Bukan Mudah Urus “Kilang” Bakal Atlet Negara


Usaha membangun dan memajukan bidang sukan sebenarnya bukan mudah. Ia merupakan proses kompleks,berterusan dan sangat dinamik, yang berkehendakkan segenap lapisan masyarakat memainkan peranan masing-masing.Tujuannya bagi memastikan matlamat Dasar Sukan Negara(DSN) serta sasaran yang ditetapkan bagi program pembangunan setiap jenis sukan di Malaysia dapat dicapai.

Program pembangunan dan kemajuan sukan perlu digembleng dan dilaksanakan dengan terancang, sangat sistematik dan efektif bermula di peringkat akar umbi dan sejak awal usia kanak-kanak. Hanya itulah sahaja caranya untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat ahli-ahli sukan yang berpotensi untuk dibentuk dan digilap sehingga menjadi yang terbaik. Dalam kalangan mereka inilah muncul menjadi atlet berkualiti dan berprestasi tinggi yang mampu bersaing serta melakar kejayaan di pentas antarabangsa, sekali gus meningkatkan mutu sukan negara.

Sejajar dengan keperluan itulah,diwujudkan Bahagian Sukan (BS),Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) bermula 1 Oktober 1995, untuk melaksanakan fungsi pembangunan,pengurusan dan pendidikan sukan yang melibatkan ‘Sukan Untuk Semua’ (Sports For All) dan ‘Sukan Untuk Kecemerlangan’ (Sports For Excellence) selaras dengan DSN.

Sejak tarikh itu, KPM telah melaksanakan beberapa rombakan atau penstrukturan semula bagi menambah baik kecekapan operasi dan sistem penyampaian perkhidmatan semua jabatan,bahagian dan unit di bawahnya,tidak terkecuali turut membabitkan BS.

Dua penstrukturan semula yang masing-masing menyaksikan pelaksanaan program pembangunan sukan sekolah diletakkan di bawah Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan (JPJS) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran pada September 2003, manakala pada Jun 2008, Unit Kokurikulum di Bahagian Sekolah diletakkan di bawah JPJS yang kemudian dijenamakan sebagai Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK).

Akhirnya dalam penyusunan semula pada 29 Julai 2010, BS kembali menjadi sebuah bahagian khusus seperti awal penubuhannya pada 1995 apabila BSSK dipecahkan kepada dua bahagian dan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (BKK)dijadikan bahagian berasingan.

Ini bertujuan membolehkan BKK menumpukan perhatian sebagai pemangkin kecemerlangan kokurikulum dan seni, manakala BS pula dikehendaki kembali memberi fokus kepada usaha memacu pembangunan dan kegemilangan sukan sekolah dan negara.

Lima peranan utama diamanahkan untuk dilaksanakan BS iaitu membudayakan sukan di sekolah; memantapkan pembangunan sumber manusia;memperkasakan sistem pentadbiran;meningkatkan penyelidikan untuk pembangunan sukan; dan membangunkan prasarana serta peralatan sukan sekolah.

Bagi mendapat gambaran jelas mengenai peranan BS KPM sebagai“kilang” membangunkan atlet dalam kalangan murid di peringkat akar umbi hingga berjaya menjadi ahli sukan berkualiti dan berprestasi tinggi untuk sukan negara,Majalah Pendidik mewawancara pengarahnya, Dr. Mehander Singh Nahar Singh di Putrajaya baru-baru ini.

Dr. Mehander adalah antara individu di belakang tabir yang memainkan peranan penting ke arah menghasilkan atlet berkualiti untuk Malaysia.

Boleh Dr. Mehander jelaskan tentang peranan Bahagian Sukan,KPM?

Di bawah Bahagian Sukan KPM terdapat tiga sektor utama iaitu Sektor Pembangunan Sukan, Sektor Perancangan dan Penyelarasan Sukan dan Sektor Pendidikan Sukan. Bahagian Sukan KPM bertangungjawab terhadap pembangunan sukan dalam sistem pendidikan daripada akar umbi sehingga ke peringkat kecemerlangan bagi atlet murid sekolah.

Fokus utama Bahagian Sukan KPM pula terbahagi kepada dua,iaitu Sukan untuk Kecemerlangan dan Sukan untuk Semua. Sukan untuk kecemerlangan termasuk Sukan Prestasi Tinggi. Ia bertujuan untuk meningkatkan prestasi atlet murid pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sementara sukan untuk semua pula turut dikenali sebagai ‘sukan massa’ di mana ia memelihara dan meningkatkan tahap kesihatan dan mengekalkan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Jadi, boleh Dr. terangkan dengan lebih lanjut mengenai kedua-dua fokus Bahagian Sukan KPM ini?

‘Sukan untuk Kecemerlangan’bermula dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat elit.Terbaharu, penglibatan atlet murid yang telah berada di peringkat elit dapat dilihat melalui jumlah penyertaan atlet dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia(MSSM) kali ke-60 (penggal 1) lalu.

Dalam kejohanan tersebut,seramai 7,126 atlet dari seluruh negara telah terlibat. Ada di antara atlet ini yang berada dalam kelompok elit pula akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Jika dilihat pada konsep‘Sukan untuk Kecemerlangan’,sememangnya pada awal penglibatan terdapat ramai murid yang terlibat, tetapi realiti pada akhirnya atlet yang cemerlang itu tidaklah begitu ramai.

Mudahnya begini, jika pada awal peringkat sekolah, kita mempunyai lima juta murid, maka yang berjaya untuk ke peringkat daerah tidak mungkin semua murid tersebut.Mereka yang berjaya hanya lebih kurang 800 ribu orang sahaja.Kemudian murid yang berjaya tadi akan ke peringkat negeri dan akhirnya yang layak ke peringkat MSSM (elit). Di sini jumlah atlet yang layak mungkin hanya tinggal antara 10 hingga 12 ribu atlet yang cemerlang sahaja. Maka, inilah tugas KPM untuk memberi perhatian dari peringkat bawah sehinggalah ke peringkat atas.

Aksi atlet murid dalam Kejohanan Badminton MSSM Milo Peringkat Kebangsaan di Port Dickson pada Mac lalu.

Johor bertindak selaku tuan rumah bagi Kejohanan Bola Keranjang MSSM-Milo(L & P) edisi tahun ini.

Peringkat asas menerapkan budaya bersukan sebagai teras cara hidup sihat perlu babitkan penyertaan massa.

Namun begitu, jika lihat pada ‘Sukan untuk Semua’ pula, KPM seboleh-bolehnya mahu semua murid terlibat aktif dalam sukan iaitu daripada mula persekolahan sehingga mereka meninggalkan bangku sekolah.Hasil ‘Sukan untuk Semua’akan dapat dicerminkan melalui pembudayaan sukan dan aktiviti fizikal seumur hidup dalam kalangan masyarakat.Manakala ‘Sukan untuk Kecemerlangan’akan berfokus kepada melahirkan atlet murid atau jaguh sukan kearah menaikkan imej negara melalui kecemerlangan dan kegemilangan dalam prestasi pencapaian sukan di pelbagai peringkat dunia. (Untuk lebih jelas,rujuk rajah).

Adakah Bahagian Sukan KPM mengalami kesukaran dalam mengenal pasti murid yang berbakat dalam sukan?

Sebenarnya, KPM tiada masalah untuk mengenal pasti bakat murid yang berpotensi dalam sukan diperingkat sekolah. Semua sekolah menjalankan aktiviti sukan dan sekarang ia disokong pula oleh Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di mana terdapat pemarkahan untuk sukan dan sebagainya.

Untuk makluman, secara asasnya PAJSK terbahagi kepada komponen SEGAK dan BMI, Kokurikulum(sukan/permainan, kelab/persatuan dan badan beruniform) dan Ekstra Kokurikulum.

Tetapi yang penting, kita tidak mahu murid aktif sukan kerana pemarkahan semata-mata. Kita mahu mereka aktif sukan kerana pembudayaan sukan dan ia menjadi sebahagian daripada jiwa murid serta sebahagian daripada pendidikan seumur hidup seperti saya tekankan awal tadi.

Pada hemat saya, sukan ini wujud kerana ia sebahagian daripada keseluruhan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kemenjadian atlet murid berpandu kepada FPK dengan memberi tumpuan kepada pembentukan Jasmani, Emosi,Rohani dan Intelek (JERI).

Perkembangan jasmani itu tidak akan berlaku dengan mempelajari mata pelajaran seperti Matematik dan Sejarah di dalam kelas.

Perkembangan jasmani berlaku dengan murid melibatkan diri dalam aktiviti fizikal atau sukan. Jadi,apabila murid terlibat dengan sukan,maka perkembangan aspek jasmani berlaku khususnya aspek psikomotor.Aspek psikomotor ini adalah berkait rapat dengan perkembangan dan pembangunan kemahiran dalam permainan.

Oleh itu, asas kepada semua ialah pendidikan jasmani di sekolah.Pendidikan jasmani di sekolah memberi ruang kepada murid untuk belajar kemahiran asas. Murid belajar kemahiran asas tetapi untuk mengasah kemahiran tersebut adalah melalui kokurikulum sekolah.

Dengan itu, di sekolah tidak sepatutnya berlaku situasi di mana tiada murid langsung berada dipadang atau dewan pada waktu pendidikan jasmani berjalan. Jika ia berlaku, ini mungkin bermaksud subjek pendidikan jasmani tidak dijalankan di sekolah terbabit pada hari berkenaan. Dan ini adalah sesuatu yang harus diselidiki permasalahannya.

Apakah penambahbaikan yang sedang dilakukan oleh Bahagian Sukan KPM bagi memastikan negara mempunyai atlet muda yang cemerlang?

Akar umbi sukan adalah sekolah.Jika sekolah aktif, maka kita dapat melahirkan atlet kebangsaan yang berkualiti. Kita mampu mempunyai atlet yang terbaik jika ia lahir daripada akar umbi yang telah disemai baik.

Bermula dengan mewakili sekolah, daerah dan seterusnya layak pula ke peringkat negeri. Jika dilihat dalam setiap peringkat tersebut,murid telah pun melalui proses tapisan di mana di puncaknya kita jangkakan akan mendapat atlet yang terbaik.

Sehubungan dengan itu, kini Bahagian Sukan KPM dalam usaha untuk memperkasakan lagi pusat pusat latihan daerah. Ini penting supaya pembangunan dari akar umbi dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya.

Prestasi yang memberangsangkan dipamer atlet-atlet acara olahraga pada Kejohanan Olahraga MSSM-Milo 2018 di Shah Alam, Selangor, April lepas.

Adakah Dasar 1 Murid 1 Sukan yang dijalankan membantu dalam pembangunan sukan KPM?

Ya, tentu sekali. Di bawah Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S), Bahagian Sukan mengutamakan lima teras utama di bawah Perancangan Strategik Bahagian Sukan 2015-2020 iaitu teras utama yang memberi tumpuan kepada pembudayaan sukan melalui enam aktiviti utama di setiap sekolah.

Kita juga telah keluarkan surat supaya pastikan setiap sekolah menjalankan enam aktiviti tersebut yang merangkumi Latihan dan Kejohanan Merentas Desa, Sukantara, Latihan dan Kejohanan Olahraga Sekolah,Latihan dan Pertandingan Antara Rumah Sukan, Latihan dan Persediaan Pasukan Sekolah dan Latihan dan Pertandingan Antara Kelas.

Kesinambungan kepada teras yang pertama adalah pembangunan sumber manusia yang memberi fokus kepada pembangunan profesionalisme berterusan dalam kalangan guru. Ia diikuti dengan teras ketiga, memperkasakan sistem pentadbiran sukan yang memberi fokus kepada sistem tadbir urus sukan di sekolah.

Teras ke empat pula menjurus kepada penyelidikan dan amalan sains sukan. Manakala teras kelima ialah mengutamakan pembangunan prasarana, kemudahan serta peralatan sukan untuk keperluan program sukan sekolah.

Apa yang penting adalah untuk memastikan murid sentiasa aktif dari segi fizikal. Untuk murid tersebut aktif dalam sukan,semua pihak seperti murid itu sendiri, kepimpinan sekolah,guru sekolah, PIBG, ibu bapa dan komuniti perlu memainkan peranan masing-masing.

Bagi mencapai kejayaan dalam sukan, adakah Bahagian Sukan KPM ada menjalin kerjasama dengan pihak atau organisasi-organisasi lain?

Ya, memang ada. Kejayaan sukan bergantung kepada pembangunan sukan secara holistik dengan kerjasama pelbagai pihak. Pelantar pembangunan sukan pada dasarnya adalah melalui sekolah dalam sistem pendidikan di Malaysia.Hampir setiap murid akan melalui sistem pendidikan kebangsaan yang merupakan catchment area bagi mengenal pasti bakat atlet murid.

Oleh itu, sistem pendidikan kebangsaan mampu untuk melahirkan atlet sukan dengan adanya jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan Kebangsaan dan Negeri (PSK), badan kerajaan dan bukan kerajaan yang turut memainkan peranan dalam pembangunan sukan.

Selain itu, kerjasama ini penting kerana sumber yang ada pada agensi luar boleh menampung sumber yang sedia ada di KPM. Umpamanya, atlet yang akan bertanding di luar negara memerlukan kos perbelanjaan yang agak besar. Oleh itu, agensi lain seperti MSN atau Persatuan Sukan Kebangsaan boleh membantu dalam menampung kos perbelanjaan untuk atlet bertanding membawa nama Malaysia.

Ada yang menyatakan bahawa Bahagian Sukan KPM menerima peruntukan yang besar, namun hasilnya dikatakan kurang besar.Apakah pendapat Dr. berkenaan hal ini?

Peruntukan yang diterima oleh Bahagian Sukan KPM untuk tahun 2018 tidaklah begitu besar. Ini kerana untuk menganjurkan sukan seperti kejohanan MSSM juga menelan belanja yang agak besar. Jadi, untuk kaitkan jumlah peruntukan yang diterima dengan jumlah atlet yang telah dilahirkan adalah tidak wajar.

Di Malaysia, sistem yang masih kekal selama 60 tahun (MSSM)sentiasa berlaku di semua peringkat iaitu sekolah, daerah dan negeri.Lihat kembali pada model ‘sukan untuk kecemerlangan’ seperti yang kita bincangkan tadi. Sukan itu bermula dengan ramai tetapi di puncaknya akan hanya lahir atlet yang cemerlang sahaja. Lihat sahajalah beratus-ratus orang bermain badminton, tetapi hanya ada seorang Dato’ Lee Chong Wei sahaja di Malaysia.

Dalam sukan, kita tidak boleh kata, jika kita latih lima juta orang dan di atas puncak akhirnya akan lahir lima juta atlet juga. Sekarang kita berbicara tentang model ‘sukan untuk kecemerlangan’. Sesiapa sahaja boleh terlibat dalam sukan,namun jika bercakap tentang kejayaan, kita perlu lihat pada model‘sukan untuk kecemerlangan’ bukan‘sukan untuk semua’.

Mengikut Tudor O. Bompa,pakar latihan sukan terkemukadi dunia dalam bukunya bertajuk Conditioning Young Athletes,beliau ada menyatakan tentang pembangunan setiap jenis sukan adalah berbeza dan ia dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat umur untuk memulakan latihan sukan, peringkat umur untuk memulakan pengkhususan(pemantapan) dan peringkat umur untuk capai prestasi tinggi.

Melalui kajian tersebut,kecemerlangan atlet akan jelas menyerlah pada umur di peringkat ketiga sama ada ketika mereka berumur awal 20-an dan ke atas. Ini juga bergantung pada jenis sukan yang mereka sertai.

Mungkin terdapat atlet yang menyerlah pada umur yang lebih awal tetapi ia tidaklah begitu ramai.Jika seorang atlet cemerlang terlalu awal, ia mungkin boleh menghadapi burnout. Jika terlalu keras latihan yang dilakukan, fizikal tidak boleh terima. Inilah yang pernah berlaku apabila atlet tersebut langsung tidak menyerlah dan terus gagal beraksi dalam sukan.

Berbicara mengenai Kejohanan Olahraga MSSM ke-60 yang berlangsung suku pertama tahun ini, boleh Dr. kongsikan sedikit mengenai pencapaian atlet atau rekod baharu yang telah dicapai?

Untuk makluman Kejohanan Olahraga MSSM kali ke-60 telah berlangsung pada 10 Mac 2018 hingga 27 April 2018. Kontinjen Johor dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Olahraga MSSM ke-60 yang melabuhkan tirai di Stadium Panasonic, Shah Alam, Selangor.

Johor meraih 17 pingat emas, 11 perak dan 9 gangsa, diikuti Sarawak yang menduduki tempat kedua dengan 14 emas, 12 perak dan 20 gangsa. Tempat ketiga Sabah dengan 12 emas, 12 perak dan 10 gangsa.

Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa memberikan tumpuan kepada aspek bukan akademik iaitu sukan dan kokurikulum. Pelbagai program sukan telah dilaksanakan disemua peringkat, khususnya untuk sukan olahraga.

Seramai 7,126 orang atlet murid dan 16 buah pasukan terlibat dalam kejohanan kali ini dan saya percaya mereka telah bertanding dengan penuh semangat kesukanan untuk mengejar impian dan mencapai kecemerlangan dalam acara-acara yang disertai.

Dua rekod kejohanan berjaya dipecahkan menerusi acara tumpuan,4 x 100 meter lelaki dan wanita bawah 15 tahun, melibatkan pasukan Johor dan Selangor dalam kejohanan MSSM kali ini.

Olahragawan MSSM 2018 pula telah dinobatkan kepada Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari pasukan negeri Perak dan Olahragawati, Grace Wong Xiu Mei dari pasukan negeri Sarawak.

Akhir sekali, apakah harapan Dr. terhadap sukan dalam sistem pendidikan di Malaysia?

Bagi saya, apa yang penting adalah untuk memastikan murid sentiasa aktif. Untuk murid tersebut aktif dalam sukan, semua pihak seperti murid itu sendiri, kepimpinan sekolah, guru sekolah, PIBG, ibu bapa dan komuniti perlu memainkan peranan masing-masing.

Itu adalah hasrat di peringkat akar umbi. Jika kita boleh memangkinkan perkara ini, perkara yang lain tidak akan menjadi masalah. Murid aktif diperingkat sekolah, sudah pastinya kita mempunyai banyak pilihan atlet untuk layak ke peringkat seterusnya.

Kini, kita mungkin perlu fikirkan tentang kerjaya masa depan. Apa jua pun pendidikan itu, akhirnya ia bersangkut paut dengan kerjaya. Murid yang aktif dan cemerlang sukan sesuai diberi keistimewaan kerana untuk menjadi seorang atlet yang cemerlang ia melibatkan satu jangka masa panjang (the long-term principle).