Guru SKM: Antara Cabaran Dan Harapan


Sesebuah sekolah diklasifikasikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) apabila mempunyai bilangan murid kurang daripada 150 murid. Berdasarkan data pada Oktober 2017,terdapat 3,032 buah sekolah rendah berada di bawah kategori sekolah kurang murid.

Seseorang guru yang ditempatkan di SKM perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran. Hal ini kerana SKM berada agak jauh dari bandar atau pekan-pekan yang mempunyai kemudahan yang agak baik. Segelintir guru adakalanya perlu menempuh arus sungai yang deras, melalui denai yang sempit, hutan dan semak samun kerana kedudukan SKM yang terletak jauh di pedalaman.

Ada ketikanya guru SKM perlu berhadapan dengan risiko untuk sampai ke sekolah. Selain itu guru SKM perlu berhadapan dengan masalah ketidak hadiran murid yang agak tinggi.

Cabaran guru SKM kian terasa apabila Kementerian Pendidikan menyasarkan semua sekolah perlu melaksanakan Pendidikan Abad ke-21 yang menuntut banyak keperluan dan kemudahan untuk mengupayakan murid. Dalam keterujaan kita ke arah Pendidikan Abad ke-21 sebahagian besar SKM masih dalam keadaan daif dan terpinggir. Manakala kemudahan capaian internet agak perlahan.Bagaimanapun, pihak KPM sentiasa melakukan usaha untuk menambah baik.

Banyak kemudahan teknologi yang dibekalkan sejak bertahun-tahun dalam keadaan terbiar dan tidak mampu menyumbang kepada aktiviti Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di dalam bilik darjah. Akibatnya guru di SKM terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mengupayakan bilik darjah dan aktiviti pembelajaran murid. Peruntukan yang terhad menyukarkan pihak pentadbiran merancang program-program berimpak tinggi seperti sekolah-sekolah lain.

Selain itu, guru SKM berhadapan dengan ibu bapa atau penjaga yang berstatus ekonomi yang rendah. Ini menyukarkan guru SKM melaksanakan aktiviti dengan bantuan kewangan ibu bapa. Ramai guru SKM sanggup berkorban mengeluarkan wang saku sendiri asalkan program berjalan lancar dan murid mendapat impak yang positif.

Guru di SKM juga mempunyai tanggungjawab berat kerana perlu memikul tugas yang pelbagai dan waktu mengajar yang banyak berbanding dengan guru di sekolah biasa. Ini kerana bilangan guru di SKM berdasarkan enrolmen murid sedangkan beban tugas adalah sama dengan sekolah-sekolah besar yang lain.

Guru SKM harus menguruskan pelbagai dokumentasi, program dan aktiviti dalam masa yang terhad kerana bilangan waktu mengajar yang banyak. Bilangan calon dan murid yang sedikit dalam peperiksaan awam mengundang risiko yang besar kepada peratus kelulusan.

Oleh itu, guru SKM harus bijak mengggunakan masa bagi memastikan PdPc tidak terabai dalam masa yang sama mampu menjalankan kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran.

PdPc di Kelas Bercantum juga merupakan cabaran buat guru SKM. Tugas ini memerlukan kebijaksanaan dalam menyusun teknik dan strategi PdPc. Proses pemikiran dan aras keupayaan murid tidak sama.Oleh itu guru perlu menggunakan Sistem Pusingan dalam memastikan semua murid tidak tercicir.

Masalah logistik dan struktur geografi juga memberi kesan kepada kadar kepantasan penerimaan maklumat. Walaupun adanya media elektronik dan pelbagai aplikasi, masalah capaian tetap membelenggu guru SKM untuk menerima maklumat dengan pantas. Namun ia tidak menghalang semangat mereka untuk bersaing dalam arus pendidikan masa kini.

Dengan demikian guru SKM kini seperti guru-guru di sekolah lain tidak ketinggalan menghadiri kursus, bengkel dan latihan dalam memantapkan amalan pedagogi Pendidikan Abad ke-21 agar seiring dengan guru di sekolah lain. Bak kata perpatah ‘alah bisa tegal biasa’.Segala cabaran dan kepayahan yang dihadapi tidak pernah mematahkan semangat guru SKM untuk memberi pendidikan terbaik kepada semua murid.

Peranan guru SKM bukan sahaja sebagai penyebar ilmu tapi mendidik murid agar mampu menggunakan ilmu dan kemahiran dalam kehidupan mereka pada masa depan. Ini kerana hanya pendidikan dapat mengubah nasib mereka pada masa depan.

Bagi mendepani semua cabaran,guru SKM harus berani berfikir secara kritis dan melaksanakan idea baharu secara kreatif dan inovatif. Sekolah merupakan institusi pendidikan yang memainkan peranan sebagai agen perubahan termasuklah SKM.

Guru SKM mempunyai harapan yang besar agar dapat memberi kesan positif dalam mengupayakan sekolah dan murid . Ini kerana dengan adanya perubahan ini proses pendidikan akan menjadi lebih berkesan, bermakna dan sesuai dengan tuntutan perkembangan pendidikan semasa. Oleh itu tidak mustahil guru SKM juga mampu hebat seperti guru-guru di sekolah lain.