Antara Libasan Dan Pesanan Ayah


Melewati taman permainan di tepi tasik dan memerhati anak-anak remaja bermain skateboard, hatiku terusik.Ternyata zaman telah mengubah segenap kehidupan masa kini. Tiada lagi permainan guli bulatan, kotak rokok, buluh peda mahupun bola preda yang pernah aku mainkan ketika usia remajaku.

Ketika bersendirian itu juga, aku terfikir betapa pentingnya hubungan kekeluargaan dalam kehidupan ini.Terimbau kenangan bersama-sama adik-beradikku yang terdiri daripada sembilan orang itu. Wajah abang-abang, kakak-kakak, dan adik-adikku bersilih ganti terbayang di mataku. Begitu juga wajah ayah dan ibu sentiasa bermain-main dimindaku. Aku amat merindui ayah,ibu, dan juga adik-beradikku.

Pelbagai peristiwa suka dan duka kualami semasa membesar dengan mereka. Masih kuingat…satu peristiwa yang ku lalui dengan Wok, adik lelakiku. Aku dan Wok sepasang adik-beradik yang sangat rapat dan sentiasa merayau-rayau merata kampung dan bermain dengan kawan-kawan yang lain.Pada waktu itu aku berusia sepuluh tahun manakala Wok, baru berumur lapan tahun.

Walaupun masih kanak-kanak,Wok mempunyai kemahiran yang aku anggap hebat dan istimewa.Dia pandai membuat sangkar burung, lastik, dan menjerat burung.Walaupun aku tidak mempunyai kemahiran seperti Wok, namun aku sangat pandai bermain guli,getah bulat, dan kotak. Tetapi Wok langsung tidak mahir bermain guli seperti aku. Kelemahan Wok dalam permainan ini pernah terbukti apabila semua guli yang dibawanya habis kerana kalah dalam permainan itu.

Kehebatan Wok terserlah apabila dia berjaya menangkap beberapa ekor burung serindit. Kadang-kadang dia memperoleh wang apabila burung tangkapannya dibeli orang.Aku juga sering memperoleh wang kerana ramai kawan membeli guli daripadaku. Aku selalu menang dalam permainan guli dan berjaya mengumpul banyak guli. Aku menyimpan guli-guliku dalam beberapa buah tong.

Kepandaian aku dalam permainan guli dan kehebatan Wok dalam penangkapan burung hanya kami yang mengetahuinya,tidak kepada ayah dan ibu. Hal ini demikian disebabkan kesibukan mereka mencari rezeki sehingga kami tidak mempunyai kesempatan bercerita dengan mereka. Tambahan pula, pada masa itu keakraban antara ibu ayah dengan anak-anak agak jauh, tidak sama dengan keluarga pada masa kini. Pada waktu itu cerita tentang hobi anak-anak tidak pernah dibincangkan oleh ibu bapa.

Kepayahan dan kesibukan ayah seringkali kuperhatikan, terutama apabila tiba waktu petang ayah pulang dengan wajah suram dan keletihan. Keringatnya lenjun membasahi pakaian setelah sehari suntuk membanting tulang mencari rezeki di ladang. Begitu juga ibu. Dia sibuk menyelenggara hal anak-anak yang ramai.

Imbauan kenangan satu peristiwa yang ku alami bersama-sama Wok pada satu waktu dulu muncul pada saat ini. Pada suatu petang aku ingin melihat guli-guli yang telah kusimpan dalam tiga buah tong. Aku mencari tong-tong tersebut. Aku sangat kecewa apabila mendapati dua buah tong telah kosong dan hanya tinggal guli yang sedikit dalam satu tong lagi. Aku tahu, ini perbuatan Wok yang kalah dalam permainan guli. Aku berasa sangat marah lalu mencari Wok.

Aku perlu mendapatkan guli-guli itu untuk bermain pada petang nanti.Dengan kepayahan dan luka-luka ditangan dan kakiku akibat tercangkuk duri pokok-pokok nanas,aku berjaya menemui beberapa biji guli.

“Wokkkkk!!! Pekikku seperti orang gila. Apabila Wok muncul,aku menempeleng mukanya sekuat hatiku. Wok terjatuh lalu bangun dan menendang dadaku. Aku menjerit kesakitan. Kami terus bertumbukan,berlawan, dan bertolak-tolakan sambil menjerit-jerit.

Tiba-tiba ayah muncul dengan rotan di tangannya. Ayah terus merotan belakang Wok dan aku juga dirotannya sekali. Dalam keadaan muka yang garang itu ayah berkata, “Ngapa kamu adik-beradik bergaduh? Ayah dah pesan,adik-beradik jangan bergaduh!”Piapp!!! Piapp!!! Masih terngiang-ngiang bunyi rotan yang membedal belakangku.

Tiba-tiba aku lihat ayah mengambil tong yang berisi guli itu lalu membukanya dan membaling tong itu ke belakang rumah.Aku nampak guli-guli yang ada bertaburan jatuh ke dalam perdu pokok-pokok nanas di belakang rumahku. Kemudian ayah terus berlalu. Aku dan Wok terus menangis menahan sakit hati dan kesakitan badan akibat dirotan.

Pada malam itu aku dan Wok tidur dalam keadaan kesakitan dan sebelum melelapkan mata aku teringat bahawa petang esok aku akan bermain guli dengan budak-budak kampung seberang.

Keesokan paginya, keadaan rumahku sunyi sahaja dan aku dapat mengagak bahawa ayah dan ibu sudah pergi ke ladang.Setelah menjamah pisang rebus dan secawan kopi, aku terus ke belakang rumah dan mengirai-ngirai semak dan pokok-pokok nanas untuk mencari guli-guli yang dicampakkan ayah semalam.

Aku perlu mendapatkan guli-guli itu untuk bermain pada petang nanti.Dengan kepayahan dan luka-luka di tangan dan kakiku akibat tercangkuk duri pokok-pokok nanas,aku berjaya menemui beberapa biji guli.

Tidak lama kemudian, aku lihat Wok juga muncul di situ mencari-cari sesuatu. Dia diam. Aku juga diam. Aku melihat Wok sudah menjumpai beberapa biji guli dengan tangannya yang berdarah-darah akibat tertusuk duri pokok-pokok nanas. Wok memberikan guli yang dikumpulkannya kepada aku lalu aku mengambilnya.

Kami terus mencari guli di dalam semak itu. Walau bagaimanapun,hatiku berkata-kata bahawa aku tidak seharusnya menempeleng adikku hanya disebabkan beberapa biji guli. Aku juga masih teringat pesanan ayah semalam bahawa kami adik-beradik tidak harus bergaduh. Aku juga dapat mengagak bahawa Wok juga sedang berfikir tentang nasihat ayah semalam.

Selepas peristiwa itu, aku menjadi seorang anak yang sangat peka akan hubungan baik dan akrab dalam keluarga. Aku amat bersyukur kerana mempunyai seorang ayah yang berjaya mendidikku walaupun dengan selibasan rotan dan menyebutkan dua fasa iaitu, “Ngapa kamu adik-beradik bergaduh? Ayah dah pesan, adik beradik jangan bergaduh!” Itulah pesanan keramat ayah yang akan aku ingat hingga akhir hayatku.