Stres Berkaitan Kerja


Kita semua mengalami pasang surut dalam kehidupan. Malahan adalah lumrah untuk kita merasai stres mengenai kerja, terutama apabila terdapat ‘deadline’yang harus kita kejar. Walaubagaimanapun, jika anda mengalami terlalu banyak kerja harian yang membuatkan anda tertekan, atau mempunyai rasa takut untuk pergi kerja, anda sebenarnya sedang  mengalami stres atau tekanan berkaitan kerja.

Istilah stres pertama kali digunakan oleh Hans Selye selepas beliau menamatkan latihan perubatan pada tahun 1920-an.Beliau mencadangkan istilah stres bagi menggambarkan keadaan bukan asal tubuh badan yang disebabkan fungsi luar biasa badan disebabkan oleh penghasilan hormon stres (Selye, 1977).

Stres berkaitan kerja merupakan keadaan yang berlaku apabila permintaan pekerjaan melebihi keupayaan seseorang pekerja dalam menanganinya, Ia bukan sahaja akan mempengaruhi kesihatan mental pekerja malah turut sama menjatuhkan produktiviti sesebuah syarikat.

Model Stres Berkaitan Kerja

Model terbaru stres berkaitan kerja adalah berdasarkan ‘Job Demand-Resources’ (JD-R)oleh Arnold B. Bakker Evangelia Demeouti (2007). JD-R menunjukkan setiap pekerjaan mempunyai faktor risiko spesifik terhadap sesuatu stres dalam pekerjaan. Stres dalam pekerjaan dikategorikan kepada permintaan pekerjaan dan sumber pekerjaan.

Keadaan fizikal, psikologikal,sosial dan aspek organisasi sesuatu pekerjaan menuntut kelestarian fizikal dan/atau usaha psikologikal atau kemahiran untuk merujuk kepada permintaan pekerjaan.Sumber pekerjaan pula merujuk kepada aspek fungsi fizikal,psikologikal, sosial dan organisasi dalam mencapai objektif pekerjaan,mengurangkan permintaan pekerjaan dan sebarang kos fizikal dan psikologikal bagi merangsang pertumbuhan, pembelajaran dan pembangunan dalam kerjaya seseorang individu. Diagram dibawah menunjukkan model JD-R.

Sumber pekerjaan dalam model ini memaparkan potensi motivasi di mana ia akan menjurus kepada produktiviti kerja yang tinggi, kurangnya sifat sinikal dan prestasi kerja cemerlang (Bakker & Demerouti, 2007)

Figure 1.0: The Job Demands-Resources Model

Punca Utama Penyebab Stres Berkaitan Kerja

Punca utama yang boleh mencetuskan stres di tempat kerja adalah:

• Budaya sesuatu organisasi

• Pengurusan yang lemah

• Permintaan pekerjaan

• Tempat kerja fizikal

• Hubungan sesama pekerja

• Kurangnya sokongan

• Perubahan dalam polisi pengurusan

• Konflik peraturan

• Trauma

• Kerja lebih masa

• ‘Deadline’ yang melampau

• Mikro-pengurusan

• Kurangnya peralatan dan sumber

• Kurangnya peluang untuk naik pangkat

Gangguan

Punca stres berkaitan kerja boleh dikategorikan kepada keupayaan individu dan faktor organisasi.Keupayaan individu merujuk kepada kemahiran seseorang pekerja,keadaan psikologikal, kesihatan fizikal,mekanisme penerimaan terhadap faktor organisasi seperti arahan pengurusan atau kaedah pengurusan, budaya sesebuah organisasi, waktu bekerja dan banyak lagi. Maka, akibat daripada stres juga akan mempengaruhi kesihatan seseorang individu dan juga sesebuah organisasi.

Tanda-Tanda Stres Berkaitan Kerja Pada Seseorang Pekerja

Apabila seseorang pekerja sudah tidak tahan berdepan dengan stres yang dihadapinya, pekerja akan menerima kesannya secara langsung. Ia akan menyusutkan kualiti kesihatan mental dan fizikal.

Jika hal itu berterusan, ia akan menjurus kepada masalah kesihatan psikologikal seperti jiwa tidak tenteram, kemurungan kronik dan masalah mental yang lain. Selain itu, stres juga akan mempengaruhi keadaan fizikal badan seperti penyakit kardiovaskular, penyakit maskularskeletal, masalah pernafasan dan banyak lagi.

Oleh itu, tanda-tanda tersebut adalah berbeza mengikut keadaan kesihatan seseorang individu.

Perasaan Negatif Dan Kemurungan

Perasaan negatif boleh terbentuk dalam pelbagai cara. Ia mungkin bersifat sementara seperti perasaan yang teruk apabila anda gagal melakukan sesuatu tugasan.Kemudian ia mula membentuk kepada perasaan ragu-ragu terhadap keupayaan sendiri dan anda mula mempersoalkan kebolehan diri sendiri.

Masalah kecil yang berlaku boleh mengakibatkan anda berasa sangat kecewa pada diri. Hilangnya keyakinan diri boleh menyebabkan kemurungan dan jiwa tidak tenteram.

Sifat Agresif

Anda menjadi marah terhadap semua orang. Jenaka yang anda selalu ketawakan bersama rakan sudah menjadi satu penghinaan yang anda rasakan perlu untuk melawan mereka kembali. Tindakan biasa oleh rakan sekerja sudah menjadi satu penghinaan kepada anda.Anda gagal mengawal kemarahan. Anda cepat melatah dikemarahan. Anda cepat melatah ditempat kerja.

Peralihan Mood Yang Luar Biasa

Ada hari anda datang ke tempat kerja dengan perasaan gembira,Tetapi setengah jam kemudian, anda berasa sangat kecewa dan mula menitiskan air mata. Apabila anda selesai melalui mood ‘blue’ itu anda akan berasa sangat malu dan tidak pasti mengapa mood anda berubah dengan sekelip mata.

Masalah mental

Anda cepat lupa mengenai sesuatu. Perhatian anda menjadi semakin mengurang. Anda tidak boleh fokus pada kerja yang selama ini anda mungkin pakar. Anda juga akan cepat rasa keliru.

Perubahan Terhadap Gaya Hidup

Stres berkaitan kerja mempengaruhi kehidupan anda diluar tempat kerja. Anda mungkin mengalami tidur yang tidak mencukupi, mungkin juga terlebih tidur. Begitu juga tabiat pemakanan anda. Mungkin selera anda bertambah atau berkurang dengan mendadak.

Penyalah Gunaan Bahan Terlarang

Bagi menghadapi stres, anda akan menyalah gunakan alkohol atau dadah. Anda juga akan mula ketagih kepada alkohol, dadah rekreasi mahupun kedua-duanya.

Masalah Ketepatan Masa

Akibat daripada kurangnya motivasi atau ketakutan pada kerja, anda dengan tidak sengaja datang lewat ke tempat kerja dan mempunyai keinginan untuk pulang seawal yang mungkin.Tanda-tanda stres berkaitan kerja di dalam kumpulan atau organisasi:

• Perbalahan dalaman di antara kumpulan

• Semakin ramai pekerja berhenti kerja

• Semakin banyak aduan

• Semakin banyak ketidakhadiran kerja akibat cuti sakit

• Prestasi kerja menurun

• Pelanggan membuat laporan mengenai turunnya produktiviti

• Kepayahan untuk menggaji pekerja baru

Bagaimana Menangani Stres Berkaitan Kerja

Jika anda mengalami satu atau lebih simptom di atas, kemungkinan besar anda mengalami stres berkaitan kerja. Anda perlu berbicara dengan pengurus atau wakil yang mewakili kesatuan sekerja anda untuk mencari jalan penyelesaian masalah stres tersebut.

Walau bagaimanapun, simptom-simptom di atas mungkin bermaksud stres, ia juga boleh menjadi pengukur terhadap keadaan kesihatan. Jika anda mengalami simptom tersebut untuk masa yang lama, berundinglah segera dengan pakar kesihatan anda.

Jika masalah anda bermula daripada keadaan kesihatan yang teruk, mulalah mengenal pasti punca masalah dan merawat kembali mood anda seperti sediakala. Jika anda mengenal pasti tanda-tanda ini dalam kumpulan kerja,silalah berunding dengan penyelia anda.

Dalam pengurusan stres, campur tangan atau ‘early intervention’ dengan menilai perubahan dinamik dalam kumpulan kerja serta mengambil langkah proaktif dalam menangani perubahan tingkah laku kecil dan drastik, amat diperlukan.

Setiap daripada kita mungkin mengalami hari yang teruk dan bagus.Rakan sekerja anda mungkin nampak tidak bermaya dan goyah pada sesuatu hari, namun tidak semestinya dia berhadapan dengan masalah stres berkaitan kerja. Buatlah pertimbangan terbaik terhadap simptom yang anda lihat di tempat kerja.

• NOTA: Dr. Ahmad Fairuz Mohammed merupakan Ketua Pegawai Eksekutif,Medi Ihsan Occupational Safety and Health (Selangor) Sdn. Bhd. Beliau juga merupakan Timbalan Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu dan Pembantu Profesor dalam bidang Kesihatan Awam,Pakar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Fakulti Perubatan, Cyberjaya University College of Medical Sciences(CUCMS), Cyberjaya.

Dr. Fairuz memegang jawatan zamalah(felo) dan keahlian dalam persatuan perubatan, organisasi pakar seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA),Akademi Perubatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (AOEMM), Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia(I-2357), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan sebagainya.