Pine Tree & Twin Peak: Tawan Dua Puncak Dalam Sehari


Gunung Pine Tree & Twin Peak merupakan gunung tertinggi di Bukit Fraser dan dikategorikan yang ke-94 tertinggi di Malaysia. Dengan anggaran ketinggian Pine Tree Hill 1,456 meter (4,777kaki) dan Twin Peak 1,505 meter (4,938 kaki), pendakian bagi menawan kedua-dua puncak ini hanya mengambil masa sehari sahaja.

Seawal pukul 9.30 pagi, 3 Mac 2018, penulis dan para pendaki seramai 31 orang memulakan pendakian yang bermula di pintu gerbang Pine Tree Trail. Selaku ketua pendaki, penulis menyampaikan beberapa pesanan dan tip kepada pendaki-pendaki lain.

Bagi mengelak berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini,latihan renggangan untuk memanaskan badan harus dilakukan terlebih dahulu di samping bacaan doa dimulakan dengan harapan supaya perjalanan kami dipermudahkan.

Hujan yang turun langsung tidak mematahkan semangat peserta.

Pendakian pada awalnya agak santai kerana trek perjalanan yang landai dan jelas seperti jungle trekking sahaja. Masing-masing masih sempat berkenalan dan berborak sesama sendiri. Setelah menuruni tangga-tangga batu dan kayu, perjalanan kami diteruskan lagi dan kali ini kami melepasi kawasan yang sudah dihalangi dengan akar-akar kayu.

Trek perjalanan yang licin menguji kesabaran pendaki.

Ketika dalam dua kilometer pertama perjalanan, terdapat beberapa pondok dan trek yang dilengkapi dengan tali. Malah disesetengah kawasan terdapat pokok-pokok yang telah tumbang dan melintangi kawasan trek yang menambah cabaran pada misi pendakian kali ini. Di sini juga dapat dilihat terdapatnya batu penanda sempadan negeri di antara Pahang dan Selangor.

Amirul Azaha selaku ketua pendakian ekspedisi PINE TREE & TWIN PEAK.

Gua Akar Yang Unik

Pengembaraan kami diteruskan lagi dengan pendakian yang banyak menurun dan beberapa kali menaik sehinggalah sampai di suatu tempat yang dipanggil Gua Akar.Tempat ini adalah lokasi wajib bergambar oleh para pendaki kerana ia sebuah gua yang terbentuk daripada akar-akar kayu dan unik.

Setelah berehat seketika di Gua Akar, kami meneruskan perjalanan untuk menuju ke puncak Pine Tree. Keadaan awan yang sedikit mendung, dan kami meramalkan hujan akan turun ketika dalam perjalanan ke puncak nanti.

Setelah berjalan dengan keadaan muka bumi yang turun dan naik, para pendaki kelihatan sedikit letih. Namun, sebagai satu kumpulan, kami mengambil inisiatif memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain bagi meneruskan pendakian.

Wajah gembira peserta tatkala berjaya menawan gunung tertinggi di Bukit Fraser.

“Keindahan puncak gunung Twin Peak ternyata lebih menarik dan cantik berbanding puncak gunung Pine Tree kerana di sini para pendaki boleh melihat gunung-ganang yang lain seperti Gunung Semangkuk dan awan yang membiru.”

Semangat setiakawan dan tolong-menolong sangat penting dalam mendaki secara berkumpulan.Kemudian, kami meneruskan pendakian sehingga tiba dikawasan tanah lapang. Di sini kami melepaskan lelah masing-masing sebelum ke tempat trek pacak yang bakal dilalui.

Cabaran Merentasi Cerun Batu

Setelah tiba di kawasan yang hanya beberapa meter untuk sampai ke puncak gunung Pine Tree, kami harus pula mendaki cerun batu kira-kira 70 hingga 80 darjah serta berketinggian lebih kurang 10-meter,dan melangkaui akar-akar pokok yang berselirat untuk sampai keatas.

Kawasan yang bercerun itu telah disediakan dengan tali pemegang untuk memudahkan pendaki berpaut ketika naik ke atas puncak.Seorang demi seorang pendaki menaiki cerun tersebut dan ada antara kalangan kami sempat lagi bergambar untuk kenangan sementara menunggu giliran untuk naik ke puncak.

Kami berjaya sampai ke puncak Pine Tree Hill pada pukul 12 tengahari. Sesi bergambar di puncak oleh para pendaki amat dinanti-nanti, tetapi memandangkan kawasan puncak tersebut agak sempit. maka kami perlu bergilir-gilir naik untuk mengambil gambar pemandangandi situ.

Sementara menunggu kumpulan kedua tiba di puncak,hujan mulai turun dengan lebat dan masing-masing dengan pantas menyarung pakaian hujan. Walaupun dalam keadaan hujan, para pendaki tetap perlu bersiap sedia untuk meneruskan pendakian ke puncak gunung kedua iaitu Twin Peak yang mengambil masa dalam 45 minit dan makan tengahari di sana.

Teruk mencuram tidak mematahkan semangat wanita ini untuk berjaya tawan puncak.

Trek Licin Dan Berlumpur

Dalam situasi hujan dan denai yang berlumpur, semua pendaki berjaya tawan puncak gunung Twin Peak dengan selamat. Setelah sampai, kami tidak sabar lagi untuk makan tengahari kerana masing-masing telah kelaparan. Sesi bergambar di puncak gunung Twin Peak semestinya dengan memakai pakaian hujan kerana hujan yang semakin lebat ketika itu seolah-olah menyambut kedatangan kumpulan pendaki ini.

Keindahan puncak gunung Twin Peak ternyata lebih menarik dan cantik berbanding puncak gunung Pine Tree kerana di sini para pendaki boleh melihat gunung-ganang yang lain seperti Gunung Semangkuk dan awan yang membiru.Tiba masa untuk turun dari puncak Twin Peak lebih mencabar kerana peserta perlu melalui kawasan yang curam dan masing-masing mula teringat kembali pada tangga-tangga batu yang harus kami turuni.

Dalam keadaan hujan, sudah tentunya trek menjadi licin dan berlumpur. Jadi, semua pendaki harus mengambil langkah lebih berhati-hati. Namun, cabaran yang harus ditempuhi pendaki sebenarnya tertumpu pada usaha untuk menuruni tangga-tangga batu dan kayu tersebut.

Peserta cilik yang turut mengambil bahagian dalam misi menawan PINE TREE & TWIN PEAK.

Semangat Tidak Pernah Mengalah

Setelah sampai ke kawasan tangga batu dan kayu yang mencabar tersebut, ada sesetengah dari kami yang hampir putus asa dek kerana rasa terlalu penat. Disini kekuatan mental para pendaki diuji kerana kekuatan fizikal sudah semakin kurang. Setelah lima jam mengharungi perjalanan yang agak meletihkan, kami selamat sampai ke pintu gerbang Pine Tree Hill dan peserta yang terakhir berjaya tiba pada pukul 8.00 malam. Jarak keseluruhan perjalanan dalam misi menawan gunung Pine Tree & Twin Peak adalah sejauh 12 km.

Penulis bersama salah seorang pendaki

Pengalaman serta kenangan yang tercipta sepanjang pendakian ini amat bermakna kerana ia cukup menguji tahap stamina dan mental setiap pendaki.

Menariknya, pendakian kali ini tidak mematahkan semangat para peserta kerana kekuatan bukan hanya datang daripada kemampuan fizikal tetapi ia datang daripada semangat yang tidak pernah mengalah.