Pendidikan Sejarah kukuhkan semangat patriotisme


Jika dikaji, sistem pendidikan Malaysia dirancang demi melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek. Itulah sebabnya sukatan pelajaran kita bukan sahaja merangkumi subjek berbentuk akademik tetapi juga bidang agama, moral, sivik, seni, muzik,sejarah dan sebagainya.

Jelaslah, melalui mata pelajaran Sejarah kita dapat mengetahui kisah dan rentetan peristiwa benar sebelum merdeka dan selepas merdeka dan juga peristiwa penting pada 31 Ogos 1957 dan 16 September 1963. Suatu bidang ilmu yang amat produktif untuk melahirkan insan sedemikan ialah sejarah. Ilmu ini membawa pelbagai kebaikan kepada anak-anak muda kita juga pemimpin terutamanya berkaitan sejarah tempat lahir, negeri dan sejarah masa lampau.

Begitu juga pelbagai peristiwa lain tentang asal-usul dan perkembangan negeri, negara dan budaya sesuatu kaum. Kita juga dapat memahami proses kemerdekaan negara,perjuangan awal dan penerapan semangat nasionalisme dalam menuntut kebebasan ke arah kemerdekaan negara serta asal usul penduduk negara ini dengan bukti yang tepat dan kukuh.

Oleh itu, melalui sejarah akan melahirkan generasi muda yang patriotik serta cinta akan negaranya.Malah melalui sejarah, anak-anak muda akan memahami konsep pembinaan negara, kedaulatan,dan pemerintahan sendiri. Sedar akan kepayahan hidup manusia jika tanpa negara dan tanah air. Dalam diri tertanam rasa bersyukur kepada negara yang dimiliki.

Jelaslah bahawa, sejarah menerapkan rasa cinta dan setia terhadap negara dan pemimpin yang dipilih. Menjadi rakyat yang sanggup mempertahankan kedaulatan negara dalam sebarang situasi iaitu asas semangat patriotik yang berakar umbi daripada sejarah.

Seterusnya, melahirkan individu yang menghargai dan akan mempertahankan kemerdekaan.Melalui sejarah, pelajar dan generasi muda dapat memahami pahit getir kehidupan rakyat pada zaman penjajahan. Selain itu,dapat mengimbau pengorbanan generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan yang kita nikmati hari ini.

Memetik pandangan tokoh Sejarah, Prof. Dr. Zainal Abidin Abdul Wahid, pengkajian sejarah adalah kepastian mutlak suatu perkara yang sangat sukar dicapai dalam pengkajian sejarah. Namun demikian pengkaji sejarah akan cuba sedaya upaya untuk membuktikan bahawa sesuatu peristiwa atau fakta sejarah itu sebenar-benar berlaku atau betul.

Generasi muda dan juga pemimpin yang faham dan mendalami sejarah awal negara dan akan memelihara kemerdekaan serta tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan yang boleh mengancam kemerdekaan dan kedaulatan negara serta memecahkan perpaduan kaum.Sejarah mampu memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.Malaysia terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

Sejarah bukan sahaja mendedahkan asal usul kehadiran mereka di Malaysia tetapi juga membuka mata anak-anak muda untuk melihat sumbangan setiap kaum terhadap kemajuan ekonomi negara.Kita juga seharusnya sedar bahawa setiap kaum juga telah memainkan peranan untuk memperoleh kemerdekaan.

Kita belajar menghormati satu sama lain dan memupuk hubungan erat tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama dalam sebuah negara yang merdeka.

Memahami dan mendalami sejarah akan mewujudkan jati diri dalam kalangan generasi muda.Sejarah mendedahkan ketinggian peradaban dan tamadun nenek moyang kita. Murid di sekolah juga akan dapat melihat dan memahami sejarah ketinggian nilai seni, adat resam, dan pemikiran bangsa mereka.

Dalam mengisi kemerdekaan setelah 61 tahun merdeka, generasi muda akan sedar dan menghargai warisan bangsa sendiri. Lantaran itu, diri berasa bangga terhadap pencapaian dan kedudukan warisan sendiri. Mampu membentuk identiti sendiri dan tidak mengagung-agungkan budaya Barat.

Melalui sejarah mampu melahirkan generasi muda yang lebih matang dan berfikiran waras. Sejarah dipenuhi kisah hidup masyarakat silam. Pelajar dapat melihat pelbagai perjalanan hidup, keputusan dan tindakan manusia. Juga dapat melihat kesan dan akibat pelbagai perlakuan manusia.

Semua itu akan menjadi pengajaran dan panduan hidup.Seterusnya, dapat mengutip teladan daripada tindakan mulia dan menjauhi tindakan yang pernah membawa kehancuran. Kita tidak akan mengulangi lagi kesalahan yang sama.

Lantaran itu, sejarah tidak harus dipandang sebagai subjek untuk lulus dalam peperiksaan SPM malah memahami dan mengetahui sejarah negara dan pelbagai silam dengan tepat dan betul. Sebaliknya sejarah juga merupakan ilmu hidup yang memandu manusia untuk menjalani kehidupan yang sempurna.

Di sebalik setiap lembaran teks Sejarah terkandung pelbagai pedoman hidup dan pengajaran bagi memandu generasi muda hari ini kearah kejayaan masa depan. Subjek ini harus diberikan perhatian sewajarnya oleh para pendidik, ibu bapa dan murid bagi membentuk jati diri dan semangat patriotik yang kekal dan mendalam di hati dan jiwa.

Selanjutnya, usaha ini bertujuan mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan bangsa dan negara Malaysia. Jika selama ini semangat itu telah disemai, dipupuk dan dibaja,ia seharusnya diperkukuhkan lagi bagi menghadapi era globalisasi yang semakin mencabar.

Oleh itu, sewajarnya langkah dan usaha memperkenalkan semula mata pelajaran di peringkat sekolah rendah giat dilakukan dan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat penting dalam kelulusan peperiksaan SPM. Langkah ini bukan sahaja menjadikan mata pelajaran Sejarah akan dipelajari dengan bersungguh-sungguh,malah akan difahami dan dihayati secara mendalam sesuai dengan tema Sayangi Malaysiaku.