Rumah Merah Di Atas Bukit(Bahagian 1)


Masih kuingat ayat ini. “Rumah saya berwarna merah di atas bukit, tepi pekan Parit.” Aku pernah membacanya dalam sepucuk surat yang pernah dikirim oleh seorang pemuda kepadaku puluhan tahun yang lalu. Pada waktu itu aku merupakan seorang gadis yang berusia 16 tahun.

Aku terus menelusuri kenangan itu.Kisahnya begini…

Pada suatu ketika aku terpaksa tidur di bahagian luar atau kaki lima wad pesakit lelaki Hospital Kuala Kangsar kerana menjaga ayahku yang sakit. Apabila malam tiba, aku akan berbaring atau tidur di atas sebuah kerusi malas yang usang diluar pintu wad. Dari tempat itu aku dapat melihat dan segera pergi jika ayah memerlukan bantuan.Pada masa itu peraturan untuk pelawat amat longgar dan waris dibenarkan berada di sekitar wad pada bila-bila masa tanpa sekatan, tidak sebagaimana sekarang.

Pada suatu malam, aku terpaksa bangun meninggalkan kerusi malasku menuju ke pondok telefon yang letaknya beberapa langkah.Gagang telefon tergantung setelah ditinggalkan oleh sekumpulan budak lelaki yang bermain di situ. Ketika aku ingin meletakkan telefon itu ke gagangnya, aku terdengar suara orang menyebut, “Helo… helo…” dihujung talian. Aku lantas membalas kata-kata itu dan sejak detik itu rupa-rupanya aku telah berkenalan dengan seorang operator telefon.

Setelah beberapa minit berbual dengannya, aku memberikan alamat rumahku. Mulai waktu itu pertama kali dalam usia remajaku aku mempunyai seorang teman lelaki.Pada usia sebegitu aku sangat teruja mempunyai teman surat-menyurat.Kisah ini tidak pernah ku ceritakan kepada sesiapa pun. Walaupun di sekolah aku mempunyai ramai kawan, namun aku tidak pernah bercerita kepada mereka tentang temanku ini.

Di sekolah, aku dikenali sebagai seorang murid yang rajin, pandai,aktif bersukan, baik, dan pendiam.Aku juga tidak pernah masuk campur dengan cerita-cerita tentang Hamidi yang suka berkawan dengan Fatimah, Mazlan menulis surat cinta kepada Aishah, Suraya yang sering berjanji berjumpa Amin selepas kelas tambahan, dan pelbagai lagi gelagat kawan-kawanku. Walaubagaimanapun, sebagai seorang gadis sunti aku sangat gembira dengan terjalinnya persahabatan jarak jauh yang aku lalui pada waktu itu.

Aku sudah ada Azmi sebagai ‘pen pall’ dan aku berasa sangat bahagia. Persahabatan kami hanya melalui surat. Maklumlah pada era itu komunikasi melalui telefon sangat terhad dan terbatas.

Ayahku ialah idolaku. Aku sangat sayang, hormat, dan takut kepadanya. Pada pandangan ayah,aku ialah anaknya yang paling baik dan pandai dalam kalangan adik-beradikku.Aku berjanji kepada diriku bahawa aku akan menjadi anak yang terbaik.

Tanggapanku, berkawan dengan orang lelaki adalah tidak baik. Oleh itu aku akan memastikan setiap tindakan dan perangaiku tidak akan mengakibatkan ayah marah dan beranggapan negatif terhadapku.

Namun, sebagai seorang remaja keinginan berkawan dan berkenalan dengan seorang yang berlainan gender tetap mekar dalam minda dan emosiku. Aku sering berutus surat dengan Azmi. Kami bersilih ganti berbalas-balas surat setiap minggu. Aku di kampung, manakala Azmi mengirim suratnya dari Ipoh.

Aku tidak mahu perhubunganku dengan Azmi diketahui ayah. Jadi,aku mula berjanji dengan posmen di pekan kecil itu supaya tidak menghantar surat ke rumahku.Posmen yang bernama Badaruddin,berumur dalam lingkungan dua puluhan seolah-olah mengerti akan gejolak jiwa seorang remaja seperti aku. Permintaanku dipersetujuinya.

Aku sudah boleh mengagak bahawa pada pagi Sabtu aku akan menerima surat daripada Azmi. Pada hari tersebut, aku berjalan ke kedai Wan Long membeli biskut dan roti.Kebiasaannya Badaruddin akan tiba dan menyampaikan surat Azmi kepadaku. Manakala di tanganku tersedia sepucuk surat yang sudah siap ditulis dengan lengkap bersetem yang  kualamatkan kepada Azmi.Surat itu merupakan jawapan kepada pertanyaan dalam suratnya yang sebelum itu.

Setelah Badaruddin berlalu, aku akan duduk sebentar di pangkin bawah pokok manggis yang terletak tidak jauh dari kedai Wan Long. Aku membaca surat itu dan kemudian kucarik-carik halus dan ku buang ke dalam semak kerana aku benar-benar ingin merahsiakan hal itu daripada orang lain, terutama ayah.

Perhubungan surat-menyurat antara aku dan Azmi berlangsung dengan mesra sekali. Aku sering bercerita tentang aktivitiku disekolah termasuk hari penyampaian hadiah, pertandingan bola jaring,kelas tambahan, dan cerita tentang diriku yang suka menyanyi. Aku pernah dijemput menyanyi oleh guru dan kawan-kawan ketika jamuan akhir tahun di sekolahku.

Azmi pula gemar menceritakan kisah kawan-kawan di rumah sewanya. Suratku dan surat daripada Azmi penuh berisi info yang menarik. Aku sangat bahagia dengan perhubungan sebegini.

Pada suatu hari aku menerima surat Azmi seperti biasa, tetapi ayat-ayat dalam surat itu agak berlainan sedikit. Pada akhir surat itu Azmi meminta aku mengirimkan gambarku kepadanya. Bersesuaian dengan sifatku, aku mula berasa malu dan seboleh-bolehnya aku tidak mahu mempamerkan wajahku.Mungkin ini disebabkan tanggapan tentang rupa parasku yang tidak cantik.

Sebenarnya tanggapan ini telah terpahat dalam mindaku sejak aku kecil apabila aku terdengar perbualan antara ayahku dan kawannya yang menyatakan aku tidak secantik kedua-dua orang kakakku. Sungguhpun pada masa itu aku masih kanak-kanak, namun aku memahami apa yang aku dengar itu dan terpahat dalam hati.

“Aku tidak cantik. Kakak-kakakku cantik-cantik belaka.” Aku sungguh terkesan dengan kata-kata ini dan sering bermain-main dalam mindaku. Kenyataan ini jugalah yang menjadikan aku rasa rendah diri, selalu memencilkan diri, dan cuba menggembirakan diri dengan cara aku sendiri.

Huh… melayang ingatanku kala menatap surat kiriman Azmi ini. “Aku tidak cantik, mahukah Azmi terus berkawan dengan aku kiranya dia tahu?”, bisik hatiku. Aku lipat elok-elok surat Azmi itu dan… akan aku ceritakan kisah-kisah yang masih kuingat tika bersua nanti.

(Bersambung bulan hadapan)