Daripada Johannian Untuk Johannian Inisiatif Program JUMP Alumni St. John’s Institution


Ketika di bangku sekolah dahulu,pastinya setiap daripada kita pernah memasang impian untuk menjadi seorang individu yang berjaya.

Berjaya dalam kehidupan berkeluarga, berjaya dalam kerjaya yang diceburi mahupun berjaya dalam cita-cita yang dihajati.Sebenarnya, impian sedemikian adalah lumrah.

Dengan adanya impian, maka seseorang itu menjadikan impian tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha menjadi seorang manusia yang lebih berjaya.

Pelbagai matlamat dan perancangan direncanakan bagi memastikan ia dapat direalisasikan.Semuanya ini dibuat dengan harapan seseorang itu akan memperolehi suatu permulaan yang baik.

Hakikatnya, membuat perancangan awal adalah satu strategi yang bijak kerana ini akan membolehkan seseorang itu merancang ke hadapan sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan siap-siaga apabila memasuki ke alam pekerjaan.

Antara barisan Johannian yang dijemput untuk menjayakan program JUMP di St. John’s Institution.

Perlu diingatkan bahawa realiti di alam pekerjaan adalah sangat berbeza jika dibandingkan dengan alam persekolahan.Di alam persekolahan, murid masih boleh bergantung harap kepada guru sekolah ataupun ibu bapa jika mereka ditimpa masalah.

Perkara yang sama tidak boleh diperkatakan apabila mereka memasuki ke alam pekerjaan. Dunia di luar sana tidaklah seindah seperti yang dikhabarkan. Sebaliknya, ia penuh dengan ragam dan sikap manusia yang pelbagai.

Dan untuk terus ‘hidup’ dalam alam pekerjaan yang mencabar,mereka perlulah bijak dan ‘street smart’. Dalam erti kata lain,kelulusan akademik yang dicapai tidak semestinya menjanjikan kesudahan yang indah. Seperti kata orang-orang tua, hanya mereka yang kental dan tahan lasak, akan terus hidup.

David Mizan Hashim(bekas murid St. John’s Institution Tahun 1977)

Murid Tingkatan enam rendah St. John’s Institution bergambar bersama-sama dengan beberapa tetamu program Johannian Uplifting Motivation Programme (JUMP) baru-baru ini.

Pelbagai matlamat dan perancangan direncanakan bagi memastikan ia dapat direalisasikan. Semuanya ini dibuat dengan harapan seseorang itu akan memperolehi suatu permulaan yang baik.

 

St. John’s Institution, antara institusi pendidikan yang tersohor di negara ini.

Beberapa bekas murid St. John’s Institution berkongsi pengalaman dan kisah hidup mereka kepada murid dalam program JUMP.

Menyedari hakikat itu, pihak st. John’s Alumni Association atau SJAA selaku badan alumni utama sekolah itu telah mengorak langkah dengan menganjurkan sebuah program berkonsepkan motivasi diberi nama Johannian Uplifting Motivation Programme (JUMP).

JUMP diilham pada 2015 oleh seorang bekas pelajar St. John’s Institution (SJI), David Mizan Hashim(pelajar tahun 1977). Program JUMP ini bertujuan untuk memberi permulaan yang baik kepada warga Johannian dalam merealisasikan potensi serta matlamat hidup mereka.

JUMP dianjurkan setiap suku tahun dan mengetengahkan barisan Johannian daripada pelbagai latar belakang dan industri yang berkongsi kisah hidup dan rahsia bagaimana mereka berusaha untuk menjadi insan yang berjaya.Pada masa yang sama, JUMP juga menjadi platform yang akan membantu usaha alumni untuk memperkukuh moto sekolah etos Fide et Labore yang menjadi nilai asas kepada Johannians.

Antara barisan Johannians yang pernah mewarnai program JUMP ini termasuklah Pengarah Urusan MRCB, Tan Sri Salim Fateh Din;pelawak terkenal tanah air, Harith Iskander Musa; pelakon Dato’ Han Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP), Dato’ Shahril Ridza Ridzuan dan Pakar Ortopedik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Jeremy Prakash.

Setakat ini, program berkenaan telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan bukan sahaja daripada kalangan para pelajar sekolah bahkan juga guru-guru sekolah itu sendiri.

Sambutan baik itu ada kaitannya dengan pendekatan yang digunakan dalam program motivasi tersebut yang lebih memberi penekanan kepada aspek kepimpinan dan pembentukan sahsiah, sesuatu yang amat membantu para pelajar untuk berhadapan dengan cabaran masa depan.

“JUMP diilham pada2015 oleh seorang bekas pelajar St. John’s Institution (SJI), David Mizan Hashim (pelajar tahun 1977). Program JUMP ini bertujuan untuk memberi permulaan yang baik kepada warga Johannian dalam merealisasikan potensi serta matlamat hidup mereka.”

Pendekatan yang digunakan amatlah berbeza dengan program motivasi lain yang sering dianjurkan oleh sekolah lain yang lebih menjurus kepada aspek akademik.

Apa yang menarik mengenai program JUMP ini, menurut Presiden SJAA, Isham Ishak, ia memintas jurang usia dan tidak berbangkit istilah senior atau junior alumni.Yang ada hanyalah Johannian.Dengan kata lain, program ini adalah daripada Johannian untuk Johannian.

Ujar Isham lagi, melalui JUMP,peranan alumni sekolah akan lebih diperkukuh dan memberikan kesan jangka panjang yang mana setiap Johannian dipupuk nilai jati diri agar sentiasa bersedia untuk menyumbang dan berkhidmat demi kepentingan masyarakat serta negara.

“Bezanya program JUMP SJAA ini ialah ia berdasarkan kepada intipati program yang membangunkan program kepimpinan masa hadapan secara santai dan bersifat kekeluargaan,”katanya.

Isham turut memaklumkan,SJAA akan terus komited untuk menambah baik pengisian program JUMP dengan mengetengahkan pendekatan yang lebih segar, relevan dan terkini. Salah satu daripadanya adalah untuk membuka program JUMP ini kepada ahli alumni supaya pengalaman serta idea-idea baharu yang dijana melalui program JUMP akan turut dimanfaatkan oleh seluruh warga Johannian.

Tegas beliau, program JUMP akan terus memastikan St.John’s Institution (SJI) akan terus melahirkan pemimpin masa hadapan dalam pelbagai bidang yang didasari dengan sokongan utuh pihak alumni.

Program JUMP untuk sesi-sesi akan datang bakal menyaksikan penampilan beberapa lagi Johannians terkenal seperti Chef Nik Michael Imran, pengulas sukan tanah air, Rizal Hashim,pemain boling kebangsaan negara, Syafique Ridhwan Abdul Malek, komposer dan penerbit lagu, Damian Mikhail Seet dan YouTuber terkenal, Ray Mak Hon Kit.

Sebarang maklumat lanjut mengenai program JUMP atau mengenai alumni sekolah, boleh melayari laman Facebook SJAA atau Instagram SJAA di sjaa 1904.