Perkembangan Pelaksanaan Inisiatif Pendidikan:Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2017 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025


Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2017 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)2013-2025 berlangsung di Putrajaya pada awal Ogos lalu. Majlis yang dihadiri oleh 500 orang peserta ini dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik. Pada majlis tersebut, Maszlee melancarkan Laporan Tahunan 2017 yang mengandungi maklumat mengenai status kemajuan inisiatif pendidikan di bawah PPPM pada tahun 2017.

Sekilas PPPM 2013-2025

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sejak tahun 2013. PPPM ini bertujuan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara setanding dengan negara maju. Proses transformasi sistem pendidikan negara telah direncanakan bagi tempoh 13 tahun dan dilaksanakan melalui tiga fasa atau gelombang.

Gelombang 1 (2013-2015) PPPM telah meletakkan asas kepada permulaan proses transformasi pendidikan, iaitu mengubah sistem dengan menyokong guru dan memberikan tumpuan kepada kemahiran utama. Kini pelaksanaan PPPM sedang berada di Gelombang 2 (2016-2020) untuk memacu peningkatan sistem pendidikan yang bertitik tolak daripada kejayaan dalam Gelombang 1.Pada Gelombang 3 (2021-2025),KPM berharap sistem pendidikan negara dan seluruh jentera pentadbiran pendidikan daripada peringkat pusat sehingga peringkat sekolah bertukar corak dan rentak kerja yang lebih cekap untuk terus menganjak ke arah kecemerlangan melalui peningkatan keluwesan operasi.

Penerbitan Laporan Tahunan 2017

Penerbitan Laporan Tahunan 2017 bagi PPPM 2013-2025 bertujuan untuk memaklumkan kepada umum mengenai perkembangan pelaksanaan inisiatif pendidikan yang telah dirancang pada tahun tersebut. Pelaksanaan inisiatif pendidikan yang diberikan tumpuan ke arah transformasi sistem pendidikan telah dikelompokkan kepada lima teras utama transformasi, iaitu meningkatkan Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan dan Kecekapan dalam pendidikan.

Di samping itu, Penerbitan Laporan Tahunan ini merupakan satu daripada kaedah yang dilaksanakan oleh KPM untuk meningkatkan ketelusan dalam pelaksanaan PPPM selari dengan Anjakan 11 dalam PPPM yang menekankan kepentingan meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik melancarkan Laporan Tahunan 2017 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Putrajaya.

Maszlee merasmikan Majlis Laporan Tahunan 2017 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Transformasi Untuk Rakyat

Menurut Maszlee, beliau berharap agenda transformasi dalam PPPM 2013-2025 membawa makna yang besar kepada semua rakyat Malaysia.

Katanya, kerajaan memberi jaminan untuk memastikan rakyat daripada semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada agenda transformasi pendidikan negara. Dengan itu, semua pihak disaran berganding bahu bersama-sama untuk mencapai visi KPM melahirkan setiap anak memiliki enam kemahiran yang dihasratkan dalam Aspirasi Murid, PPPM 2013-2025.

“Kita sedang berusaha untuk memastikan tiada seorang pun murid ketinggalan. Malah, tumpuan juga turut diberikan kepada kumpulan khusus seperti Orang Asli dan pribumi, murid berisiko serta murid berkeperluan khas atau OKU,jelasnya.

Dalam ucapannya, Maszlee turut menyatakan bahawa Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) merupakan satu daripada badan penting untuk memacu transformasi pendidikan.KPM sangat menghargai dan meyakini bahawa PADU dapat membantu kementerian untuk terus melangkah dalam pelaksanaan transformasi pendidikan.

Ubah Lanskap Pendidikan

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin pula berkata, transformasi pendidikan perlu diteruskan untuk manfaat anak bangsa walaupun hasilnya belum dapat dilihat secara jelas. Sejak pelaksanaan PPPM,pelbagai kejayaan di peringkat negara dan antarabangsa telah diraih guru dan murid.

“Transformasi menerusi rentak dan corak kerja yang dilakukan oleh guru dan sekolah sejak lima tahun lepas menunjukkan hasil positif dan memberangsangkan. Bagaimanapun usaha dan perancangan agresif di luar kotak perlu ditingkatkan untuk mencapai kejayaan dalam inisiatif yang belum menunjukkan hasil memberangsangkan seperti pendidikan Orang Asli dan pribumi,”katanya.

Tambahnya, inisiatif di bawah PPPM dirancang tersusun dan bersistematik selain pelaksanaan dibuat berdasarkan keutamaan khususnya yang memberi impak kepada keberhasilan murid. Semua inisiatif, program pendidikan, prosedur dan dasar diperkenalkan untuk menambah baik serta meningkatkan kualiti sistem selain penyampaian perkhidmatan pendidikan.

Besar harapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia agar PPPM dapat mengubah landskap pendidikan negara agar menjadi lebih dinamik untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani,emosi dan jasmani.

Oleh itu, melalui pelaporan telus yang menunjukkan kejayaan dan kelemahan pelaksanaan inisiatif,KPM membuka ruang dan peluang kepada pihak awam untuk turut bersama-sama menyumbang idea,dan memberi sokongan dan bantuan ke arah peningkatan kualiti sistem pendidikan negara.