Sir Zawawi Penuhi Impian Ibu


Pertama kali bertemu dengan guru yang juga pelukis mural hebat ini, Haji Mohamad Zawawi Abu Bakar, 60 sememangnya pasti ramai tidak menyangka dia merupakan seorang guru Bahasa Inggeris. Memiliki raut wajah yang sedikit serius, Zawawi persis seorang guru disiplin yang tegas dengan murid-muridnya. Namun telahan tersebut ternyata salah sama sekali kerana personalitinya yang cukup bersahaja dan ‘sempoi’ membuatkan lelaki ini cukup mudah untuk didekati.

Mencurahkan ilmu dalam dunia pendidikan selama 36 tahun, bapa kepada lima anak ini mempunyai kisah yang tersendiri.

“Pada awalnya menjadi seorang guru bukanlah impian saya kerana cita-cita saya adalah ingin menjadi seorang pereka grafik. Namun,melihat pada hasrat arwah ibu ingin melihat salah seorang dari lapan anaknya menjadi seorang cikgu,selaku anak bongsu impian tersebut terarah kepada saya walaupun ketika itu saya telah pun bekerja di Kementerian Undang-undang sebagai kerani undang-undang.

Cikgu Zawawi Abu Bakar,60 tahun telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga selama 38 tahun berkhidmat sebagai pendidik.

“Selepas itu, bermulalah usaha saya dengan mengisi borang permohonan maktab untuk memenuhi impian tersebut. Jika diingat-ingatkan kembali, saya tidaklah ‘beriya-iya’mohon tetapi memandangkan pada ketika itu Bahasa Inggeris(BI) sangat penting,orang yang memiliki kemahiran BI pula terhad dan kebetulan saya boleh berbahasa Inggeris, maka dengan izin-Nya saya lulus temuduga dan ditempatkan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (MPSI),” jelas Zawawi.

Hasil-hasil lukisan mural Cikgu Zawawi.

Menurut Zawawi, tatkala rasa suka dan cinta terhadap bidang pendidikan belum muncul, Allah hadirkan seorang insan yang mampu merubah minda dan hatinya untuk bersemangat menjadi seorang guru yang berjaya. Insan hebat tersebut adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang merupakan salah seorang penceramah dalam minggu orientasi di MPSI (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris).

“Alhamdulillah, di Maktab saya mengambil opsyen BI dan opsyen kedua seni. Bagi opsyen seni, salah satu kerja khusus yang pelajar perlu buat ialah kajian terhadap satu aspek daripada seni.

Namun, pada masa itu,pensyarah minta saya membuat hiasan semula pada dinding Dewan Suluh Budiman. Melalui tugasan tersebut, saya memperolehi A tetapi ketika itu kerja agak teruk.Selama enam bulan siang dan malam saya menyiapkan tugasan tersebut sehingga tidak balik Raya Haji. Lucunya, abang dan ibu saya mengesyaki saya ada ‘affair’ dengan perempuan sebab tidak tahu nak balik, kata mereka.

Cikgu Zawawi sedang melukis mural.

“Kemudian, tamat maktab saya memilih negeri Terengganu dan Kedah sebagai pilihan penempatan(posting). Saya tidak mahu kembali ke Selangor kerana faktor utamanya adalah disebabkan ‘traffic jam’.Saya bersekolah dan bekerja di Kuala Lumpur (KL), jadi saya tidak tahan dengan kesesakan lalu lintas.Bila abang tanya, saya kata padanya saya mahu keluar dari Selangor.I want to see something new.

Lukisan mural Bapa Kemerdekaan.

“Namun tidak tahu bagaimana abang dapat tahu dan dia tukar semula negeri untuk saya posting sama ada di Selangor atau Pahang.Memandangkan pada masa itu negeri Pahang banyak masalah kekurangan guru BI, jadi secara automatik saya dihantar untuk posting di Pahang, jelas bekas murid Victoria Institution, Kuala Lumpur ini.

Lukisan mural hasil kreativiti cikgu Zawawi di SMK Felda Kampung Awah, sekolah bermulanya karier beliau dalam dunia pendidikan.

Beliau selesa memilih untuk kekal menggunakan kaedah grid atau free hand.

BUDAK BANDAR MASUK KAMPUNG

Pada tahun 1981, karier dalam bidang pendidikan Zawawi bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Felda Kampung Awah,Temerloh, Pahang. Pada waktu itu,jalan masih tanah merah ditambah dengan tiadanya kemudahan air dan elektrik. Situasi ketika itu 100 peratus(%) berbeza dengan kehidupannya yang terbiasa dengan cara hidup dibandar yang serba ada. Jadi, setiap hujung minggu beliau akan balik ke KL.

SMK Felda Kampung Awah meninggalkan banyak kenangan manis buat Zawawi kerana di sinilah beliau bertemu, menyulam rasa cinta dan sayang terhadap seorang wanita yang kini bergelar isterinya.Pada tahun itu, gaji seorang guru hanya sekitar RM295 sahaja.

Dengan wang gaji itulah membolehkan beliau membeli sebuah motosikal yang digunakan untuk pulang ke KL pada setiap minggu. Selama 16 tahun di sini, saya banyak menghasilkan lukisan mural di dinding-dinding sekolah.

Kemudian pada tahun 1997,Zawawi ditugaskan di SMK Seri Bahagia pula. Di sana beliau mula menjinakkan diri dengan grafik pula. Tidak lama selepas itu, beliau ditugaskan pula di SMK Temerloh Jaya (SMKTJ), Temerloh, Pahang.

Di SMKTJ beliau tidak berkesempatan melukis mural kerana perlu fokus pada tugas yang diberikan selaku ahli jawatankuasaTeknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) daerah dan guru data sekolah.

Namun, dunia mural beliau tidak terhenti di situ kerana pabila ditugaskan di Sekolah Kebangsaan(SK) Triang 3, Zawawi kembali aktif melukis mural walaupun ditugaskan sebagai Guru Penolong Kanan (GPK)pentadbiran.

Tambah menarik, semasa di sana juga beliau telah membawa sekolah merangkul naib johan Pertandingan Peningkatan Keselamatan,Kebersihan dan Keindahan Alam Sekitar Sekolah (3K) peringkat negeri dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,500.

SIR ZAWAWI GURU BAHASA INGGERIS

Sekolah Sukan Negeri Pahang(SSNP) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh(SMKST) yang terletak di Temerloh merupakan sekolah terakhir Zawawi menabur khidmat dalam bidang pendidikan. Mengajar matapelajaran BI sepenuhnya, Zawawi yang mesra disapa Sir Zawawi dalam kalangan murid banyak meninggalkan mesej melalui lukisan mural di dinding-dinding SSNP.

“Di samping lukisan mural, saya juga telah diberi kepercayaan oleh Pengetua SSNP, Khairul Arifin Mat Yit untuk menghidupkan sebuah galeri sukan. Galeri ini telah wujud sejak lapan tahun lalu, namun ia tidak digerakkan. Saya mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan galeri ini dan sebagai langkah penjimatan,saya menggunakan barang-barang terpakai untuk mengindahkan galeri ini.

“Malah bilik disiplin yang rata-rata menganggap seperti gua sebelum ini turut saya hidupkan kembali sehingga bukan sahaja ia mampu menarik perhatian murid, malah Pengetua turut menyenanginya,” katanya.

MENITIS AIR MATA BERJAUHAN DARI KELUARGA

Tika ditanya kenangan yang masih terpahat dalam ingatannya sepanjang berkhidmat dalam dunia pendidikan, Zawawi tidak segan berkongsi insiden air mata menitis ketika berbuka puasa. Kejadian berlaku semasa beliau baru sahaja ditugaskan di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan kebetulan pula waktu itu adalah bulan Ramadan.

“Ketika ditugaskan di JPNP, isteri saya masih mengajar dan anak pula bersekolah di Temerloh. Maka saya terpaksa meninggalkan mereka dan berpindah ke Kuantan seorang diri.Kita sudah biasa hidup berkeluarga,mengalir jugalah air mata ini terkenang saat berbuka bersama keluarga.

‘’Saya cakap pada isteri ‘tak boleh jadi macam ni’. Selepas itu saya ambil keputusan untuk berulang alik setiap hari dari Temerloh ke Kuantan sepanjang bulan Ramadan.

LUKIS MURAL CARA LAMA

Berbicara mengenai seni lukisan mural yang dihasilkannya, Zawawi menyatakan beliau selesa memilih untuk kekal menggunakan kaedah grid atau free hand. Biarpun dikatakan masih menggunakan kaedah ortodok, baginya kaedah grid mempunyai kebaikan apabila pelukis boleh mengawal saiz lukisan.

Tambahnya lagi, selain dua kaedah ini, ada juga kaedah mudah bagi menghasil mural yang cantik iaitu kaedah baru menggunakan LCD (liquid-crystal display) projector dan overhead projector (OHD) yang dipancarkan terus ke dinding.

Dari sudut idea pula,kebiasaannya beliau akan lihat pada tema lukisan terlebih dahulu dan kemudian beliau akan mencari rujukan melalui majalah, internet atau pemerhatian. Rujukan akan diolah mengikut kreativiti bagi menghasilkan lukisan mural yang mempunyai mesej di sebalik lukisan tersebut.

Selain melukis mural, Zawawi yang gemar membaca dan bertukang turut mempunyai hobi mengumpul barang cenderamata.

“Sedikit berbeza apabila jika ramai orang lebih suka kumpul setem atau freeze magnet, saya pula minat mengumpul barangan cenderamata.Koleksi barang cenderamata yang saya kumpul adalah daripada pelbagai jenis rantai kunci (key chain).

‘’Hobi mengumpul key chain ini adalah menyambung daripada minat arwah ayah yang merupakan seorang penghulu. Dahulu key chain adalah barang cenderamata yang sangat mahal yang diberi kepada orang penting (VIP). Setiap kali melakukan urusan kerja, ayah akan diberikan key chain sebagai tanda cenderamata.

“Pada asalnya, koleksi key chain peninggalan arwah ayah hanya sekitar 30 sahaja di sepanjang perkhidmatannya. Setelah ayah meninggal dunia pada tahun 1981,abang sulung kata pada saya, “You take it, look after it because nobody cares about it.”

‘’Baiklah, tidak mengapa saya ambil dan mula menyambung hobi arwah ayah. Kini sudah ada lebih 2,500 jenis key chain yang saya kumpul antaranya dari pelbagai negara. Kebanyakan koleksi key chain ini adalah daripada pemberian orang.Key chain adalah cenderamata yang paling murah yang boleh beli untuk dibawa pulang. Saya memang abadikan benda ini,” kata Zawawi.

PESANAN BUAT PARA PENDIDIK

Berkhidmat selama 38 tahun dalam dunia pendidikan, Zawawi telah menerima sebanyak tiga kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).Katanya, anugerah ini adalah sebagai pemangkin semangat kerana beliau berpegang kepada falsafah hidup iaitu kerja mesti dengan tulus dan ikhlas.

“Saya tidak kerja untuk anugerah.Saya sudah mendapat kepuasan dari segi aspek lain. seronok seorang guru itu adalah apabila melihat murid-muridnya berjaya. Semasa bertugas di SMK Felda Kg Awah, saya mengajar mata pelajaran Pendidikan Seni bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Manisnya, pencapaian keputusan bagi mata pelajaran tersebut amat membanggakan dengan keputusan 80% dapat A, selama 10 tahun berturut-turut. Melihat kejayaan murid pada waktu itu memberi satu kepuasan yang tidak terhingga buat seorang guru.

“Kepuasan kedua dirasai ketika bertugas sebagai pentadbir di SK Triang 3 dan SK Bandar Mentakab dari tahun 2002 hingga 2011. Saya sebagai orang yang menjaga kokurikulum melihat pencapaian UPSR di kedua-dua sekolah tersebut sentiasa menaik seolah-olah tidak akan turun. Saya juga rapat dengan guru-guru di sekolah dengan menanggap mereka sama seperti saya walaupun saya adalah pentadbir,” jelas Zawawi.

Mengakhiri perbualan, Zawawi meninggalkan pesan buat warga pendidik agar berpandangan jauh dan sentiasa bersedekah kerana ia akan berbalik semula pada diri kita.“Kita perlu jujur dan sentiasa kedepan untuk merancang.

Kita juga perlu berubah dan menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Adjust yourself,“akhiri Zawawi yang bakal meneruskan kerja seninya melukis mural, bertukang dan membuat lukisan kaligrafi jawi selepas bersara.

LATAR BELAKANG

Nama: Haji Mohamad Zawawi bin Abu Bakar

Tarikh Lahir: 16 Oktober 1958

Tempat Lahir: Banting,Selangor Darul Ehsan

Nama Bapa: Abu Bakar bin Mayah

Nama Ibu: Hajah Asmah binti Long

Adik-Beradik: 8 orang (anak bongsu)

Bilangan anak: 5 (4 puteri, 1 putera)

PENDIDIKAN

• SK Kampong Kanchong Darat,Banting (1965-1970)

• Victoria Institution, Kuala Lumpur(1971-1976)

• Maktab Perguruan Sultan IdrisTanjung Malim (1979-1980)

• Institut Aminuddin Baki, Jitra,Kedah (2004)

• Universiti Pendidikan Sultan Idris,Tanjung Malim (2005-2007)

SEJARAH PERKHIDMATAN

• 1977-1979 Kementerian Undang-undang(kerani undang-undang)

• 1981-1996 SMK Felda Kg Awah (Guru Penolong Kanan)

• 1997-2001 SMK Seri Bahagia(Penyelaras Kokurikulum)

• 2002 SMK Temerloh Jaya (Guru Data)

• 2002-2006 SK Felda Triang 3 (Guru Penolong Kanan 1)

• 2006-2007 SK Bandar Mentakab(Guru Penolong Kanan HEM)

• 2007-2011 SK Bandar Mentakab (GuruPenolong Kanan 1)

• 2012Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (Penyelaras Aduan)

• 2013-2014 Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (Penolong Pengarah Unit Menengah)

• 2013-2014 SMK Seri Bahagia (Guru Akademik Biasa)

• 2014-2018 Sekolah Sukan Negeri Pahang (SSNP) SMK Seberang Temerloh (Guru Akademik Biasa)

ANUGERAH

1998 Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

2006 Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

2016 Anugerah PerkhidmatanCemerlang