Pengajaran Mentor-Mentee Dari Bilik Darjah Ke Tempat Kerja


Program mentor-mentee merupakan satu proses interaksi antara guru dan murid melibatkan tindakan seperti membimbing, menyokong dan memberi nasihat. Mentor bukan sahaja menitikberatkan individu (mentee) dan perhubungan psikologi menteenya, tetapi juga membimbing,memberi penghargaan, kasih sayang dan mengasah kemahiran-kemahiran lain seperti membuat keputusan, menghadapi masalah atau mengatasi tekanan dan berusaha membimbing menteenya menjadi individu yang berguna kepada masyarakat dan negara.

Para pendidik dan guru seharusnya bersama menyambut usaha ini dengan menyumbangkan pengajaran berguna kepada anak didik mereka bagi memastikan wujud semangat kekeluargaan yang kukuh dan saling hormat menghormati antara mentor dan mentee. Sehubungan itu, diterapkan amalan budaya penyayang dan saling menghargai antara satu sama lain dan membina keyakinan diri dalam menghadapi masalah, hasil bimbingan dan sentuhan daripada mentor yang sentiasa mengambil berat (caring) terhadap kebajikan mereka.

Para pendidik dan mentor memang memainkan peranan yang penting dalam pembangunan personal anak didik. Mereka tentunya menyediakan detik pengajaran, dengan memaklumkan- adalah tidak mengapa untuk melakukan kesilapan hinggalah kepada mengajar bagaimana dan betapa pentingnya untuk mendekati dan menghadapi risiko.

 

Pengajaran yang dapat dipelajari daripada para pendidik boleh menjadi rangka dan panduan permentoran di tempat kerja.Pendidik sentiasa berkongsi strategi pengajaran yang baik untuk digunakan di tempat kerja.

Tidak ada manusia yang sempurna kecuali para anbia.Membuat kesilapan boleh menjadi perkara yang baik. Kita tidak perlu mengeluh dengan teruk apabila kita kerap melakukan kesilapan.

Malah, ia adalah salah satu peluang pertumbuhan terbaik.Guru dan mentor yang baik dapat membantu pekerja, terutama pengurus mahupun pentadbir baru, untuk menyedari bahawa kesilapan adalah salah satu cara terbaik untuk belajar. Apa yang penting adalah bagaimana kita boleh menerapkan pembelajaran kepada perkembangan peribadi kita sendiri. Membuat kesilapan boleh mengajar kita untuk merendah diri,mengetahui siapa kita dan hidup tanpa kekesalan.

Membuat kesilapan adalah sebahagian daripada kehidupan,dalam dan luar pejabat. Apabila kita belajar daripada guru dan mentor kita bahawa tiada siapa yang sempurna, kita dapat menghadapi risiko dan mengubah diri kita menjadi orang yang lebih baik. Guru dan mentor yang baik boleh membantu murid mengenali kesilapan yang telah dilakukan dan mencari strategi untuk mengelak daripada mengulangi kesilapan daripada berulang pada masa hadapan.

Ketika berusia muda, kita kerap mengemukakan soalan secara semula jadi berbanding ketika kita berusia tua. Kajian Harvard Business Review mendapati, kanak-kanak didapati bertanya dan menyoal pada sekitar 70 hingga 80 peratus masa, berbanding 15 hingga 25 peratus masa untuk orang dewasa.

Malah, ia adalah salah satu peluang pertumbuhan terbaik. Guru dan mentor yang baik dapat membantu pekerja, terutama pengurus mahupun pentadbir baru, untuk menyedari bahawa kesilapan adalah salah satu cara terbaik untuk belajar.

Malangnya, banyak organisasi sama ada secara sengaja atau tidak, dengan mudah menghantar mesej yang memudaratkan iaitu‘terima sahaja ‘apa’ yang diberikan’atau ‘ikut sahaja apa yang disuruh’sebagai cara untuk memaklumkan kepada pekerja, cara mudah untuk menyelamatkan karier dan kekal dengan pekerjaan mereka.Bagaimanapun guru dan mentor yang baik, menggalakkan kita untuk bertanya dan menyoal dan menanam rasa ingin tahu.

Berdiam diri atau menyepikan diri akan menyebabkan kita mengambil dan membuat keputusan yang lemah tetapi dengan bertanya soalan adalah cara yang pasti untuk meningkatkan keyakinan dan menggalakkan kreativiti. Dengan menyelami lebih mendalam, kita akan mampu mencabar sebarang andaian.

Organisasi seharusnya mengalakkan, memupuk, bersikap terbuka dan membenarkan kakitangan kerja di semua peringkat untuk mengemukakan lebih banyak soalan daripada bergegas untuk menyiapkan tugasan kerja atau tergesa-gesa untuk mengemukakan jawapan. Berikanlah peluang untuk staf kerja bertanya soalan kerana ia adalah cara terbaik untuk berkembang.

Kita akan sentiasa mengingati dan merasai sesuatu apabila seseorang memberitahu bahawa kita boleh melakukan sesuatu yang lebih baik. Pastinya apabila kita menerima kritikan, kita akan rasa canggung dan tidak selesa; namun menerima maklum balas yang berguna adalah salah satu cara terbaik yang guru dapat membantu murid dan mentor itu pula dapat membantu mentee mereka.Mempelajari apa yang baik kita boleh lakukan dan apa yang perlu kita tumpukan dan beri perhatian untuk pertumbuhan adalah penting.Tanpa maklum balas yang membina dan membantu, kita akan cenderung untuk kekal terjebak.

Mentor harus berhati-hati untuk menawarkan maklum balas dengan cara yang betul. Maklum balas yang baik akan membantu dan menjadi inspirasi. Maklum balas boleh dianggap membina jika ia membantu orang lain memperbaiki kerja mereka dan menggalakkan mereka untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang dengan menawarkan tindakan tertentu. Salah satu teknik yang biasa digunakan oleh mentor adalah untuk memulakan maklum balas positif, kemudian membincangkan bidang penambahbaikan sebelum kembali kepada catatan positif.

Pendidik dan guru yang baik menggalakkan pelajar mengunjurkan diri dan mengambil risiko bijak dan pintar. Ini adalahpenting untuk semua pekerja terutama golongan milenium,yang perlu merasa bahawa mereka adalah aset organisasi dan kemahiran dan kebolehan mereka adalah dinilai.Ini penting jika organisasi mahu menyimpan dan mengekalkan mereka di organisasi mereka.

Organisasi yang tidak menggalakkan kakitangan mereka untuk mengambil dan mencipta peluang, terutamanya golongan bakal pemimpin yang akan datang,berisiko kehilangan beberapa orang terbaik mereka.

‘Millennials’ adalah generasi terbesar di Amerika Syarikat atau di negara dunia lain, dan mereka mahu bekerja untuk organisasi yang menghargai pertumbuhan peribadi mereka dan membantu mereka maju dalam kerjaya mereka. Ciri seorang pendidik guru yang baik adalah yang menggalakkan murid mengambil risiko dan membina kepercayaan untuk berbuat demikian.

Pendidik guru dan mentor yang baik akan meluangkan masa untuk mendengar dan sentiasa ada bersama apabila diperlukan. Mereka bersedia dan boleh membantu apabila seseorang menghadapi cabaran atau menghadapi situasi yang sukar. Apabila guru bertanya kepada murid tentang masalah yang mereka hadapi, murid akan mendapat peluang yang lebih baik untuk melakukan perkara yang sama di organisasi jika mereka memutuskan untuk menjadi mentor kepada bakat muda.

Sering kali, para mentee mampu mencorak perjalanan mereka berhadapan masalah dan tampil dengan penyelesaian sendiri jika peluang untuk membincangkannya secara terbuka. Mempunyai pendengar yang baik di pihak anda adalah penting untuk kedua-dua pelajar dan mentee.

Permentoran (Mentoring), seperti pengajaran, adalah satu cara untuk mengembalikan sesuatu secara jangka panjang. Sambutan Hari Guru boleh menjadi masa yang sesuai untuk menghargai bukan hanya untuk guru tetapi untuk mentor juga, dan sumbangan yang berterusan untuk kehidupan kita dan komitmen yang berkekalan.

Penulis ialah seorang pendidik dan USSA Master Trainer Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur.