Cerpen:Sekotak Tisu Hadiah Hari Guru


Lorong kecil di belakang sekolah menjadi laluan utama untuk pulang ke rumah. Tidak kira berpanas atau hujan,Dalila murid Tahun Enam Akasia tetap menjadikan lorong itu sebagai laluan untuk ulang-alik ke sekolah setiap hari dengan semangat yang menggunung. Memang, inilah satu-satunya murid yang memiliki semangat yang luar biasa dalam mencari ilmu pengetahuan biarpun telah menjadi yatim piatu sejak umur 7 tahun lagi. Pak Cik Ikhwan dan isteriya Rohidah kemalangan jalan raya di Pekan Gerik meninggalkan Dalila yang kisah gembiranya diragut sengsara berpanjangan.

Di rumah usang dan kecil yang terletak di kaki bukit, tinggal Dalila bersama Mak Wan Sakinah yang tua dan rabun. Memang agak tercorok dan terpinggir jauh dari jiran tetangga tetapi Dalila dan neneknya tidak hiraukan itu semua.Baginya, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung biarpun keindahan warna pagi tak bisa mengurangi sepi dek rasa nyeri setajam duri. Masih menancap sedih di hati.

“Mak Wan, Dalila dah balik!”

“Ada kelas tambahan ke petang nanti?”Mak Wan Sakinah memandang sambil membelek-belek buah pinang yang dijemur.Wajah cucunya dipandang membangunkan rindu yang resah dalam kalbu.

Selamat Hari Guru, Cikgu Zuraini. Maafkan Dalila kerana tidak sempat membeli hadiah yang istimewa kepada cikgu yang paling saya sayang memandangkan hadiah‘istimewa’ yang Allah berikan kepada saya kini turut pergi menemui Pencipta.

“Ada nek. Petang ni ada kelas tambahan pula. Lusa kat sekolah ada sambutan Hari Guru.” Dalila meluah rasa sambil cuba membayangkan kemeriahan guru-guru menyanyi diperhimpunan pagi dengan penuh semangat biarpun bagi dirinya setiap hari darah sedih enggan berhenti manakala malam hari sentiasa berselimut sepi.

“Nak bagi apa hadiah dekat guru kelas, Cikgu Zuraini?” Mak Wan Sakinah mengorek lamunan cucunya.Mungkin Dalila ingin memperkatakan tentang hadiah.

“La nak bagi sangat hadiah kat Cikgu Zuraini. Dia baik dan sentiasa ambil berat. Menjadi pakar rujuk dan tempat berkongsi masalah.” Dalila meluah rasa bersama hujan hati yang selalu bercerita lewat nada rintiknya.

Terbayangkan Cikgu Zuraini tempatnya menggantung harapan dan cita-cita sejak arwah makdan ayah pergi. Cikgu itu seperti bait syair rindunya.Berharap kelak tetap jatuh menitis di hati. Jadilah orang yang bahagia dan membahagiakan.

Mak Wan Sakinah tersenyum lagi. Cucunya itu seorang yang petah. Beruntung dia mendapat cucu sedemikian. Teringat kembali Mak Wan Sakinah pada arwah suaminya. Jika dulu Tok Wan Marzani yang menghantar Dalila ke sekolah berjalan kaki. Waktu itu Dalila baru berumur tujuh tahun. Dia takut untuk ke sekolah berjalan kaki.Mak Wan Sakinah takut cucunya itu dikacau dan diganggu emosinya dengan petir hinaan oleh murid nakal di sekolah terutama Rohayati dan Juliana. Anak orang kaya itu sering mengata dan mengutuk Dalila yang tidak memiliki ibu dan ayah.

Selepas Tok Wan Marzani meninggal Dalila terpaksa pergi kesekolah seorang diri. Sekali-sekali ditemani kawan baiknya iaitu Arsyi.Berjalan kaki meredah lorong dibelakang sekolah. Mengusung kata yang tidak pernah terungkap.

“Abang! Cucu kita dah besar bang! Tahun ni nak ambil UPSR.Dalam peperiksaan pun tetap nombor satu. Kejayaan juga adalah hasil semangat dan perhatian yang sering dipupuk oleh Cikgu Zuraini.Bahkan cucu kita makin berjaya dalam pelajaran. Cuma kasih sayang...” Hati Mak Wan Sakinah bersuara bagaikan laut yang tidak bertepi. Tiada hari tanpa berakhir senja. Mak Wan Sakinah tidak dapat meneruskan kata-kata.

“Kinah dah sedaya upaya membahagiakan dia,bang. Kinah akan belikan basikal baharu untuk dia. Dah lama dia minta basikal.Alhamdulillah bila rezeki bertambah sikit hasil jualan buah pinang dan sayur, Kinah akan belikan basikal yang cantik untuk cucu kesayangan kita. Kalau abang ada pasti abang gembira lihat Dalila naik basikal.”Luah Mak Wan Sakinah suatu pagi bersama hati yang telah lama terjerat pada sosok terang dalam kegelapan.

Air matanya tumpah seperti biasa. Bahkan bertahun yang lalu airmata itu menjadi peneman setia hidupnya. Dia telah sedaya upaya tidak menunjukkan sedih di depan Dalila. Takut cucunya itu turut bersedih. Biarlah dia sendiri yang simpan segala duka itu. Hanya dia yang mengerti bagaimana rasanya kehilangan suami, anak dan menantu yang dicintai. Baginya,hanya ilmu penentu segala. Ilmu penyuluh hidup. Dalila mesti menamatkan alam persekolahan seperti biasa seterusnya menerangkan sinar redup hidupnya.

Di sekolah, Dalila menjalani kehidupan sebagai murid seperti biasa. Biarlah perjalanan hidupnya sentiasa tidak menghadirkan pelangi yang indah.Tidak sebagaimana murid yang lain.Namun di sebalik kesedihan itu dia tetap dihadirkan dengan Cikgu Zuraini mengusir hati yang bernada pedih, yang melarat. 

“La, kenapa diam sahaja.Hiaslah bilik ini dengan cantik.” Cikgu Zuraini cuba mengejutkan lamunan Dalila yang tidak pernah bertepi. Dia faham benar, sejak menjadi yatim piatu Dalila lebih banyak bermain perasaan. Meluah kata di dasar hati sahaja. Hendak berbisik namun tidak ingin terusik.

“Cantik cikgu. Pandai cikgu hias kelas kita dengan warna-warna pelangi. Mesti pelangi boleh mengusirkan kesedihan di hati sesiapa sahaja yang melihatnya.”Luah Dalila sambil memandang ke luar kelas bersama rintik-rintik hujan.

“Tahu tak pelangi hadir selepas hujan?” Cikgu Zuraini masih lagi memujuk sambil melihat ke arah murid-murid lain yang asyik menghias dinding kelas sempena Hari Guru yang bakal menjelang.

“Kalau tidak ada hujan maka tidak akan hadirnya pelangi. Begitu juga dalam hidup kita. Kalau tidak ada masalah, tidak akan hadirnya kegembiraan. Hidup ini tinggal sisa dan saki baki yang kita tidak tahu bila ia akan berakhir. Oleh itu jadilah kita orang yang paling bahagia dan membahagiakan. Orang yang ceria dan menceriakan. Macam warna pelangi di hadapan kita ini.” Cikgu Zuraini bermadah pujangga kali ini.Dalam masa yang sama niatnya hanya satu, untuk membahagiakan hati murid-murid terutama Dalila yang sentiasa sedih dan galau dalam kenangan silam.

Kata-kata itu sekali lagi menyuntik semangat di dada Dalila.Memang, Cikgu Zuraini guru terbaik di dunia. Guru yang paling dekat di hatinya. Mampu memercikkan kolam tasik hatinya yang sudah lama kering dan kontang. Hadirnya Cikgu Zuraini seiring kesedihan yang sarat menggunung yang ditanggung Dalila.

“Tok Wan, bila nak belikan basikal untuk Dalila?” Dalila bertanya satu malam.Terbayang muka Cikgu Zuraini. Bahkan diapernah menceritakan bahawa neneknya akan membeli basikal sempena kejayaan dalam peperiksaan awal tahun.Tidak sabar untuk membawa basikal ke sekolah. Menunjukkan basikal baharu sempena Hari Guru.

“Insya Allah, Mak Wan janji esok basikal sampai. Tapi macam mana dengan hadiah untuk Cikgu Zuraini?” Luah Mak Wan Sakinah diiringi batuk kecil.

“Lepas nenek beli basikal,barulah La semangat sikit untuk membeli hadiah untuk Cikgu Zuraini.Nenek bagi hadiah kat La, La pula bagi hadiah dekat Cikgu Zuraini.Kami nak kongsi kegembiraan ini.”

“Wah, nak rahsia ya. Mesti nak kumpul duit kan? Mesti hadiah paling istimewa.”

“Hari Guru disambut setahun sekali. Sebagai murid kita kena hargai pengorbanan guru.Tentang hadiah, tidak kisah. Tapi La sentiasa mahu buat Cikgu Zuraini ceria sentiasa. Tidak sedih dan berendam air mata seperti La.”

“Mak Wan, faham.” Mak Wan Sakinah terus memeluk cucunya dengan linangan air mata. Faham dan faham benar tentang perasaan hati yang paling dalam anak yatim piatu itu. “Belilah cu apa sahaja untuk hadiah kepada gurumu nanti.Hadirkan senyuman untuk dia sepanjang masa.”

Keesokan harinya, Mak Wan Sakinah terus mencari buah pinang yang gugur di kebun. Satu persatu dimasukkan ke dalam plastik.

Hari ini juga dia harus pulang awal. Basikal yang ditempah dengan Pak Cik Rashidi akan tiba hari ini. Tak sabar dia nak melihat reaksi Dalila melihat basikal baharu itu. Pasti Dalila tak sabar-sabar untuk pulang dari sekolah. Lebih-lebih lagi esok Hari Guru. Pasti kegembiraan itu akan dikongsi bersama Cikgu Zuraini.

Mak Wan Sakinah terus membawa plastik yang berisi buah pinang. Terketar-ketar cuba gagahkan kudrat tua.Tanah dikebun sayur begitu licin sekali.Perlahan-lahan dia menyusuri batas-batas sayur di tepi dan kanan laluannya. 

Sedang Mak Wan Sakinah berjalan-jalan menyusuri denai itu tiba-tiba dia merasakan satu benda mengenai kakinya. Sakit bukan kepalang dan dia rasa ingin pitam.

“Ya Allah! Ular tedung!” Mak Wan Sakinah terus bertempik. Plastik berisi buah pinang jatuh ke tanah.Buah pinang bertaburan.

“Tolong! Tolong!” Mak Wan cuba meminta tolong sambil terbaring.Berulang kali memanggil, namun kudrat tua itu semakin lama semakin lemah.

### #########

“Mak Wan!” Sepuas hati Dalila berteriak. Memanggil neneknya dan terus berlari. Di saat stokin masih melekat di kaki Dalila berlari ke arah orang ramai. Dia terus berteriak memanggil neneknya lalu masuk ke dalam rumah yang sudah dikerumuni orang ramai sejak mendapat perkhabaran Mak Wan Sakinah meninggal dipatuk ular.

“Mak Wan,jangan tinggalkan Dalila!” Dalila terus berteriak sepuas hati. Terus menggoncangkan sekujur tubuh neneknya yang telah pun menjadi arwah.Dia terus mencium neneknya berulang kali. Baju sekolahnya basah kerana airmata. Bahunya pula terhinjut-hinjut dek esak tangis.

“Nenek! Sampai hati nenek tinggalkan La.”Tubuhnya terus dilanda badai sehingga jiwanya gersang dan beku.

Cikgu Zuraini terus memujuk Dalila berulang kali.Manik jernih di kelopak mata cuba ditahan. Dia cuba membayangkan nasib Dalila selepas ini. Hidupnya sentiasa berjuram berduri onak. Bukannya hati ini tidak sakit dan bukannya hati ini tidak hancur, bukan pula hati ini tak perih namun hanya kepasrahan yang mengiringi.

Dalam esak tangis itu sempat lagi Dalila memandang ke arah luar. Pak Cik Rashidi keluar dari van lalu mengeluarkan sebuah basikal.Terpinga-pinga juga melihat ada kematian di rumah tersebut.

“Mak Wan, La tidak mahu basikal. La nak Mak Wan!” Dalila meraung kuat menumpahkan semua lahar kesedihan yang bersarang.Terasa terhiris saat hati tersakiti.Cikgu Zuraini tidak mampu lagi untuk menahan air matanya.Jika di sekolah tadi Dalila berulang kali meluahkan bahawa diasayangkan neneknya yang akan membelikan basikal untuknya, tapi kini keadaan dah berubah. Dalila tak gembira lagi. Basikal baharu itu sudah tidak bermakna lagi buatnya.Neneknya adalah segalanya bagi Dalila. Tapi kini nenek telah pergi.Dia sebatang kara kini. Menjadi anak yatim piatu di saat umurnya terlalu muda. Terlalu cepatnya nenek pergi. Telah jelas sudah semuanya kini.

Dari jauh airmata Arsyi kawan baik Dalila pun turut mengalir. Dia betul-betul terkejut. Itulah pertama kali dia melihat Dalila menangis.Dia tidak berupaya membantu.Kita tidak tahu bila tiba masa kita mengadap Allah. Orang yang kita sayang pasti kita akan tinggalkan.Perpisahan itu adalah dengan sebuah kematian. Moga bertemu disyurga.

Cikgu Zuraini turut diburu rasa resah yang panjang. Hari Guru bakal disambut esok. Hari yang sepatutnya diraikan bersama guru lain. Namun bila memikirkan Dalila resahnya sampai ke pagi.Mungkinkah Dalila tidak hadir kesekolah esok? Apakah kelas yang dihiasi dengan jalur-jalur pelangi itu tidak akan menjadi tempat swafoto Cikgu Zuraini bersama murid Enam Akasia itu. Biarlah Dalila memujuk hati di rumah. Biarlah Cikgu Zuraini menyambut Hari Guru tanpa ucapan daripada murid yang paling bermakna dalam hidupnya.Perjalanan hidup Dalila seolah-olah turut melukiskan warna takdir.Berteman baik dengan kesepian.

“Cikgu, hadiah hari guru. Selamat Hari Guru.” Dalila muncul juga keesokan hari.

“Oh, terima kasih Dalila.” Ucap Cikgu Zuraini sambil memeluk anak muridnya. Tidak disangka Dalila muncul juga ke sekolah hari ini. Cikgu Zuraini menepis air mata berkali-kali sambil memegang kotak hadiah. Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Gembira atau dukakah yang muncul di benak fikirannya hari ini.

Arsyi di sebelah hanya tersenyum. Cikgu Zuraini masih lagi cuba memujuk Dalila. Biarlah wajah Dalila keruh dan suram menghancurkan beribu harapan namun tetap bersuara dan mendatangkan seuntai senyuman manis.

“Apa hadiah kat dalam ni?Basikal kah?” Cikgu Zuraini cuba berjenaka dengan niat menghiburkan muridnya yang masih bersedih dan perasaannya bergelora kuat.

“Cikgu buka hadiah ini kat rumah.” Dalia terus berlalu dari situ sebaik hadiah diberi sebelum sempat cikgunya mengatakan apa-apa.

Cikgu Zuraini hanya tersenyum sambil memandang ke arah kotak hadiah. Ringan sahaja. Lalu memandang ke arah garaj basikal.Memang hari ini Dalila datang ke sekolah berjalan kaki seperti biasa.

Malam itu Cikgu Zuraini membuka hadiah pemberian Dalila.Ada tertulis nota.

“Selamat Hari Guru, Cikgu Zuraini. Maafkan Dalila kerana tidak sempat membeli hadiah yang istimewa kepada cikgu yang paling saya sayang memandangkan hadiah ‘istimewa’ yang Allah berikan kepada saya kini turut pergi menemui Pencipta. Hanya kotak tisu yang diberikan oleh orang kampung ketika hari kematian nenek yang mampu saya berikan kepada cikgu.Memang, langsung tidak berharga pada pandangan murid lain tetapi inilah hadiah Hari Guru yang paling istimewa bagi saya. Saya ingin menjadi satu-satunya murid yang mampu mengusir semua kesedihan dalam hidup cikgu sebagai mana cikgu bertahun-tahun cuba mengusir kesedihan dalam hidup saya. Jika cikgu menangis atau bersedih apabila ditimpa sesuatu perkara, maka ambillah tisu ini untuk menghilangkan air mata.Jadikanlah tisu ini kawan ketika kesedihan. Tisu mampu menepis dan mengeringkan air mata tapi tidak mampu mengusirkan dan mengeringkan tangisan yang tidak bersuara sejak hati ini tersengat seksa menahan sengsara sejak sekian lama. Selamat Hari Guru buat Cikgu Zuraini tersayang.”

Sebaik sahaja membaca nota bertulis tangan itu, serentak dengan itu juga air mata Cikgu Zuraini mengalir laju bahkan diakini teresak-esak. Tangannya terus mencapai tisu pemberian Dalila lalu dilap, disapu, diusir air mata yang laju menuruni pipi.

“Selamat Hari Guru buatmu juga,muridku. Kini kau meninggalkan luka dalam hati. Yang selalu memaksa air mata menjadi saksi.Inilah Hari Guru yang paling bermakna dalam hidup dan paling akan cikgu ingat sampai bila-bila.Selagi pelangi terus memancarkan warnanya engkau selalu ada dan tersemat kukuh di kelopak hati dan sesekali tidak akan mati.”