Anugerah Nilam Hikmah Bersahabat Dengan Buku


Menjadikan buku sebagai ‘sahabat karibnya’ sejak kecil, ternyata ada hikmahnya kepada Nurin Hanis Zuhaira Norshamsul Azman. Dia boleh bersyukur dan tersenyum bangga apabila hobi membaca itu bukan sahaja bermanfaat memberikan pengetahuan kepada dirinya,bahkan berjaya mengangkatnya sebagai Johan Anugerah Nilam Kebangsaan 2018 Sekolah Menengah Kategori Bahasa Melayu baru-baru ini. 

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu,dia sememangnya gemar membaca buku sejak dari kecil hasil didikan yang dipupuk oleh ibunya yang berkhidmat sebagai seorang guru selain arwah bapanya.

“Saya memang banyak baca buku, namun memandangkan tahun ini perlu fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya memastikan sekurang-kurangnya dua buah buku habis dibaca setiap minggu.”“Dari segi jenis bahan bacaan,saya tidak memilih kerana bagi saya setiap satu daripadanya memiliki keunikan yang tersendiri. Contohnya genre fiksyen membantu saya melepaskan tekanan setelah belajar, manakala bukan fiksyen pula memberi ilmu baharu buat saya,” katanya ketika ditemui majalah Pendidik baru-baru ini.

Juara Kategori Kurang Upaya Pendengaran(Lelaki) ahmad Syamil adzwan Syamsul adzrol bersama Dr. amin dan Pengarah BTP Zaidi Yazid.

Juara Katagori Kurang Upaya Penglihatan(Perempuan) Saw Xin en.

Murid tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Abdul Rahman Talib, Kuantan,Pahang itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM600, tablet, sijil,cenderamata serta buku yang telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin dalam Majlis Anugerah Nilam Peringkat Kebangsaan 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bersahabat dengan buku bolehkan Nurin muncul Johan anugerah Nilam Kebangsaan 2018 Kategori Bahasa Melayu peringkat Sekolah Menengah.

Turut hadir pada majlis yang diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL)2018, Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Zaidi Yazid serta Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Abd. Wahab Ibrahim.

Tambah Nurin, dia amat bersyukur atas kemenangan tersebut biarpun terpaksa berdepan ramai saingan yang hebat dan mendedikasikan kejayaannya itu buat ibu, arwah bapa, para guru serta mereka yang sentiasa memberikannya sokongan.

Menjadikan karya Hamka,Falsafah Hidup sebagai buku kegemaran beliau, Nurin bercita -cita untuk menjadi seorang ahli falsafah.