Jelaskah Hala Tuju Pendidikan Di Mata Rakyat?


Apakah matlamat pendidikan negara?Bila diajukan pertanyaan sebegini kepada golongan guru, rata-rata memberikan jawapan yang hampir sama – iaitu membangunkan generasi masa hadapan yang holistik atau seimbang untuk kemajuan dan kesejahteraan negara.

Jawapan yang sudah dijangka,kerana golongan guru memang telah dididik dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)semasa latihan mereka, sama ada di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau di universiti. Tidak akan ada guru yang akan menidakkan keperluan untuk membangunkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi,rohani dan intelek bagi memupuk kesejahteraan diri, keluarga,masyarakat dan negara.

Namun begitu, pernyataan ini akan membawa kepada soalan berikutnya - adakah sistem pendidikan negara menyediakan murid yang seimbang, selaras dengan hasrat FPK? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu melihat apakah dasar pendidikan yang diamalkan sekarang.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, satu Pelan strategik dan operasi yang meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia antara satu pertiga negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia.

Bagi mencapai matlamat ini,Lima Aspirasi sistem pendidikan itu sendiri telah ditetapkan iaitu Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan dan Kecekapan. Ini bermaksud bahawa akses kepada pendidikan berkualiti perlu diberikan secara saksama kepada semua anak warganegara Malaysia melalui sistem penyampaian pendidikan yang cekap dan berkesan.Perpaduan menjadi teras kepada kestabilan negara untuk melangkah ke era negara maju.

PPPM 2013-2025 juga telah menetapkan Enam Aspirasi Murid untuk menjadikan sistem pendidikan negara antara yang terbaik di dunia.Selaras dengan hasrat FPK, pelan ini menekankan keseimbangan ilmu dan akhlak melalui Enam Aspirasi untuk murid Malaysia, iaitu dari segi ilmunya adalah Pengetahuan,Kemahiran Berfikir dan Kemahiran Dwibahasa, manakala dari segi akhlaknya adalah Kemahiran Memimpin, Identiti Nasional serta Etika dan Kerohanian.

Ini bermakna semua warga pendidik di era Revolusi Industri 4.0 ini perlu bekerjasama erat dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta bagi memastikan dasar pendidikan negara dapat dicapai.

Apa pula 11 Anjakan dalam sistem pendidikan sebagaimana yang dinyatakan dengan panjang lebar dalam PPPM? Sebenarnya 11 Anjakan ini adalah perubahan cara bekerja warga pendidikan yang perlu diamalkan secara menyeluruh dan berkesan.

Anjakan 1, sebagai contoh,menyatakan bahawa kementerian bertekad untuk Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa.

Anjakan ini memberikan penekanan kepada kemenjadian murid secara menyeluruh dan bukannya kejayaan akademik semata-mata, kerana tahap keberhasilan murid dan amalan pembelajaran akan ditanda aras dan diselaraskan mengikut standard yang diguna pakai oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi, supaya murid Malaysia mampu bersaing diperingkat global.

Sistem pendidikan terbaik didunia memberikan penekanan kepada ilmu, kemahiran dan nilai;contohnya di negara Jepun yang sangat menitik beratkan pemupukan nilai terutama ketika murid di peringkat prasekolah dan sekolah rendah.

Anjakan 1 ini juga menunjukkan kementerian berusaha untuk memastikan semua anak Malaysia diberikan akses kepada bantuan yang bersesuaian dengan keperluan mereka, bagi menjamin kejayaan mereka di sekolah. Daripada prasekolah hingga selepas sekolah menengah, setiap murid boleh mendapatkan pendidikan yang sesuai dengan bakat dan kecenderungan masing-masing.

Peluang ini terbukti dengan wujudnya bukan sahaja pendidikan arus perdana tetapi juga sekolah sukan, sekolah seni serta pendidikan vokasional dan pendidikan khas.

Mari kita lihat pula apa yang berlaku di sekolah sekarang. Teras kepada sistem pendidikan adalah kurikulum yang digubal dan dilaksanakan. Kurikulum yang dilaksanakan di semua sekolah kerajaan arus perdana di negara ini di peringkat rendah dikenali dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), manakala di sekolah menengah merupakan kesinambungan daripada KSSR iaitu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Di sekolah-sekolah berkeperluan khusus seperti sekolah sukan atau sekolah seni, kurikulum disesuaikan mengikut keperluan semasa bagi menyediakan mereka untuk keperluan masa hadapan.

Mengapa kurikulum yang dilaksanakan di negara ini dinamakan kurikulum standard?Mengikut Buku Penerangan KSSR yang diterbitkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum,Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2017, perkataan standard merujuk kepada satu tahap yang perlu dikuasai oleh murid semasa persekolahan mereka.

Anjakan ini memberikan penekanan kepada kemenjadian murid secara menyeluruh dan bukannya kejayaan akademik semata-mata,kerana tahap keberhasilan murid dan amalan pembelajaran akan ditanda aras dan diselaraskan mengikut standard yang diguna pakai oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi,supaya murid Malaysia mampu bersaing di peringkat global.

Ibu bapa perlu tahu apakah tahap yang perlu dikuasai oleh anak-anak mereka yang bersekolah,supaya mereka boleh membantu anak masing-masing menguasai standard yang telah ditetapkan,dalam pelbagai tahap mengikut kemampuan anak masing-masing.

Nyata di sini bahawa kurikulum standard yang dilaksanakan mengambil kira kemampuan murid dan bagaimana pendidikan yang dilaksanakan dapat meningkatkan prestasi murid secara menyeluruh.Pentaksiran dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan perkembangan dan pencapaian pembelajaran murid.

Pentaksiran dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP)dilaksanakan apabila guru mentaksir sejauh mana murid menguasai Standard Pembelajaran dengan merujuk kepada Standard Prestasi yang ditetapkan. Perkembangan dan pencapaian sebenar tahap penguasaan murid direkod dan dilaporkan secara deskriptif kepada murid dan ibu bapa.

Sistem persekolahan kini berbeza dengan apa yang berlaku 10 ataupun 20 tahun yang lepas, ketika ibu bapa murid ini masih di bangku persekolahan. Pendekatan PdP kini adalah berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Fokus diberikan kepada pembelajaran berasaskan inkuiri,penyelesaian masalah, pembelajaran kontekstual, pembelajaran kolaboratif, pembelajaran berasaskan projek dan pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang diterapkan dengan identiti nasional serta etika dan kerohanian.

Keputusan pentaksiran pusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) perlu dilihat bersekali dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), kerana dengan kaedah ini ibu bapa akan dapat mengetahui prestasi anak mereka secara konsisten.

PBD dapat memberi gambaran tentang perkembangan murid sejak dari Tahun 1 – bagaimana mereka dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran asas serta sama ada mereka mampu membantu rakan-rakan dalam proses pembelajaran dibilik darjah.

Kalau Pentaksiran Pusat (PP)iaitu UPSR atau PT3 merupakan satu cara mengukur kemampuan intelek murid, PBD adalah instrumen untuk mengukur amalan, nilai dan kerohanian yang dipupuk dalam proses pembelajaran.

Melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum(PAJSK) kemampuan jasmani murid dapat diukur dan telah terbukti bahawa majoriti murid Tahun Enam atau Tingkatan 3 di negara ini mempunyai tahap kesihatan yang memuaskan.

Pentaksiran Psikometrik(PPsi) dijalankan bagi mengukur kecenderungan murid yang memberi indikator terhadap potensi atau bakat murid itu sendiri, sama ada minatnya dari segi komunikasi,keusahawanan, seni ataupun penyelidikan.

Pentaksiran yang holistik ini memberikan satu asas yang kukuh untuk memupuk potensi dan bakat murid di peringkat menengah.Melangkah ke hadapan, guru-guru disekolah menengah akan mempunyai gambaran yang jelas tentang profil murid yang bakal mereka terima.

Persediaan awal dapat dibuat bagi memperkembang potensi murid ini. Murid yang mempunyai kecenderungan dalam teknik dan vokasional boleh dilorongkan kelaluan Pendidikan Asas Vokasional (PAV) yang ditawarkan di peringkat menengah rendah, manakala murid yang mempunyai minat dalam bidang sains boleh meneruskan dalam bidang STEM.

Adakah dengan pentaksiran yang seimbang ini bermakna guru-guru tidak perlu lagi memberi semangat kepada murid mereka untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan?

Sebagai guru, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan akal yang dikurniakan oleh Tuhan kepada setiap makhluknya ini dimanfaatkan sepenuhnya.Kecemerlangan dalam pentaksiran adalah indikator bahawa murid menggunakan akal dalam setiap pertimbangan yang dibuat.

Namun begitu keupayaan intelek ini perlu diimbangi dengan pengisian rohani yang kukuh, pengukuhan emosi yang stabil dan pembangunan jasmani yang mantap bagi memastikan generasi bangsa Malaysia mampu memacu kegemilangan negara pada masa akan datang.

Selaras dengan Anjakan 11 PPPM 2013-2025, kementerian saban tahun menerbitkan Laporan Tahunan yang menyingkap setiap kemajuan dan pencapaian inisiatif pendidikan, malah secara telus berkongsi kelemahan dan langkah penambahbaikan untuk setiap isu yang telah dikenal pasti.

Harapannya semoga maklumat yang dapat diakses dengan mudah melalui platform maya ini boleh memberi pemahaman kepada masyarakat tentang hala tuju pendidikan negara dalam memupuk individu sejahtera dan bakal menyumbang kepada kemajuan negara.

PPPM 2013-2025 serta Laporan Tahunan 2013-2017 dalam versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris boleh diakses melalui www.padu.edu.my