Guru Sakit Kronik Tidak Diabaikan:Keprihatinan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


Dunia saya bagaikan sudah runtuh,” itulah gambaran apa yang dirasai oleh seorang guru Bahasa Inggeris, P. Yasogee ketika beliau mula-mula disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga kira-kira 12 tahun lalu.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, beliau didapati menghidap penyakit barah payudara pada sebelah kiri dan wajib menjalani pembedahan segera bagi membuang tiga ketulan besar.

“Memang tidak dapat dinafikan,ketika mendapat tahu menghidap penyakit ini, saya sangat terkejut kerana tiada sejarah ahli keluarga yang mempunyainya selain menjalani gaya hidup yang aktif.

“Apa yang ada dalam kepala saya ketika itu hanyalah kematian kerana tidak tahu bagaimana untuk berhadapan situasi tersebut,” ujarnya ketika ditemui Majalah Pendidik baru-baru ini.

Yasogee merupakan salah seorang daripada 41 guru sakit kronik yang hadir bagi menerima sumbangan dalam Program Sumbangsih Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur(JPWPKL) sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru -baru ini.

Sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Wilayah Bangsar / Pudu,Ismail Musa.

Berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana, Kuala Lumpur sejak 19 tahun lalu, Yasogee memberitahu dirinya pernah berasa seolah-olah putus asa dengan penyakit yang dihadapi dan mengambil keputusan untuk merahsiakannya daripada pengetahuan sesiapa.

Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Wilayah Bangsar/Pudu, Ismail Musa bergambar bersama Ahli Jawatankuasa dan penerima sumbangan Program Sumbangsih JPWPKL.

“Oleh sebab tiada pengalaman berkawan dengan mereka yang mengalami sakit kronik,saya bertindak menyembunyikannya daripada rakan sekerja tidak terkecuali anak-anak pada mulanya.

“Ini kerana, ada segelintir daripada kenalan saya seolah-olah tidak mahu memahami apa yang sedang saya lalui.

“Namun, saya silap kerana apa yang saya perlukan sebenarnya adalah sokongan moral yang tidak berbelah-bahagi terutama daripada orang terdekat,” katanya.

Jelasnya, keperluan untuk berdepan sejumlah siri radio terapi dan kemoterapi di samping rawatan lain, menyaksikan Yasogee mula mencari kekuatan sendiri dengan menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan selain menghadiri ceramah-ceramah motivasi.

“Saya banyak hadir ceramah motivasi oleh Datuk Dr. Mohd.Fadzilah Kamsah dan menyertai NGO berkaitan, selain kini aktif menyebarkan kesedaran mengenai kanser payudara.

“Walaupun diserang kanser kali kedua pada payudara yang sama menyebabkan saya terpaksa membuangnya secara keseluruhan pada tahun kelima, dengan sokongan yang diperoleh ia tidak lagi menjatuhkan semangat saya untuk melawannya,” ujarnya.Tambah Yasogee,dengan sokongan penuh daripada ahli keluarga serta rakan sekerja selain orang sekeliling,beliau merasakan hidupnya kini lebih bermakna.“Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah penting nya rangkaian sokongan yang kukuh daripada semua untuk membantu“golongan” seperti kami ini melawan penyakit yang dihadapi.

Sebenarnya ini adalah salah satu bentuk kita menzahirkan penghargaan terhadap jasa mereka semasa sihat selain masih berkhidmat sehingga sekarang.

“Hari ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JPWPKL kerana menunjukkan keprihatinan terhadap nasib kami dan membuktikan diri ini dihargai dan tidak pernah diabaikan meskipun tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab dengan sempurna seperti sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Ismail Musa berkata, penyampaian sumbangsih berkenaan merupakan salah satu daripada agenda wajib sempena sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun.

“Program ini merupakan anjuran Sektor Psikologi dan Kaunseling JPWPKL dengan kerjasama Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat.

Raja Ashiff Bakhiar Raja Ariff Guru di Kolej Vokasional Setapak.

“Sebenarnya ini adalah salah satu bentuk kita menzahirkan penghargaan terhadap jasa mereka semasa sihat selain masih berkhidmat sehingga sekarang.

“Ia juga satu kaedah kita menunjukkan keprihatinan terhadap nasib mereka selain sama-sama memberikan semangat untuk melawan penyakit yang dihadapi dan paling penting, mereka ini tidak pernah dipinggirkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima sumbangan, Raja Ashiff Bakhiar Raja Ariff dari Kolej Vokasional Setapak melahirkan rasa syukur dan berterima kasih dia atas sumbangan yang diterima.

“Dengan menghadiri majlis ini, saya juga dapat bersua muka dengan rakan-rakan lain yang senasib sekali gus dapat memberi semangat antara satu sama lain,” ujarnya yang mengalami beberapa kecederaan kekal akibat sukan atau“sports injuries.”