SK Convent Kajang Catat Prestasi Akademik Terbaik


Sekolah Kebangsaan Convent (M) yang terletak di Jalan Gereja, Kajang merupakan sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan di bawah Kementerian Pendidikan sejak 2014. SK Convent yang khusus untuk murid perempuan sahaja kini mempunyai 903 murid. Sekolah ini turut dicalonkan Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan (AKMP) dan calon Sekolah Berprestasi Tinggi (2015).

Sebagai sebuah sekolah cemerlang yang pernah mendapat Anugerah Sekolah Harapan Negara (2000), SK Conven tamat menitikberatkan kejayaan cemerlang dalam akademik selain kokurikulum.

Guru Besarnya, Hajah Roslina Haji Hashim, 55, menyatakan SK Convent (M) Kajang menjelmakan segala dasar dan pendekatan bagi menambah baik dan melestarikan sistem pendidikan menerusi semangat kerjasama selain semangat kekitaan dalam kalangan warga sekolah.

Menurutnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM) 2013-2025, merupakan kerangka asas pelaksanaan transformasi pendidikan diperingkat sekolah.

“Kerangka asas inilah yang menjadi panduan pengurusan pihak sekolah melestarikan sistem pendidikan menerusi semangat kekitaan dan kerjasama secara menyeluruh antara pelajar, guru, ibu bapa dan PIBG dan seterusnya bagi mencetuskan kejayaan,” katanya kepada Majalah Pendidik.

Fokus Kecemerlangan

Sejak diterajui oleh Guru Besar,Hajah Roslina Haji Hashim, pada Julai 2016, prestasi sekolah kluster ini terus fokus ke arah kecemerlangan dari segi kejayaan akademik dan kokurikulum.

Menurut Roslina, sejak 2008 lagi SK Convent berjaya mencatat keputusan seratus peratus UPSR dan Gred Purata Sekolah (GPS)kepada GPS 1.25 sekali gus meletakkannya sebagai sekolah ketiga terbaik di Malaysia (GPS1.40).

SK Convent yang memiliki 945 murid perempuan dan 52 orang guru ini memiliki Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI)tersendiri yang ingin dicapai sejak 2016 sepertimana digariskan oleh kepimpinan sekolah.

Menurut Roslina, KPI yang digariskan menetapkan pencapaian sekolah berada pada ‘Band 1’penarafan sekolah dan ranking antara 1-100 sekolah terbaik diperingkat kebangsaan.

Hajah Roslina Haji Hashim(duduk) bersama Guru Penolong Kanan (GPK) yang bersama-sama mentadbir SK Convent.

SK Convent turut menyasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) mencapai 95-98 peratus (V2010) dan Skor Komposit antara 85.00-90.00 peratus.

KPI juga menetapkan Gred Purata Sekolah (GPS) UPSR antara1.45 hingga 1.50 dan Penarafan Kendiri Sekolah (PKS) antara 90 hingga 100 peratus.

“Bagi mencapai KPI ditetapkan ini, pihak sekolah menyasarkan untuk mencapai sasaran 95 peratus kehadiran murid ke sekolah dan sifar dalam kes disiplin ringan, sederhana dan tiada kes disiplin berat berlaku,” tegas Hajah Ruslina.

Biarpun menyasarkan sebagai sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan terbaik di Malaysia dan dianugerahkan Sekolah Berprestasi Tinggi (2017), namun pihak sekolah tidak melupakan pencapaian dalam bidang kokurikulum bagi menyeimbangkan pencapaian murid.

Perpaduan antara kaum terserlah di SK Convent yang belajar secara harmoni dan saling hormat menghormati.

Murid Kelas abad Ke-21 dilatih mencari maklumat berdasarkan rujukan yang diperolehi.

Biarpun menyasarkan sebagai sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan terbaik di Malaysia dan dianugerahkan Sekolah Berprestasi Tinggi (2017), namun pihak sekolah tidak melupakan pencapaian dalam bidang kokurikulum bagi menyeimbangkan pencapaian murid.

“Pihak sekolah turut memupuk minat murid terhadap kokurikulum.Malah, pihak sekolah turut menyasarkan mencapai 3.0 peratus pencapaian kokurikulum dan sukan peringkat kebangsaan selain mencapai 2.0 peratus kokurikulum peringkat antarabangsa,” katanya kepada Majalah Pendidik.

Pelajar SK Convent turut dilatih dari segi kepimpinan.

Hajah Roslina Haji Hashim bersama pelajar yang berjaya mencapai kejayaan dalam kokurikulum.

Hajah Roslina Haji Hashim, GuruBesar SK Convent sejak 2016.

Sejarah SK Convent

Mengimbas kembali kewujudan sekolah ini, pada asalnya SK Convent dibina sebagai sebuah sekolah persendirian pada tahun 1930 yang dimulakan oleh ‘sister of st. Maur’.Beliaulah yang mengambil inisiatif menubuhkan sebuah sekolah perempuan.

Pihak gereja bersetuju menghadiahkan sebuah banglo yang dijadikan tiga buah bilik darjah yang diberi nama ‘Convent holy infant Jesus’.Sister Martha (1930-1945)muncul sebagai pengetua sekolah yang pertama bersama tenaga pengajarnya Sister Darothy, Cik E.Cooms dan Cik D.David.

Sister Micheal menggantikan tempat Sister Martha selepas beberapa tahun beliau berkhidmat di sekolah ini.

Oleh sebab pengasas dan pengetuanya yang pertama adalah paderi wanita ‘sister’, maka terdapat satu blok yang berbentuk ‘t’ iaitu tanda salib. Ini merupakan salah satu daripada keistimewaan sekolah ini yang berasal daripada sekolah mubaligh. Menariknya, jika blok tingkat satu dan dua digabungkan,akan membentuk abjad ‘C’ yang bermaksud ‘Convent’.

Pada tahun 1939, sekolah Convent ini telah berkembang dengan pesatnya menyebabkan lapan buah bilik darjah tambahan dibina dan Sekolah Menengah Convent turut diwujudkan dalam satu pentadbiran yang berpusat di I.J. Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

Sehingga kini, seramai 18 orang guru besar pernah berkhidmat di SK Convent Kajang iaitu, Sister Vincent (1949-1952), Sister Mary Magdalene(1953-1955), Sister Coleman (1955-1958), Sister Jeanne D’Arc (1958),Sister Denis (1959-1960), Sister Martha Hickey (1961), Cik Cecilia Ng Soo Kian (1962-1983), Puan P. Vamathevan (1984), Mah Peng Wai(1985-1987), P Vamathevan (1988-1993), Hajah Kamariah A. Rafar(1993-1995), Hajah Rahimah Hussin(1995-1999), Hajah Rosnani Abd.Aziz (1999-2004), Hajah Rapichah Lazim (2004-2011), Khatijah Yusof(2011 hingga 30 Jun 2016) dan Hajah Roslina Hashim bermula 1 Julai 2016 hingga sekarang.

Pada tahun 1941, Jabatan Pendidikan akhirnya berpuas hati dengan prestasi akademik dan perkembangan sekolah ini lalu memperakui sebagai sebuah sekolah bantuan kerajaan yang mendapat‘Grant in aid’.

Malangnya, pada bulan Disember 1941, banglo yang menempatkan tiga bilik darjah ini telah musnah akibat meletusnya Perang Dunia Kedua.Namun begitu, kerosakan itu berjaya dibaik pulih dan seterusnya sekolah ini dapat digunakan semula pada tahun 1946.

Selepas perang, usaha-usaha telah dijalankan untuk memulakan sesi persekolahan yang tergendala sebelum itu. Sebagai sebuah sekolah yang komprehensif, pertambahan murid yang semakin meningkat menyebabkan pentadbiran sekolah ini diasingkan kepada sekolah rendah dan menengah di atas tapak seluas 3.5 ekar.

Perubahan ini turut meletakkan pengurusannya di bawah pentadbiran I.J.Convent Bukit Nanas sehingga tahun 1963. Secara berperingkat-peringkat,blok-blok baru dibina antara tahun 1950 dan 1968.

Bagaimanapun, pada tahun 1969,sekolah dua sesi telah dimulakan kerana muridnya terus bertambah tetapi bilangan kelas pula tidak mencukupi.

Pada tahun 1974, bilangan guru juga meningkat. Oleh itu, sebuah kelas dijadikan bilik guru. Bilik guru yang lama dijadikan kelas agama.

Berikutan arahan Kementerian Pendidikan, SK Convent Kajang ditukar namanya kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Convent Kajang pada tahun 1974.

Pada awal tahun 1976, blok yang menempatkan dua buah makmal, bilik jahitan, bilik masakan, bilik komputer,stor buku SPBT dan bilik seni siap didirikan.

Pada tahun 1998, nama sekolah ini ditukar sekali lagi kepada SK Convent(M) Kajang dan kekal sehingga ke hari ini.

SK Convent kini sudah berusia 88 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1930.