Komunikasi Lisan Rasmi Gunakanlah Kata Ganti Nama Diri Yang Betul!


Dalam konteks lisan rasmi, kata ganti nama diri yang dipilih ketika berkomunikasi perlulah sesuai, mematuhi etika dan mempunyai nilai kesantunan yang tinggi. Kata ganti ini perlu digunakan dengan betul dan tepat, terutama terhadap seseorang yang bergelar dan berpangkat.

Hal ini bermakna dalam suasana perbualan yang bersifat formal, pihak yang menjadi teman bicara atau sasaran komunikasi sepatutnya disapa berdasarkan taraf sosial dan hubungannya dengan orang yang bertutur.

Hakikatnya, pada hari ini,khususnya dalam suasana rasmi, terdapat kecenderungan dalam kalangan segelintir penutur untuk menggunakan kata nama ganti diri yang salah. Pada pandangan mereka amalan ini tidak pelik kerana penggunaan kata tersebut kononnya sudah menggambarkan sikap yang sangat mesra dan santun!

Kata Ganti Nama Diri

Yang berikut ialah jenis kata ganti nama diri, bentuk,dan contoh kata ganti nama diri yang digunakan dalam komunikasi lisan rasmi.

Kesalahan Penggunaan Kata Ganti Nama Diri dalam Situasi Lisan Rasmi

Dengan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, pengguna didapati kurang arif tentang kata ganti nama dalam bahasa Melayu,makna sesetengah kata ganti nama, dan pola penggunaannya,khususnya dalam suasana formal dan tidak formal. Implikasinya,terdapat penggunaan kata ganti nama yang jelas kurang santun dan tidak disesuaikan mengikut situasi dan konteks! Penyalahgunaan kata ganti nama diri ini dapat dibuktikan menerusi pelbagai situasi seperti yang berikut:

A) Situasi guru dengan murid

Penerangan

Penggunaan kata ganti nama diri aku, awak, dan engkau dalam kedua-dua situasi di atas lazimnya dituturkan oleh murid bukan Melayu.Hal ini berlaku kerana mereka berasa keliru dan sukar untuk membezakan maksud dan penggunaan kedua-dua kata ganti nama tersebut.Mereka mungkin berpendapat bahawa kata ganti nama tersebut boleh digunakan kepada sesiapa sahaja tanpa mengambil kira faktor seperti usia, pangkat, kedudukan,dan situasi. Akibatnya, murid yang menuturkan kata ganti nama tersebut dianggap kurang sopan kerana telah meng“aku”kan atau meng“engkau”kan gurunya.

B) Situasi pensyarah dengan pelajar

Penerangan

Penyalahgunaan kata ganti diri dalam kedua-dua situasi di atas tidak sewajarnya berlaku. Hubungan yang erat dan mesra antara pelajar dengan pensyarah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membenarkan pelanggaran peraturan penggunaan kata ganti nama seperti yang telah ditetapkan.Kata ganti nama diri kedua, iaitu mama, bonda, atau ayahanda tidak akan diucapkan oleh pelajar jika pensyarah sendiri tidak membahasakan dirinya atau meminta pelajar berkenaan memanggilnya dengan panggilan demikian! Walaupun pensyarah berkenaan menjadi tutor atau mentor kepada pelajarnya, hal ini tidak bermakna beliau perlu menghalalkan cara dengan meminta pelajar menyapanya dengan kata ganti nama tersebut.Pensyarah tersebut sepatutnya bijak memilih bentuk kata ganti nama yang sesuai dengan suasana dan keperluan!

C ) Situasi ketua dengan pekerja

Penerangan

Penggunaan perkataan bos bagi menggantikan kata ganti nama diri kedua tunggal tuan dalam situasi 1 di atas didapati kurang santun dan tidak berdasarkan suasana,umur, pangkat, dan peranan individu berkenaan dalam sesuatu organisasi.

Dalam situasi di atas, seseorang ketua di sesebuah organisasi tidak sewajarnya disapa dengan panggilan bos yang bererti ketua dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa Melayu terdapat pelbagai bentuk kata ganti nama yang boleh dirujuk untuk menyapa seseorang yang dihormati.Oleh itu, setiap penutur perlu mematuhi sistem panggilan hormat ini agar ketidaksantunan dalam penggunaan bahasa dapat dielakkan.

Bagi situasi di atas, kata ganti nama diri yang betul dan tepat untuk menyapa seseorang ketua ialah tuan,puan atau encik dan diikuti dengan namanya (jika tidak mempunyai gelar). Kata ganti ini tidak sepatutnya dilenyapkan atas dasar panggilan bos disifatkan lebih mesra dan santun!

Dalam situasi 2 pula, kata ganti nama diri saya yang dituturkan oleh pensyarah untuk membahasakan dirinya semasa berkomunikasi dengan Ketua Jabatan adalah tepat dan sesuai dengan suasana rasmi.Hal ini seiring dengan kedudukan pensyarah yang lebih rendah daripada Ketua Jabatannya.

Bagaimanapun, pensyarah berkenaan gagal menggunakan kata ganti nama yang tepat untuk menyapa Ketua Jabatannya. Kata ganti nama yang dipilih ialah kak/kakak yang bersifat kekeluargaan.Walaupun panggilan ini kelihatan mesra dan santun, panggilan ini memang tidak sesuai untuk diucapkan dalam konteks rasmi,apatah lagi kepada seorang ketua yang dihormati. Meskipun Ketua Jabatan tersebut memang baik dan tidak kisah disapa dengan panggilan kak/kakak, pensyarah berkenaan tidak sewajarnya mengambil kesempatan atas kebaikan Ketua Jabatan tadi.

Ekpresi hormat boleh dilahirkan dengan pelbagai cara dan bukannya menggunakan kata ganti nama yang salah. Sebenarnya, kata ganti nama diri ini lebih sesuai digunakan di luar suasana rasmi untuk orang yang tidak setua emak sendiri dan tidak semuda diri sendiri. Kata ganti diri ini juga sangat sesuai digunakan untuk menyapa mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan.

D) Situasi antara kakitangan sesuatu organisasi dengan orang ramai

Penggunaan kata ganti nama diri yang betul sangat penting, terutama yang melibatkan orang ramai.Kakitangan yang bertugas sebagai telefonis, bekerja di kaunter hadapan, dan dijabatan kerajaan umpamanya perlulah menggunakan bahasa dan pilihan kata ganti nama yang sesuai.

Cara dan layanan yang diberikan kepada orang ramai akan memberikan kesan pertama terhadap sesuatu organisasi. Penggunaan kata ganti kedua seperti pak cik,mak cik, abang, kakak, atau adik tidak sesuai diucapkan apabila berkomunikasi dengan orang ramai yang datang ke sesebuah organisasi untuk sesuatu urusan.

Bagi mengelakkan rasa tersinggung, tidak selesa atau kurang senang, gunakanlah kata ganti nama seperti encik,tuan, puan, saudara atau saudari kepada orang yang baru kita kenali.

E) Situasi antara jurujual dengan pembeli 

Penerangan

Dialog dalam situasi di atas sering berlaku semasa urusan membeli-belah di pelbagai pusat beli-belah. Lazimnya, “panggilan mesra” seperti abang, kakak, pakcik, mak cik, adik atau kak/kakak dituturkan oleh jurujual bukan Melayu. Hal ini berlaku kerana jurujual tersebut kurang faham akan pelbagai bentuk kata ganti nama,pola penggunaannya, dan implikasi sosial penggunaannya kepada pembeli, khususnya orang Melayu.

Selain jurujual ini, terdapat juga jurujual yang berbangsa Melayu menggunakan panggilan tersebut semasa berkomunikasi dengan pembeli! Yang aneh, apakah masalah yang berlaku dalam kalangan jurujual Melayu sehingga mereka tidak dapat memilih bentuk kata ganti nama yang sesuai?

Bagi mengatasi masalah di atas,dicadangkan penggunaan kata ganti nama kedua yang neutral sifatnya, iaitu tuan, puan, encik, dan cik. Kata ganti nama ini lebih sopan berbanding dengan “panggilan mesra” tadi. Hakikatnya, tidak banyak orang yang suka atau selesa disapa dengan “panggilan mesra”tersebut!

F) Situasi antara pelayan restoran dengan pelanggan

Penerangan

Penggunaan kata ganti nama dalam dialog di atas tidak tepat jika ditujukan kepada pelanggan di restoran besar termasuk di café atau coffee house di hotel-hotel.Hal ini dikatakan demikian kerana hubungan kekeluargaan tidak wujud antara pelanggan dengan pelayan tersebut. Selain itu, suasana ditempat tersebut masih dalam situasi formal. Pelayan dalam situasi diatas sepatutnya menggunakan kata ganti nama yang betul, iaitu encik atau tuan.

Sebagai kesimpulannya,penggunaan kata ganti nama mempunyai implikasi sosial yang amat besar dalam perhubungan antara ahli masyarakat. Setiap pengguna bahasa wajar memahami,menguasai, dan menggunakan kata ganti nama ini dengan betul. Kecenderungan untuk menggunakan pelbagai bentuk panggilan bagi menggantikan kata ganti nama tidak sepatutnya berlaku.

Sebarang alasan untuk mewajarkan tindakan ini jelas menyalahi tatasusila dan kesantunan berbahasa dalam masyarakat Melayu. Sejak dahulu masyarakat Melayu menyanjung dan memandang tinggi masyarakat yang kaya budi dan bahasanya.Sanjungan ini dapat dijelmakan menerusi gurindam berikut.

Jika hendak mengenal bangsa,lihat pada budi bahasa.(Raja Ali Haji)

Tanda orang berilmu,cakapnya tidak menyingkap malu.(Tenas Effendy)

Akhir kata, “Betulkan yang biasa;biasakan yang betul !”