah daripada Azmi itu. Sekeping gambar berada ditangan ku.

Alangkah terujanya aku apabila menatap gambar seorang jejaka yang sangat tampan. Aku benar-benar tidak menduga bahawa lelaki yang aku hubungi sejak beberapa bulan ini seorang jejaka yang sungguh kacak. Tiba-tiba perasaan dan hatiku bercampur-baur antara rasa gembira atau terhina.

Aku merasakan yang aku tidak layak berkawan dan berhubungan dengan Azmi. Antara aku dengannya umpama langit dengan bumi. Aku beranggapan, Azmi tentu tidak sudi berkawan dengan aku apabila dia melihat gambarku nanti kerana aku bukanlah seorang gadis yang cantik.

Aku lantas membuat keputusan.Aku tidak patut meneruskan hubungan berbalas-balas surat dengan Azmi lagi. Aku tidak sesuai berkawan dengan lelaki kacak seperti Azmi dan dia lebih sesuai berkawan dengan gadis-gadis yang lebih cantik. Tanpa berlengah,surat dan gambar hitam putih itu aku koyakkan halus lalu ku buang ke dalam semak. Bagiku, dari saat cebisan-cebisan itu bertaburan bererti perhubungan antara aku dan Azmi sudah berakhir.

Namun, aku tetap menerima surat daripada Azmi hampir setiap minggu. Aku hanya membacanya,kemudian aku buangkannya tanpa memberi sebarang balasan.Aku sudah bertekad tidak akan menyambung persahabatan itu dan aku harus menumpukan perhatian kepada pelajaran. Lebih-lebih lagi aku akan mengambil peperiksaan SPM pada akhir tahun nanti. Aku berasa sangat bersyukur kerana perkenalan dan perbuatanku berutus surat dengan seseorang lelaki tidak diketahui ayah.

Ternyata aku dapat melupakan Azmi dan menduduki peperiksaan SPM.Aku berharap akan mendapat keputusan yang cemerlang bagi memenuhi cita-citaku untuk menjadi seorang doktor. Malangnya,apabila keputusan SPM diumumkan,aku tidak memperoleh keputusan yang terbaik dalam subjek Sains.Aku gagal melanjutkan pelajaran dalam aliran Sains. Aku hanya diterima masuk ke Tingkatan Enam aliran Sastera di Ipoh, Perak. Aku tinggal di asrama sekolah di Jalan Windsor.

Pada suatu hari, bas sekolah yang aku naiki menelusuri Jalan Maxwell.Aku yang berada di dalam bas terimbau kembali akan Azmi, jejaka tampan yang pernah aku berutus surat dahulu. Sebenarnya aku sudah lama melupakan Azmi, tetapi nama jalan itu tiba-tiba mengingatkan aku akan persahabatan kami yang sudah lama sirna itu. Dalam suratnya dahulu, Azmi ada memberitahuku yang dia menyewa rumah bujang dijalan tersebut.

Jalan Maxwell membuatkan aku sering teringat akan gambar seorang jejaka tampan yang tidak pernah kutemui itu. Perasaan ingin tahu dan ingin melihat sendiri siapakah orang yang bernama Azmi terus bergejolak dalam jiwaku. Sehingga pada suatu petang aku mengambil keputusan mengayuh basikal dari asramaku kepersekitaran Jalan Maxwell.

Tiba-tiba tanpa kuduga, aku terlihat seorang pemuda turun dari sebuah bas dan berjalan menuju kesebuah rumah di simpang jalan itu.Aku berasa ingin menghampirinya,namun perasaan malu dalam diriku amat menebal dan aku tidak meneruskan keinginanku itu.

“Azmikah itu? Itu Azmi yang aku kenal dalam surat dulukah?”Pelbagai soalan bermain-maindi benakku. Aku juga dikerumuni perasaan ingin tahu dan ingin bertemu dengan jejaka itu sekiranya dialah Azmi itu. Tetapi aku bingkas beredar apabila memikirkan tidak manis anak gadis menegur dan mengikut lelaki ke rumahnya.Masa terus berlalu dan kenangan di Jalan Maxwell itu mula hilang dalam ingatanku. Kebiasaannya,setiap bulan aku akan pulang kekampungku di Manong. Apabila pulang ke asrama semula, aku menaiki bas yang akan melalui pekan Parit. Setiap kali bas hampir tiba di pekan Parit, hatiku teringatkan Azmi.

Aku bersedia untuk menumpukan pandanganku ke arah sebuah rumah berwarna merah diatas bukit pinggir pekan itu. Azmi pernah memberitahuku yang dia berasal dari Parit dan keluarganya tinggal di rumah tersebut. Dalam fikiranku, di rumah itulah beradanya seorang jejaka tampan yang bernama Azmi!

Setelah aku tamat tingkatan enam aku kembali ke kampung halamanku. Ipoh aku tinggalkan dengan seribu kenangan termasuklah Azmi dan rumah sewa bujangnya di Jalan Maxwell itu. Kenangan lalu dan realiti kehidupan akhirnya mendidik dan mendewasakan aku.

Aku sudah lama melupakan Azmi. Aku sudah berkerjaya serta berumah tangga. Kehidupanku terisi dengan tanggungjawab keluarga dan kesibukan mendidik anak-anak sehinggalah aku tiba ke alam persaraanku.

Walau bagaimanapun, dalam usia ini aku ditawarkan menjawat jawatan sebagai ahli lembaga penapis filem di Putrajaya. Aku sempat mengenali seorang pemuda yang bernama Fadhil, yang berasal dari Parit, Perak.Kami bertugas di pejabat yang sama.

Melalui perbualan antara aku dan Fadhil akhirnya aku maklum bahawa Azmi yang pernah aku kenali dan nampak di simpang Jalan Maxwell kira-kira 42 tahun dahulu itu ialah bapa saudaranya. Dia mengakui pakngahnya itu pernah bertugas sebagai operator telefon di Ipoh dan menyewa rumah di Jalan Maxwell, Ipoh.

Fadhil memberitahu lagi, bapa saudaranya itu telah kembali kerahmatullah tiga bulan lalu akibat sakit jantung. Gejolak jiwaku yang ingin benar bertemu Azmi terus sirna antara kenangan dan anganan. Tetapi jauh dalam hatiku, aku akui Azmi memberi inspirasi kepadaku supaya tidak menjadikan rupa paras sebagai perencat perhubungan, dan membuat tanggapan pasimistik terhadap diri sendiri.

Kisah ini ternyata terlipat rapi dalam lembaran kenangan hidupku.Akan aku jenguk rumah merah atas bukit di pekan Parit itu kiranya aku balik ke kampung nanti, sebagai tanda kenangan persahabatan dengan Azmi. Al-Fatihah.