Sifat Mulia Sultan Ahmad Tajuddin kepada E. A. Blundell


Coretan Sultan Ahmad Tajuddin yang dirujuk ini merupakan balasan atas warkah yang dikirim oleh Edmund Augustus Blundell (E. A. Blundell) sebelumnya. Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) ialah Sultan Kedah ke-23 yang memerintah dari tahun 1854 sehingga 1879.Baginda menulis warkah ini sebagai tanda persahabatan dengan E. A. Blundell. Warkah bertulisan tangan dan bertulisan Jawi ini dikarang pada 28 Zulhijah 1272 (30 Ogos 1856).

Perkara utama warkah ini ialah penghargaan Sultan Ahmad atas pertolongan E. A. Blundell yang memberikan pendidikan bahasa Inggeris kepada adindanya, iaitu Tunku Yakub dan Tunku Yusuf.Sultan Ahmad ternyata berbesar hati dengan kesudian dan bantuan sahabatnya itu. Selain itu, warkah ini juga mengutarakan kesediaan baginda untuk menangkap seorang lanun dan menghantarkannya kepada E. A. Bundell seperti yang diminta. Pada zaman tersebut,kegiatan lanun yang mengganggu perdagangan dan perairan Melayu amat berleluasa sekali.

Warkah kepada E. A. Blundell ini sederhana panjang, ditulis dalam 10 baris, dan menggunakan bahasa Melayu klasik yang menjadi lingua franca di kepulauan Melayu pada masa tersebut.Keseluruhan kandungan warkah ini melambangkan keperibadian pengirimnya, iaitu Sultan Ahmad Tajuddin. Melalui bait-bait kata yang digambarkan secara tersurat dan tersirat dalam setiap komponen warkah ini tercermin hati budi raja Melayu.

Menerusi komponen alu-aluan warkah, tergambar sifat tulus ikhlas serta kasih sayang Sultan Ahmad yang diterjemahkan menerusi pembalasan dan pengiriman warkah kepada E. A. Blundell. Sifat tersebut hadir secara tersurat di sebalik kata-kata Sultan Ahmad, yang menyerlahkan lagi kemuliaan hati raja Melayu ini. Keperibadian “ikhlas” ini bersesuaian dengan maksud di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2015:563), iaitu hati suci, tidak menipu atau tidak berpura-pura, dan tidak mengharapkan balasan atas apa-apa yang telah dilakukan.

Keikhlasan dan ketulusan hati Sultan Ahmad yang berpanjangan ini dikukuhkan lagi dengan perlambangan selagi ada peredaran unsur alam iaitu cakerawala,matahari, dan bulan. Kenyataan ini jelas dikesan melalui petikan berikut:

“Surat tulus ikhlas kasih sayang yang tiada berputusan dan berkesudahan selagi ada peridaran cakrawala matahari dan bulan…”“…sangat setiawan dan dermawan dengan arif bijaksana gah masyhur kepujian sampai ke mana-mana pandai pada melakukan berkasih-kasihan dan bertolong-tolongan mengambil hati pada sekalian sahabat handai taulan karib dan baid.”

Ungkapan di atas pula menjelaskan salah satu keperibadian raja Melayu lama yang mewarnai warkah ini. Ungkapan ini menghuraikan sifat menyanjungi orang lain seperti yang diutarakan oleh Sultan Ahmad. Baginda memandang tinggi E. A. Blundell,Gabenor Negeri-negeri Selat pada masa itu dengan memuji-muji sikap setiakawan dan dermawan beliau yang masyhur hingga seluruh kepulauan Melayu.

Istilah “sanjungan” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat(2015: 1389) ialah penghormatan dan pujian kepada seseorang atas sesuatu pencapaian atau kebolehan yang dimilikinya. Jelasnya,sifat “sanjungan” seperti yang digambarkan dalam warkah ini merujuk kepada keperibadian Sultan Ahmad yang saling memberikan penghormatan serta pujian kepada orang lain.

Seterusnya, sifat “memaklumkan”hadir secara tersirat dalam kandungan warkah daripada Sultan Ahmad kepada E. A. Blundell ini.Sifat ini membuktikan bahawa raja Melayu lama sangat menghargai warkah yang diterima dan menunaikan tanggungjawab dengan memaklumkan penerimaannya.Pengertian kata “memaklumkan”dalam ungkapan warkah ini dicatatkan seperti berikut:

“…barang tahu sahabat beta bahawa akan surat sahabat beta beri mari yang tertulis kepada 11 haribulan August tahun 1856… sudahlah sampai, fahamlah beta segala yang tersebut di dalamnya itu.”

“Memaklumkan” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015: 983)ialah membuat maklum, menjadikan maklum, memberitahukan,mengkhabarkan, menyatakan atau mengisytiharkan. Pengertian ini bersesuaian dengan tindakan Sultan Ahmad yang memberitahu E. A. Blundell tentang warkah yang dikirimnya telah diterima dan baginda memahami apa yang disuratkan serta tindakan susulan akan dilakukan. Pengkhabaran Sultan Ahmad ini amat dipuji kerana baginda bertanggungjawab dan mengambil berat tentang hubungan politik antara kedua-dua pihak.

Transliterasi Warkah Sultan Ahmad Tajuddin kepada E. A. Blundell 28 Zulhuijah 1272 (30 Ogos 1856).

Keperibadian Sultan Ahmad yang seterusnya ialah “berterima kasih” dengan kebaikan mahupun pemberian, bantuan atau pertolongan orang lain. Sifat“berterima kasih” ini menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015:1669) ialah ucapan syukur kerana menerima sesuatu. Dalam warkah ini,rasa terima kasih dan syukur tidak diluahkan tetapi secara tersirat dapat dikesan melalui ungkapan berikut:

“Maka jadi bertambah2lah banyak pertolongan sahabat beta di atas beta, beri makan budak2 keempat orang itu mengaji bahasa Inggeris…”

Ungkapan ini menggambarkan rasa “berterima kasih” Sultan Ahmad kepada E. A. Blundell kerana sudi membantu mengajarkan ilmu bahasa Inggeris kepada adinda baginda.Ucapan penghargaan seperti ini telah sebati dalam hidup masyarakat Melayu dahulu dan merupakan budaya bangsa. Ringkasnya, biarpun penghormatan ini nampak kecil tetapi dianggap mulia dan penting dalam kehidupan masyarakat Melayu lama.

Manakala perkataan “siaga”menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015: 1484) ialah keadaan siap sedia ketika melakukan sesuatu. Kesiagaan boleh dilihat dari beberapa sudut, sama ada mental ataupun fizikal. Amalan sentiasa“siaga” juga tidak terkecuali dalam kehidupan bangsawan Melayu lama.Sikap ini sentiasa diutamakan untuk mengukuhkan ketahanan mental mahupun kekuatan jentera ketenteraan kerana pada bila-bila masa negara boleh diserang oleh pihak musuh.Dalam warkah ini misalnya, sikap“siaga” digambarkan seperti ungkapan yang berikut:

“Syahadan pasal perompak itu tiada bertentuan lagi di dalam beta duduk suruh siasat, apakala berjumpa beta suruh tangkap ambil dengan segeranya boleh beta hantarkan pada sahabat beta, ini beta nyatakan.”

Ungkapan di atas menjelaskan bahawa Sultan Ahmad bersedia dan“siaga” dengan arahan E. A. Blundell supaya menangkap seorang lanun yang bermaharajalela di perairan Kedah pada waktu itu. Sultan Ahmad menyuarakan kesediaannya untuk menangkap serta menghantar lanun tersebut kepada E. A.Blundell untuk diadili. Ringkasnya, sikap ini menggambarkan keperibadian raja Melayu lama yang sentiasa bersedia dan cepat bertindak kerana mereka merupakan tunggak pertahanan negara.

Sesungguhnya, orang Melayu menjunjung tinggi seseorang yang berpekerti mulia dan berbudi bahasa.Keperibadian ini ternyata terkandung dalam lima sifat Sultan Ahmad seperti yang dikesan menerusi warkah ini. Sifat mulia “tulus ikhlas”, “menyanjungi”,“memaklumkan”, “berterima kasih”,dan “siaga” ini ternyata mewakili keperibadian serta kebolehan Sultan Ahmad semasa mengurus hubungan dengan E. A. Blundell. Perkara ini secara tidak langsung menjadikan baginda masyhur sebagai salah seorang raja Melayu yang dihormati, dan Kedah menjadi salah sebuah negeri Melayu yang disegani pada zaman tersebut.