Mengertilah

(Peringatan untuk Anak-anak Didikku)

— oleh Zaid Md Saman al-Haj —

Wahai anak-anak didikku
mengapa kita anak Bangsa Malaysia
seakan-akan tidak mahu mengerti
bahawa telah tersurat dan termaktub
di dalam bait-bait kontrak sosial
yang ditandatangani oleh tokoh-tokoh kaum
sebagai syarat utama watan kita bebas merdeka
dan sewajibnya mengertilah bahawa tiga kaum utama
Melayu-Peribumi, Cina dan India
berjanji membina kehidupan laksana saudara sekandung
mengikat ukhuwah silaturahim semerah darah
selama-lamanya tanpa cemburu-khianat
tanpa sengketa lara jua.

Kini, sengaja segelintir kita
berpura-pura enggan mengerti
bahawa telah berabad lamanya
kita membina hidup harmonis
dari Perlis hingga ke Bumi Kenyalang
dan Negeri Di bawah Bayu
tanpa rasa sangsi dan iri hati sengketa-lara
tanpa ungkitan asal usul dan paras rupa
sebagai buah tangan indah nenek-moyang kita
yang berjaya membina istana bangsa.

Namun, akibat cambahan benih-benih baru
yang berbajakan ideologi politik serakah
telah berjaya memecahkan benteng perpaduan kita
akibat masing-masing memasang mimpi
ingin menawan Kota Putrajaya
yang pada mereka menjanjikan segunung emas kuasa
sehingga kita mula terkapai-kapai
di dalam arus prasangka sesama bangsa
dan etnik di tiga wilayah sebumbung negara
hingga kita terlalai
melunaskan amanah utama
pembinaan negara-bangsa yang bermaruah
dan kekal merdeka.

Zaid Md Saman al-Haj
Air Baning, Negeri Sembilan.


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan