Cerpen : Semahal Kasihmu…


"Lepas habis sekolah nanti, temankan aku pergi ke Ampang Park ya," usul Wan Fauziah kepadaku. "Aku nak beli alat tulis." Awal-awal lagi Wan Fauziah atau mesra disapa dengan panggilan Wan, mengingatkan aku akan permintaannya. Seingat aku waktu itu Ampang Park merupakan satu-satunya pusat beli-belah yang menjadi tumpuan. Yalah tidak seperti hari ini, pusat beli-belah tumbuh bagai cendawan selepas hujan!

Tengah hari itu, sebaik-baik terdengar deringan loceng akhir, aku dan Wan berlari ke perhentian bas. Keinginan untuk segera sampai sudah tidak dapat dibendung lagi. Macam-macam yang direncanakan untuk dibeli di sana nanti. Maklumlah bagi aku yang hidup serba terkawal ini... dapat menjengah pusat beli-belah sudah dianggap sebagai suatu rahmat!

Tiba di Ampang Park, Wan segera membeli alat tulis yang dikehendaki. Aku pula hanya memperhatikan gelagat Wan. Kadang-kadang terbit juga rasa cemburu aku kepadanya. Bukan sahaja parasnya sangat cantik, malah Wan juga menjadi kegilaan pemuda di kampung kami. Walaupun aku tidak dapat menandingi rupa dan kemampuan materialnya, yang pasti dari segi akademik, Wan dan rakan sekelas tidak dapat mengatasi aku. Syukur aku kepada Allah SWT atas kurniaan-Nya inI.

Setelah selesai membeli alat tulis, kami segera mendapatkan bas untuk pulang ke rumah. Aku perlu sampai di rumah sebelum pukul 2.30 petang. Kelas tambahan anjuran Kemas untuk murid SRP akan bermula pada pukul 2.00 petang. Aku memang sedar bahawa aku sudah lewat untuk ke kelas. Tak semena-mena aku dihambat rasa takut yang tidak terperi! Pasti ibu akan menyinga jika peraturannya dilanggar.

"Sejak kecil aku dan adik-beradikku telah dibiasakan dengan pelbagai peraturan - masa belajar, bermain, tidur, dan sebagainya. Pelanggaran akan peraturan ini memberikan isyarat bahawa kami perlu bersedia untuk menanggung risikonya!"

Apabila mengingatkan ini, rasa gembira kerana menemani Wan dan membantunya tiba-tiba bertukar menjadi mimpi ngeri.

Sampai di rumah, kulihat ibu telah menungguku di muka pintu. Riak wajahnya ketika itu memang sudah membayangkan nasib yang bakal menimpaku... suatu petang yang akan mencatat sejarah pahit dalam hidupku. "Kau ke mana? Dah pukul 2.30 baru kau balik? Kau tak tahu ke kau ada kelas tambahan pukul 2.30 ni?" Untuk meredakan keadaan dan untuk menyelamatkan diri, aku boleh sahaja berbohong dengan mencipta pelbagai alasan bahawa di sekolah tadi ada perjumpaan atau apa-apa sahaja yang munasabah. Namun didikan ibu dan ajaran guru supaya tidak berbohong menyebabkan aku memilih untuk berterus terang.

"Nah temankan Wan Fauziah membeli alat tulis di Ampang Park," jawabku jujur. Dengan berang ibu mengarahkan aku segera masuk ke rumah. Aku sudah dapat meramalkan tindakan ibu. Tekaanku memang tepat sekali. Sebaik-baik sahaja aku melintasi ibu, dia terus mengayun tali pinggang ke badanku. Aku meraung kesakitan.

Tidak cukup dengan tali pinggang, ibu mencapai kayu penyendal pintu lalu membelasah badanku. Aku cuba lari tetapi ibu seperti kerasukan. Jeritan aku sudah tentu dapat didengar oleh rakan-rakan yang sedang mengikuti kelas tambahan ketika itu. Kebetulan dewan orang ramai, tempat kelas tambahan itu diadakan betul-betul terletak di hadapan rumahku. Ya, Allah manalah nak kusembunyikan rasa malu ini...

"Sudahlah Kak Yah. Mati budak tu nanti. Bawa mengucap. Sabarlah! Tanyalah Hasnah dahulu sebab dia balik lambat," pujuk Mak cik Mon, jiran sebelah rumahku yang sudah kuanggap seperti ibuku. Dalam esak tangis dan sedu-sedan, dapat kudengar suara Mak cik Mon, cuba memujuk ibu daripada terus memukul aku. Namun pujukan jiranku itu langsung tidak berbekas di hati ibu.

"Biar dia mati. Kalau sekarang dia tidak diajar, esok lusa entah macam mana perangainya." Kemarahan ibu tidak terhenti di situ. Dia tetap mahu aku pergi ke kelas tambahan itu. Aku diheret hingga beranda rumah. Guru dan rakan-rakanku yang sedang berada di kelas tambahan ketika itu hanya mampu melihat aku dibelasah. Aku terasa amat malu. Keadaan aku ketika itu tidak ubah seperti seorang badut yang sedang diketawakan dalam sebuah pertunjukan sarkas! Akibat keengganan aku untuk ke kelas tambahan, ibu semakin berang.

Ibu bingkas mencapai getah paip dari bilik air. Tanpa mengira kesakitan yang masih kutanggung, ibu terus melibaskan getah paip itu. Libasannya kali ini betul-betul mengenai paha kananku. "Aduh, sakitnya!!" Aku meraung kerana kulit pahaku terkoyak. Tiba-tiba ibu berhenti, seolah-olah ada tangan ghaib yang menghalang ibu daripada terus bertindak. Mungkin dia terkejut apabila melihat darah memancut dari pahaku. Dengan kesakitan yang teramat aku bingkas menuju ke bilik.

Malam itu aku tidak lalu makan. Seleraku jadi tumpul. Seluruh badanku sakit-sakit. Macam-macam yang kufikirkan. Jika situasi yang kualami ini dilalui oleh remaja hari ini aku yakin tentu mereka sudah lama lari dari rumah. Mereka mungkin mencari tempat lain untuk berlindung dan menagih kasih. Mungkin juga mereka bakal mengadukan kejadian ini kepada pihak sekolah dan pihak sekolah pula menghubungi Teledera.

Aku pula... apalah yang dapat aku lakukan dalam usia 15 tahun ini melainkan aku hanya mampu menangisi nasib dan melayan rasa pilu kerana diperlakukan begitu. Salahkah aku jika pulang setengah jam lewat? Salahkah aku kerana membantu rakan? Aku tidak pernah menyeleweng ke tempat lain atau menipu ibu. Aku benar-benar keliru! Soalan demi soalan terus menerjah kotak fikiranku. Kenapakah kejujuran menyeret aku ke lembah kesengsaraan?

Esoknya aku memutuskan hasrat untuk tidak ke sekolah. Bagaimanakah aku mahu berdepan dengan guru dan rakan-rakan dalam keadaan badanku penuh dengan bekas pukulan? Paha aku pula luka. Bagaimanakah aku dapat melindungi luka ini sementelahan pula aku memakai skirt ke sekolah? Pagi itu ibu tetap menggesa aku ke sekolah. Beliau memberikan amaran bahawa jika aku enggan ke sekolah pagi itu aku akan diberhentikan.

Amaran ibu ibarat petir yang sekonyong-konyong mahu meranapkan semangat dan cita-citaku selama ini. Aku ada cita-cita besar. Aku mahu menjadi peguam yang berjaya. Tidak mungkin aku sanggup menggadaikan masa depanku hanya kerana kesilapan yang kecil itu! Akhirnya dengan langkah berat aku menyarungkan baju dan skirt. Luka di paha kutampal dengan serbuk MB, yang kutumbuk halus dengan batu tumbuk. Mukaku berkerut menahan pedih. Sakitnya sukar kutafsirkan dengan kata-kata.

"Kenapakah badan awak penuh calar-balar ni?" tanya Cikgu Loo, guru Matematikku. Aku rasa sangat malu, namun sempat juga kuberikan jawaban. "Ibu pukul saya, cikgu." "Kenapa?" Dengan ringkas, kuberitahu sebab aku dipukul. "Itulah Hasnah, lain kali jangan balik lambat lagi." Aku hanya menganggukkan kepala tanda membenarkan kata-katanya walaupun jauh di sudut hati rasa begitu sedih... kesedihan yang gagal kuusir!

Setelah 44 tahun berlalu, peristiwa itu bagai baru semalam berlaku. Setiap kali aku menatap parut di pahaku ini, setiap kali itulah air mataku jatuh menitis. Walaupun sukar untuk menyingkirkan kenangan lama, satu yang perlu kuakui ialah hari ini aku dapat merasakan nikmat hasil daripada peraturan dan ketegasan ibu.

"Jika ibu tidak garang dan tidak terlalu tegas mungkin aku tidak berjaya sehingga mencapai tahap ini. Terima kasih banyak ibu atas segala yang kau berikan!"

Aku kini mampu mengecap dan menikmati hidup yang sempurna. Aku juga mahu kau tahu bahawa aku sangat bangga kerana mempunyai ibu seperti kau. Jauh dari sudut hatiku ini, kutitipkan doa semoga Allah SWT menempatkan kau di syurga Firdaus. Aamiin Allahumma Aamiin ya Robb!

Buat Wan Fauziah, aku berdoa semoga rohmu tenang di sana. Sejujurnya, aku gembira kerana menjadi sahabatmu walaupun aku perlu membayar harga persahabatan kita dengan nama kejujuran dan kesakitan. Al-Fatihah...


Tinggalkan Komen

Komen yang menggunakan kata-kata kesat tidak dibenarkan